Followers

Saturday, December 28, 2013

Tinggalkan Malaysia jika tidak suka kerajaan 47% BN, kata Ketua Wanita Umno



Wanita Umno Bahagian Kuantan meminta pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) meninggalkan negara ini dan tinggal di negara yang disukainya.

Ketuanya Datuk Zaiton Mat (gambar) berkata, adalah mudah untuk mempertikaikan kelemahan kerajaan tetapi dalam masa yang sama menafikan usaha kuat yang dibuat kerajaan untuk melahirkan suasana yang bebas dan harmoni di negara ini.

Zaiton berkata demikian selepas mengetuai 50 anggota Umno Kuantan dan Paya Besar yang membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan semalam, lapor The Star.

Laporan polis itu dibuat berikutan cadangan “Himpunan Guling Kerajaan” menjelang sambutan tahun baru di Kuala Lumpur.

Masyarakat Kuantan dan Paya Besar antara pihak yang paling marah dengan kerajaan ekoran kegagalan jentera kerajaan membantu mereka ketika banjir besar melanda Kuantan baru-baru ini.
Ekoran itu, pelbagai kata nista ditujukan kepada kerajaan khasnya Umno ekoran kegagalan pemimpinnya turun membantu mangsa banjir.

Usaha anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh untuk mendapatkan bantuan melalui usul agar diumumkan darurat di Kuantan pula dicerca oleh ahli Parlimen daripada BN termasuk meminta beliau pulang sahaja ke kawasannya yang sedang banjir itu.

Kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Sharizat Jalil yang menggunakan perkataan “bangsat” terhadap beliau semakin memarahkan penduduk Kuantan kepada kerajaan BN. 
 
 




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.