Perhimpunan besar-besaran yang dirancang pada 31 Disember, bersempena
dengan sambutan Tahun Baru adalah satu revolusi untuk menjatuhkan
kerajaan, kata kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat.
Dalam akhbar edisi Ahad Mingguan Malaysia hari ini, Awang Selamat
berkata, tarikh berkenaan dipilih penganjur tidak lain hanyalah untuk
menarik perhatian media asing kononnya rakyat Malaysia memberikan
sokongan terhadap perhimpunan yang menggunakan nama "Bersih" itu.
"Setelah gagal untuk menggulingkan kerajaan menerusi amalan demokrasi
dan peti undi, strategi sekali lagi beralih kepada cara revolusi.
"Setakat ini, belum ada pemimpin utama parti pembangkang tampil
mengaitkan diri dengan perhimpunan itu tetapi ramai yang sudah boleh
menduga siapa dalangnya.
"Maka nanti media asing akan
merakamkan kononnya perhimpunan itu mendapat sambutan luar biasa
daripada rakyat. Itulah yang dimahukan oleh pemimpin pembangkang
tertentu bagi mendapatkan campur tangan luar agar menekan kerajaan
Malaysia," kata Awang Selamat.
Beliau berkata, perhimpunan
berkenaan turut meniru perhimpunan anti kerajaan rakyat Thailand
baru-baru ini yang memaksa Parlimen negara berkenaan dibubarkan.
"Di samping itu, si dalang mahu menangguk di air keruh dengan membakar
lagi sentimen rakyat berikutan isu kenaikan tarif elektrik dan kadar
tol.
"Isu berkaitan kos sara hidup mudah panas, yang menguji
mana-mana kerajaan. Situasi Malaysia sebenarnya tidaklah seteruk banyak
negara," katanya.
Awang Selamat bagaimanapun berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenaikan tarif elektrik dan tol.
"Awang pun tidak suka kenaikan tarif elektrik dan tol tetapi wajarkah
diburukkan lagi dengan mencetuskan ketegangan yang akhirnya memudaratkan
negara.
"Revolusi bukan penyelesaian. Jika ia penyelesaian
terbaik, lebih sesuai dirancang untuk menjatuhkan kerajaan negeri
Selangor dan Pulau Pinang yang banyak kepincangan," katanya, dan
menambah, rakyat akan menolak himpunan sedemikian.
"Marilah
kita bertanya siapa pemimpin yang akan mendapat manfaat politik paling
besar daripada perhimpunan itu nanti," katanya. - tmi
Posted by Jeebond BLM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.