Followers

Saturday, December 28, 2013

WOW! Himpunan bantah naik harga - derhaka kepada Agong, khianati rakyat


MUAR - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar dan Bakri menyifatkan penganjuran Himpunan Guling Kerajaan yang dirancang pihak tertentu pada 31 Disember ini sebagai tindakan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan mengkhianati rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Sallehudin Satar berkata, perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan prinsip sebenar demokrasi kerana kerajaan sedia ada dipilih secara sah dan penganjuran himpunan haram itu hanya mencerminkan agenda politik pihak tertentu yang tidak bertamadun.

"Justeru, kita berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera supaya usaha mengadakan perhimpunan haram Selasa ini gagal. Perhimpunan ini hanya akan memalukan negara yang cukup terkenal dengan keamanan dan kemakmurannya.

"Kita tidak mahu ada pihak yang menjadi alat kepada pihak luar untuk menghancurkan negara. Jangan jadi penderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan penderhaka negara sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai perhimpunan aman Pemuda UMNO Muar dan Bakri sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kira-kira pukul 11 pagi ini.

Perhimpunan aman tersebut melibatkan 20 ahli Pemuda UMNO dari kedua-dua bahagian yang mewakili kira-kira 3,000 ahli Pemuda UMNO Muar dan 5,000 ahli Pemuda UMNO Bakri.

Akhbar melaporkan pelbagai pihak mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap penganjur perhimpunan haram yang dirancang di Dataran
Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Disember ini.

Desakan tersebut dibuat kerana perhimpunan itu hanya menimbulkan kekacauan dan bukan cara
terbaik untuk menegakkan demokrasi.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bakri, Azman Ismail meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap sebarang kenyataan berunsur hasutan di dalam laman sosial, Facebook atau blog dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit.

"Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kami menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur jalanan yang dianggap sebagai pengkhianat negara, terutama dalangnya kerana perkara ini mengancam keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata, pihak keselamatan perlu bertindak sebelum terlambat kerana dalang terbabit sudah merancang dengan teliti bukan sahaja untuk menimbulkan huru-hara, malah berusaha mencemar imej negara. -  Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.