Sepanjang tiga hari Perhimpunan Agung Umno 2013 berlangsung, isyarat
diberikan oleh parti Melayu terbesar itu adalah mereka semakin hilang
sentuhan dengan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Di kala orang ramai dikejutkan dengan pelarasan demi pelarasan subsidi,
daripada minyak, gula dan terbaru elektrik, perbahasan perwakilan Umno
dalam perhimpunan kali ini memperlihatkan mereka seolah-olah tidak hidup
di bumi nyata sehingga ada yang mencadangkan PUmnoutrajaya perlu
melahirkan lebih banyak jutawan Melayu untuk memastikan Islam terbela.
"Jutawan Melayu penting sebab orang Melayu beragama Islam. Bila orang
Melayu kaya, Islam terbela," katanya semasa membahas ucapan dasar
Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur petang
semalam.
Lebih parah lagi apabila perwakilan Umno Pulau Pinang Datuk Shabudin
Yahaya mencadangkan agar kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan
dengan menambah istilah "Ahli Sunnah Wal Jamaah" bagi mengekang
penularan ajaran sesat dan fahaman Syiah.
Cadangan Shahbudin ini merupakan suatu perkara yang tidak pernah
dilakukan oleh negara Islam lain di dunia ini termasuk di Afghanistan
sewaktu diperintah Taliban.
"Perlembagaan Umno pun perlu dipinda dan memasukkan Islam sebagai agama
Persekutuan, bukan agama rasmi. Masukkan juga terasnya Ahli Sunnah
Waljamaah," kata Shabudin ketika perbahasan usul agama dan pendidikan
semalam.
Tidak pernah kedengaran cadangan seumpama ini dibangkitkan oleh perwakilan daripada parti Islam PAS semasa muktamar mereka.
Ketika Barisan Nasional (BN) hilang sokongan daripada majoriti bukan
Melayu semasa Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) lalu, perwakilan dari Pulau
Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir mencadangkan slogan 1Malaysia yang
diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak ditukar kepada 1Melayu.
"Buat apa nak tolong depa (mereka), kita tolong depa, depa tikam
belakang kita," kata Musa, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno
negeri Pulau Pinang merujuk kepada kaum bukan Melayu ketika membahas
ucapan Presiden.
Beliau juga mendesak agar kerajaan berhenti daripada terus berkempen dan
mengadakan program semata-mata untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu
apabila hasilnya gagal diperoleh.
Umno boleh terus bersikap sebegini jika parti yang menjadi teras kepada
BN itu mahu terus menjadi “parti kepada orang-orang kampung” dan melihat
parti komponennya mati sedikit demi sedikit.
Perbahasan dalam perhimpunan kali ini juga tidak menunjukkan Umno mahu
menjadi lebih inklusif dan memenangi kembali undi bandar yang mereka
hilang termasuk daripada orang-orang Melayu semasa PRU13 lalu.
Apakah isu-isu yang dibangkitkan oleh perwakilan Umno dalam perhimpunan
kali ini untuk “menyembunyikan sesuatu” atau menutup isu lebih besar
daripada dibincangkan orang ramai?
Semasa ucaptama Persidangan Asia Barat dan Afrika 2013 di Kuala Lumpur
pada November, bekas Naib Cancelor Universiti Malaya Tan Sri Dr Ghauth
Jasmon mengatakan isu perkauman digunakan oleh sesetengah ahli politik
di Malaysia bagi melindungi kegiatan rasuah yang dilakukan.
Katanya isu perkauman juga dimainkan bagi melindungi salah laku selain
mengelak mereka yang terlibat daripada dituduh atas aktiviti tidak
bermoral itu.
"Jika negara dipenuhi dengan pemimpin rasuah, mereka akan menggunakan
isu perkauman untuk melindungi kesalahan bagi menarik perhatian.”
"Saya fikir kita perlu mengenal pasti pemimpin daripada parti, kumpulan
mahu pun latar belakang agama supaya mereka tidak menggunakan isu lain
bagi melindungi kegiatan mereka,” katanya.
Tidak hairanlah jika bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times
Press (NSTP) Datuk A Kadir Jasin juga mempersoalkan dalam tulisannya
baru-baru ini mengenai Umno yang tidak lagi menjadi sebuah parti
mewakili suara orang ramai.
“Adakah pembesar Umno dan perwakilan yang berhimpun di PWTC untuk
persidangan tahunan parti itu sekarang sedar akan perubahan yang sedang
melanda mereka atau bagi mereka, ‘it’s business as usual’?
“Apakah slogan rakyat didahulukan akan terus menjadi pemanis kata dan
perwakilan akan memberi ‘standing ovation” kepada setiap patah perkataan
yang presiden ucapkan?” soal Kadir dalam tulisannya bertajuk “Sejak
bila Umno bukan parti rakyat jelata?” tiga hari lalu.
Semasa ucapan pembukaan, Najib mengingatkan perwakilan parti itu bahawa
transformasi tidak akan berjaya sekiranya idea dan perubahan hanya
digenggam di peringkat atasan sahaja.
Selepas tiga hari Perhimpunan Agung Umno 2013, kelihatan Umno masih lagi
jauh daripada melakukan perubahan dan transformasi apatah lagi apabila
perwakilan dari seluruh negara yang kebanyakannya berpangkat “Datuk”
masih bercakap dalam bahasa berbeza dengan presiden mereka.
Ini sekaligus memperlihatkan masih banyak perubahan perlu dilakukan
dalam parti Melayu terbesar itu sebelum rakyat diajak untuk melakukan
perubahan dan transformasi. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.