9/01/14
10 Exco dapat kereta baharu
SEREMBAN – Seramai 10 Exco Kerajaan Negeri Sembilan menerima kereta
rasmi baharu apabila Proton Perdana yang digunakan sebelum ini
digantikan dengan Honda Accord 2.4 cc berkuatkuasa semalam.
Turut menerima kereta baharu ini adalah, setiausaha kerajaan negeri,
mufti negeri, penasihat undang-undang, speaker Dun dan juga pegawai
kewangan negeri.
Walau bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad
Hasan berkata, pemberian kereta baharu ini tidak melibatkan dirinya
berikutan beliau tidak pernah menggunakan kereta rasmi kerajaan negeri,
sebaliknya menggunakan kenderaan sendiri.
“Sudah tiba masanya kereta lama kerajaan negeri itu ditukar baru
memandangkan usia kereta Proton Perdana yang digunakan itu sudah
melebihi 10 ke 12 tahun, malah ada di antaranya selalu rosak sehingga
menyebabkan Exco kita terkandas di tengah-tengah lebuh raya.
“Kos penyelenggaraan kereta lama itu juga sangat tinggi. Tiga buah
kereta yang diselengara sama harga dengan sebuah kereta baharu dan itu
merupakan satu pembaziran.
“Saya yakin dengan penggunaan kereta baru ini, ia dapat mengurangkan kos
penyelenggaraan, di samping menjimatkan wang untuk membaikinya,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, dekat Wisma Negeri di sini, semalam.
Tambah Mohamad, kereta ini ditempah lama pada tahun lalu, iaitu sebelum
model Proton Perdana baharu dilancarkan, dan kos keseluruhan bagi
pembelian 15 kereta tersebut adalah berjumlah RM1.6 juta, di mana setiap
kereta berharga RM110,000.
Dalam pada itu, Mohamad memberitahu semua elaun dan juga gaji Exconya
masih kekal pada tahap sama, di mana tiada sebarang kenaikan dibuat
setakat ini.
Katanya, tiada keperluan mendesak untuk menaikkan gaji serta elaun mereka buat masa ini, dan yakin ia masih lagi mencukupi.
Di MELAKA, sembilan kereta baharu jenis sama diterima timbalan Exco dan timbalan speaker kerajaan negeri, semalam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kenderaan rasmi berkenaan
disewa daripada anak syarikat kerajaan negeri, Panorama Melaka Sdn Bhd.
Menurutnya, menerusi pengalaman sebelum ini, kerajaan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan dalam jumlah cukup besar.
“Kita menyewa kenderaan ini mengikut bulan dan bukan belian kerana
sewaan lebih menguntungkan. Apabila rosak senang kita hantar
penyelenggaraan kepada mereka,” katanya selepas mesyuarat Exco di Seri
Negeri, semalam.
Sebelum ini timbalan Exco menggunakan kenderaan jabatan atau
persendirian bagi menjalankan tugasan.Katanya, kenderaan berkenaan sudah
ditempah sejak tahun lalu.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.