Tinggal dua hari lagi sebelum sesi persekolahan yang baru bermula. Setinggi mana pun semangat kita untuk Turun dalam himpunan aman membantah kenaikan yang berlaku, kita masih mempunyai tanggungjawab yang perlu diselesaikan iaitu membeli barang persekolahan anak-anak kita.
Saya tertarik dengan satu poster yang dikeluarkan, mendedahkan anggaran perbelanjaan bagi seorang pelajar untuk sesi baru persekolahan. Satu hakikat pahit yang perlu ditelan. Bantahlah sekuat mana terhadap kerajaan ''kesayangan'' kita, kita tentunya tidak mampu membantah kehendak anak-anak kita untuk kelihatan serba baru di awal persekolahannya.
Situasi semakin teruk apabila selepas seminggu kita menghadapi karenah anak-anak, datang pula surat atau permohonan daripada pihak sekolah. Yuran sekolah, PIBG, kelas, persatuan, kelab, badan beruniform, dan lain-lain.
Cukup sebulan, datang pula surat permohonan derma, jemputan ke majlis graduasi atau jamuan yang disertakan dengan bayaran tiket, lawatan kelas, perkhemahan perdana, dan pelbagai lagi aktiviti yang menuntut jumlah wang yang tidak pernah kita bayangkan. Ingatkan selesai selepas kita membeli set alat tulis baru buat anak-anak kita, tetapi tidak!
Di sini, sebenarnya datang peranan guru dan ahli PIBG sekolah. Dalam keadaan negara kita yang semakin hari, semakin tinggi keperluan hidupnya, peranan pembuat dasar sekolah harus dimainkan. Para guru dan ahli PIBG harus mula berfikir tentang nasib golongan kebanyakan sebelum membuat polisi yang membabitkan kos dan wang ringgit. Rakyat kita sangat memandang tinggi institusi pendidikan sebagai satu tempat untuk mereka mengubah masa depan mereka melalui anak-anak mereka nanti.
Janganlah menghampakan harapan mereka dengan beban-beban kewangan yang tidak masuk akal sehingga harapan itu bertukar menjadi satu tindakan memberhentikan anak mereka dari sekolah kerana kondisi kewangan yang ridak mengizinkan. Alangkah malangnya nasib anak-anak kita.
Pengalaman peribadi yang pernah bersekolah di pelbagai jenis sekolah, sekolah swasta, kebangsaan, asrama penuh dan sebagainya, memang kos 'tambahan' yang dikenakan oleh pihak sekolah jika ditambah dari segi purata tahunan memang sangat banyak. Ditambah dengan sikap beberapa guru yang mewujudkan satu suasana yang tidak selesa kepada pelajar-pelajar susah mengeruhkan lagi keadaan.
Pelajar-pelajar yang bajunya lusuh, kasutnya tidak berkapur, corak lencana sekolah dan tag nama ditukar setiap tahun dan perlu dijahit di poket baju; buku latihan yang banyak, Matematik 1,2, dan 3; pakaian hari Jumaat, baju batik sekolah; baju sukan berlambang sekolah; baju asrama; buku laporan, fail peribadi dan sebagainya, golongan yang tidak mampu menampung kos membeli keperluan ini dicemuh oleh pihak sekolah, dimalukan di hadapan pelajar lain, diejek kawan-kawan sekelas sehingga mereka takut dan seterusnya memaksa ibu bapa memperuntukkan wang untuk membeli keperluan tersebut.
Tidak hairan isu kecurian di asrama biasa didengari dan isu pakaian hilang sering dialami para penghuni asrama pelajar. Manakala di rumah ibu bapa bukan sahaja pening dengan laporan disiplin anak mereka tetapi juga tertekan dengan perbelanjaan hidup yang semakin menekan.
Seruan ini saya tujukan khas buat guru-guru yang saya hormati dan sanjungi, juga buat ahli PIBG yang banyak membantu pengurusan pihak sekolah, fikirkanlah dasar dan polisi yang membantu pihak ibu bapa.
Kurangkanlah perbelanjaan yang tidak patut, santuni para pelajar yang susah, dan bantulah mereka. Selain itu, suasana serta sifat murid-murid di sekolah harus dijaga agar golongan yang kaya tidak menghina yang kurang berupaya. Guru-guru harus menjadi ejen kesedaran buat murid-murid, menyemai perasaan kasihan terhadap yang kurang bernasib baik, memperjuangkan keadilan dan sikap bantu-membantu.
Pengenalan tabung anak yatim, tabung prihatin, skim takaful, dan model-model yang membantu meringankan beban pelajar-pelajar susah harus difikirkan bersama oleh guru dan PIBG. Guru-guru ekonomi dan matematik selain mengajarkan buku teks dan teknik menjawab soalan SPM, harus memperingatkan pelajar keburukan sikap boros, mengutuk pembaziran, ketirisan, serta mengajarkan cara perbelanjaan secara berhemat kepada pelajar agar satu hari nanti kalimah-kalimah seperti ''tol akan naik'', ''jika ayam mahal, jangan makan ayam'', dan ''harga gula naik langkah mengurangkan diabetis'' tidak akan kita dengar lagi.
Akhir kata, inilah masanya buat golongan pendidik yang direkodkan seramai 420,088 yang bertanggungjawab terhadap 5,222,531 pelajar daripada pra-sekolah sehingga menengah (sumber: Portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia) menunjukkan solidariti mereka menentang kenaikan kos keperluan hidup dan bersama-sama golongan kebanyakan. Kini gaji RM 12000 pun sudah terasa susah, apatah lagi anak-anak didikan kita yang mungkin anak kepada pekebun, nelayan, dan penoreh getah.
''Dan tidaklah Tuhanmu membinasakan penduduk sesuatu kaum dengan zalim selagi mana masih ada golongan yang menyeru pada pembaikan'' (Surah Hud: 117). – 30 Disember, 2013.
* Penulis adalah pelajar tahun tiga, Ekonomi dan Perbankan Islam, Universiti Yarmouk, Jordan.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.