Followers

Friday, December 6, 2013

Wanita Umno jemput Muslimat Pas minum teh

 
KUALA LUMPUR - Wanita Umno bakal memulakan langkah pertama muzakarah dengan Dewan Muslimat Pas sebaik Perhimpunan Agung Umno kali ini selesai.

Perkara itu disuarakan sendiri Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika ditanya Sinar Harian Online pada sidang media di PWTC berhubung langkah pertama muzakarah yang masih belum dimulakan mana-mana parti.

"Wanita Umno menjadi ejen perpaduan. Kita akan mulakan Islam dengan Islam. Saya kenal beberapa pemimpin Muslimat, saya akan mulakan silaturahim yang pertama.

"Ini bukan atas dasar politik. Mungkin kita mula dengan minum teh. Saya akan buat jemputan selepas Perhimpunan Agung Umno ini tamat," katanya.

Sebelum ini, kedua-dua parti baik BN mahupun PR mengulang soal kesediaan muzakarah namun sehingga kini belum ada mana-mana pihak yang mengambil langkah pertama.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut mengulangi kesediaannya untuk berdialog dengan kerajaan BN.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Anwar turut memetik kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno 2013 yang membuka ruang untuk bermuzakarah dengan mana-mana parti termasuk Pas.
"...parti ini (Umno) tidak akan pernah jemu untuk menghulurkan salam perpaduan dengan mana-mana parti politik."

Menurut Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, PKR sentiasa mengambil sikap terbuka seperti yang diputuskan sebelum ini. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.