Followers

Thursday, January 23, 2014

Aktivis anti-Lynas bergelut dengan pengawal di KLCC

 
Kekecohan termasuk tarik menarik antara berlaku pihak keselamatan di KLCC dan aktivis Himpunan Hijau di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang mana akan berlangsungnya sambutan Hari Australia malam ini.

Himpunan Hijau, diketuai Wong Tack hadir menuntut kilang nadir bumi Lynas ditutup dan mendesak bahan itu dibawa pulang ke Australia.

Kira-kira 30 aktivis mulanya berhimpun di kawasan air pancut KLCC kira-kira 6 petang sebelum berarak ke pusat konvensyen itu 15 minit kemudian.
Sewaktu Wong Tack memasuki pusat tersebut, beliau dihalang oleh pegawai keselamatan menaiki tangga tetapi beliau berkeras menaikinya menyebabkan beliau ditarik.

Pergelutan itu menyebabkan halangan yang dibuat pihak keselamatan sedikit terburai dan membolehkan peserta lain menaiki tangga menuju ke dewan tersebut.

Bahkan, terdapat beberapa peserta itu turut ditarik bagi mengelakkan mereka menuju dewan sambutan kemerdekaan yang menurut mereka ditaja oleh syarikat Lynas.
Malah, kain rentang yang memberi tempoh sehingga 22 Jun depan supaya Lynas menutup operasinya di Malaysia, terkoyak akibat direntap oleh pihak berkuasa tempat itu.

Apabila sampai di tingkat tiga, Wong Tack sekali lagi dihalang beberapa pihak keselamatan dengan menutup pintu.

Tetamu panik

Namun, Wong Tack dan beberapa peserta berjaya menerobos dengan masuki pintu lain yang tidak dikawal.

Dalam kekecohan itu, kedengaran beberapa peserta lain melaung supaya Lynas ditutup. Mereka juga menaikkan poster menolak sisa nadir bumi itu.

Beberapa peserta bantahan itu turut duduk - berdekatan meja pendaftaran majlis - sebagai bantahan mereka terhadap sambutan itu malam ini.

Hal demikian menyebabkan Pengurus Keselamatan Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia Llyod Laughlin masuk campur dan cuba menenangkan Wong Tack sekali gus cuba mendengar mesej yang ingin disampaikan oleh kumpulan tersebut.

Hasil perbincangan akhirnya, peserta dibenarkan berada berhimpun di luar dewan tanpa melakukan sebarang gangguan sekalipun sebelum itu mereka duduk dan mengibarkan kain rentang serta poster membantah operasi kilang nadir bumi itu.

Pintu masuk ke dewan tersebut berjaya dikawal rapi oleh pihak keselamatan.
Tetamu yang telah pun tiba di situ kelihatan terkejut dan panik dengan kekecohan yang berlaku, sekalipun pihak keselamatan berkawal di situ.

Jarak antara peserta yang duduk dengan meja pendaftaran adalah sejauh 15 meter sahaja.

Demo besar 22 Jun

Wong Tack dalam perbincangannya menjelaskan kedatangan mereka tidak bermaksud melakukan kekecohan sebaliknya pihaknya ingin menyampaikan mesej kepada bantahan terhadap Lynas.

Beliau berkata, Himpunan Hijau menuntut supaya kerajaan Australia atau pihak suruhanjaya menghormati pendirian rakyat Malaysia yang membantah operasi Lynas.
"Kami memberi masa tujuh hari kepada kedutaan untuk memberi respon terhadap tuntutan kami. 


Kami mahu Lynas keluar dari Malaysia," kata Wong Tack kepada Llyod.

Beliau juga bertanyakan kepada Llyod sama ada pihaknya sedia menerima nadir bumi di bawa pulang ke negara itu.

Llyod tidak menjawabnya dan berjanji akan membawa semua tuntutan mereka ke pihak kerajaan Australia atau suruhanjaya.


Dalam perbincangan itu juga, Wong Tack turut berkata, lautan manusia akan berhimpun di Gebeng, Kuantan pada 22 Jun depan bagi menutup kilang tersebut.

"Sehubungan itu, kita mahu Australia, sebagai negara maju bertindak sesuai dengan mendengar suara rakyat dan berperikemanusiaan," katanya yang kemudiannya mengakhiri perbincangan dan kemudiannya bersalaman.

Dalam sidang media kemudiannya, Wong berharap kerajaan Australia memberi jawapan positif terhadap tuntutan mereka.- 



Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.