Followers

Thursday, December 5, 2013

Tatkala Rakyat Pahang Bejuang Dengan Banjir, Najib Masih Sibuk Dengan Bangla Hentam Anwar



Umno Lebih Pentingkan Persidangan Daripada Banjir

Bekas calon Ketua Pemuda Umno, Syed Rosli Syed Harman Jamalulail mendakwa Umno lebih mementingkan persidangan daripada menyelamatkan mangsa banjir di Pahang.

Katanya, Umno sepatutnya menangguhkan persidangan kerana keadaan banjir di Kuantan amat kritikal.

“Sepatutnya para pemimpin Umno semua berada di kawasan banjir membantu mangsa terutamanya di Pahang, Terengganu dan Kelantan,” kata beliau kepada FMT.

Beliau bertanya di mana pemuda dan Kelab Putra Umno di saat saat mereka memerlukan bantuan di musim banjir ini.

“Saya hairan Datuk Aziz Rahim bersusah payah menghantar sukarelawan menyelamatkan mangsa taufan Haiyan di Filipina tetapi saya tak nampak pula mereka hantar sukarelawan Putra ke Pahang,” katanya lagi.

Beliau juga menyentuh kritikan Khairy Jamaluddin terhadap TNB ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno di persidangan pemuda Umno semalam.

“Saya hairan kabinet sudah bersetuju dengan cadangan menaikkan tarif elektrik kenapa pula Khairy bising di luar? Sepatutnya beliau membantah dalam mesyuarat kabinet,” katanya.

Beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji semula kedudukan Khairy dalam kabinet kerana beliau tidak bersetuju dengan keputusan yang sudah dibuat oleh kabinet.

“Sebelum TNB buat keputusan, sudah tentu TNB mohon persetujuan kabinet terlebih dahulu. TNB bukannya buat pengumuman tanpa merujuk kepada kabinet,” katanya.

Katanya lagi, adakah Khairy bermain sandiwara tidak bersetuju di luar sedangkan ia adalah keputusan kabinet.

“Kalau tak puas hati, pemuda Umno sepatutnya menghantar memorandum kepada TNB,” katanya.

Syed Rosli menambah dalam ucapan dasarnya juga Khairy menyentuh pemilihan PAS yang dikatakan kelam kabut.

“Bagi saya, pemilihan pemuda Umno pun kelam kabut. Keputusan pemilihan majlis tertinggi Umno, urusetia mengumumkan undi popular yang dipungut oleh calon-calon majlis tertinggi tetapi dalam pemilihan pemuda, semua calon ketua, naib ketua dan exco tidak tahu jumlah undi popular yang dipungut mereka,” dakwanya lagi.

Beliau sendiri tidak tahu berapa undi yang diperolehinya ketika menentang Khairy pada 12 Oktober lalu dalam pertandingan lima penjuru yang turut disertai Akramsyah Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak dan Karim Ali. -FMT


Selepas 48 jam, baru Najib terbang ke Kuantan

Selepas 48 jam bencana banjir terburuk melanda Kuantan dan beberapa daerah di negeri kelahirannya Pahang, baharulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu melakukan tinjauan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dilapor meninggalkan persidangan Perhimpunan Agung Umno 2013 untuk meninjau keadaan di sana.

Di dalam tweet terbaharunya beliau memberitahu akan ke Pekan, Rompin dan Kuantan untuk ‘menjenguk’ keadaan banjir di sana.

Najib dilapor berlepas dari Subang pada pukul 12 tengah hari dan akan menziarahi keluarga Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Pekan Jamali Jani yang dipercayai hilang dalam banjir di Kuantan malam tadi.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Pahang sehingga pagi tadi mencecah 38,323 orang daripada 9,153 keluarga.

Banjir semakin buruk di Pahang dan negeri-negeri pantai timur dengan jumlah yang dipindahkan ke pusat pemindahan semakin meningkat.

Semalam di Dewan Rakyat usul tergempar berkaitan bencana banjir di Kuantan yang dibawa Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Kekecohan berlaku apabila Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mempersoalkan kewajaran usul itu dan menggesa Fuziah pulang ke Kuantan untuk membantu mangsa banjir.

Fuziah mengemukakan usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) tetapi ditolak Speaker atas alasan teknikal.

"Saya mendapat panggilan bertalu-talu daripada rakyat di Kuantan meminta bantuan segera jam tiga pagi tadi. Saya telefon Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk hantar bantuan makanan dan keperluan tetapi ia tidak berhasil," katanya di dalam dewan.

Atas permintaan Speaker, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bangun menjelaskan bahawa kerajaan sudah menghantar bantuan makanan dan keperluan kepada mangsa banjir yang terkepung di Kuantan.

Dalam sidang media selepas itu, Fuziah memaklumkan mangsa banjir di kawasannya sejak jam 3 pagi tadi tidak mendapat sebarang bantuan malahan ada yang terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung rumah.

"Mereka terputus hubungan, elektrik diputuskan. Keadaan semakin parah ada yang terpaksa harungi air paras leher mencari tempat perlindungan.

"Bot tidak ada pasukan penyelamat tidak sampai, ada yang tidak menjamah makanan sejak jam 4 petang semalam. Mereka yang menjadi mangsa ibu bersalin, orang tua uzur, kanak-kanak yang berkhatan, dan macam-macam lagi," katanya.

Fuziah juga kesal kerana kerajaan tidak bersedia sebarang kemungkinan yang berlaku memandangkan berdasarkan rekod sebelum ini Kuantan selalu ditenggelami air apabila tiba musim tengkujuh.

"Tiap-tiap tahun di Kuantan ada rekod sepatutnya kerajaan bersedia dengan tilam, biskut, susu anak, air minuman dan pampers serta sanitary. Seharusnya benda-benda ini sudah ada," katanya.

Beliau juga kecewa apabila Majlis Keselamatan Negara tidak pernah menjemput beliau untuk mengadakan perbincangan berhubung masalah banjir di kawasannya.

"Pegawai kerajaan yang terlibat tidak mahu berjumpa dengan kita. Dan saya percaya ini sebagai politik dendam bagi memberi gambaran rakyat bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak buat kerja," katanya. -HD



Najib tunjuk video Anwar isu pengundi Bangladesh

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak semasa ucapannya di Perhimpunan Agung Umno hari ini menayangkan sedutan video yang didakwa menunjukkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong dalam isu pengundi hantu semasa pilihan raya umum Mei lalu.

Najib menampilkan video berkenaan untuk mengukuhkan dakwaannya bahawa Anwar berbohong apabila menyatakan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung 40,000 warga Bangladesh yang didakwa mengundi dalam pilihan raya umum itu.

Kemunculan semula bekas Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bentuk video di perhimpunan agung parti tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur disambut dengan sorakan oleh para perwakilan.

Sedutan video yang ditayangkan ke skrin besar di Dewan Merdeka, itu turut diselitkan dalam siaran langsung ucapan Najib melalui televisyen.

"Saya timbulkan perkara ini kerana semasa kempen pilihan raya yang lalu, tak henti-henti pihak pembangkang mencanang di sana sini kononnya kerajaan telah membawa masuk lebih 40,000 orang warga Bangladesh sebagai pengundi Umno dan BN.

"Perkara ini tampaknya kita tak dapat bendung-bendung lagi untuk dirungkaikan misterinya," katanya sejurus sebelum video tersebut dikeudara.

Klip video sepanjang kira-kira satu minit itu menampilkan beberapa ceramah, sidang media dan wawancara bersama Anwar berhubung isu pengundi asing.

Najib mendakwa, video berkenaan menunjukkan bahawa Anwar dan pengikutnya hanya pandai berbohong.

"Lantaran, semasa lawatan rasmi saya ke Dhaka, Bangladesh, baru-baru ini, saya terpanggil untuk mengucapkan orang Bangladesh panggil, ‘Dhonnobad’ yakni terima kasih dalam bahasa Bengali kepada Perdana Menterinya Sheikh Hasina, kerana telah membantu menyedia sekian banyak rakyatnya sebagai pengundi seperti dimomokkan oleh pembangkang," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung penayangan video klip tersebut, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin membidas Anwar yang mendakwa tidak pernah menyebut perkara itu sebelum ini.

"Beliau sebut banyak kali. Sebut dengan jelas. Dalam perkara itu Anwar berbohong. Dia sebut 'Bangla'.

"Dia sebut dalam ceramahnya," katanya selepas mendengar ucapan dasar presiden di Dewan Merdeka PWTC pagi ini. -mk



 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.