Bekas
Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin hari ini
membidas sikap sesetengah pemimpin negara yang didakwa hanya berani
menegur rakyat sebaliknya tidak berani mengkritik salah urus tadbir
negara demi kelangsungan politik.
Menulis
di dalam entri Facebooknya, Dr Asri menganggap pemimpin yang mempunyai
perilaku seperti ini tidak layak untuk diangkat sebagai tokoh kerana
baginya mereka berjuang untuk kepentingan dan kesenangan sendiri dan
bukan untuk kepentingan awam.
"...tokoh-tokoh
yang hanya berani mengkritik rakyat yang daif tapi mendiamkan diri atas
kesalahan pemerintah yang mempunyai kuasa, merupakan tokoh yang
mendahulukan kepentingan dirinya dari kemaslahatan awam.
"...tokoh-tokoh
yang hanya berani menyuruh rakyat bawahan bersabar, bersyukur dan
berjimat semasa keadaan kehidupan rakyat mendesak tapi tiada keberanian
mengkritik pembaziran, salah urus, tidak menepati janji yang berlaku di
pihak berkuasa tidak layak untuk diangkat sebagai tokoh yang dihormati
rakyat.
"...kerana mereka berjuang untuk kepentingan dan kesenangan sendiri bukan untuk kepentingan awam," katanya lagi.
Prof Dr Muhaya Mohamad
SHAH ALAM: Gara-gara
mengeluarkan kenyataan pada artikel Prof Muhaya : Solusi Keluar Dari
Bebanan Hidup yang disiarkan Sinar Harian Online, Selasa lalu,
penceramah terkenal, Prof Dr Muhaya Mohamad dikritik pembaca kerana
disifatkan tidak prihatin nasib rakyat.
Melalui sebuah video yang dimuat naik ke laman sosial Youtube, Prof Muhaya menjelaskan mengenai perkara tersebut.
“Saya
bukan ustazah, bukan ahli politik dan bukan ahli ekonomi. Saya cuma
pencetus inspirasi yang semua orang sudah tahu, gaya saya
bercakap...Kita mesti faham bahawa ada benda yang kita boleh kawal dan
tidak boleh kawal.
“Apabila
ditanya bagaimana nak tangani beban orang yang tengah serabut...memang
banyak pihak yang nak saya buat kenyataan memarahi pihak yang menaikkan
harga dan sebagainya. Tapi, pada saya, itu semua banyak dah orang yang
cakap.
"Jadi,
peranan saya sebagai seorang yang berusia 50-an, ada pengalaman, saya
memang sangat yakin bahawa cara kita melihat sesuatu akan mengubah
tindakan, persepsi atau interpretasi kita terhadap perkara itu,”
katanya.
Dalam
pada itu, beliau turut menekankan soal 80 peratus dalam kehidupan adalah
untuk mencari solusi sementara bakinya untuk melihat masalah.
“Katakanlah, minyak atau susu tumpah. Adakah kita nak lap susu itu atau nak bergaduh siapa yang tumpahkan susu itu?
“Saya
nak katakan di sini bahawa kita mesti melihat kehidupan dengan 80
peratus mencari solusi dan 20 peratus untuk melihat masalah,” katanya.
Beliau
turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyebut kenyataannya
dalam artikel tersebut menunjukkan bahawa dirinya tidak prihatin
terhadap kesusahan rakyat.
“Saya
bukan ahli politik dan prinsip saya adalah tidak membuat kenyataan
berbaur politik. Untuk situasi ini, bukan tidak prihatin. Siapa yang
tidak prihatin...memang kasihan.
“Tetapi
kalau kita kasihan, ramai orang yang susah, takkanlah kita nak ambil
duit beri kepada semua orang susah itu? Kalau kita beri pun, ia
dipanggil langkah sekejap.
“Tetapi
bagaimana kita nak ‘empower’ seseorang? Ataupun beri kuasa atau membuat
seseorang itu melakukan apa yang boleh pada situasi terdesak ini untuk
menghadapi suasana tersebut?,” katanya.
Tambahnya,
“saya seru kepada yang membuat dasar, kalau boleh kita prihatin dan
janganlah kita melakukan sesuatu yang membebankan orang. Kerana kalau
kita melepaskan beban orang, insya-ALLAH, ALLAH akan melepaskan beban
kita,” katanya.
Jelasnya,
“saya nak jelaskan, saya buat video ini pun bukan untuk
justifikasi...takut orang tak suka, takut orang marah. Sebenarnya, saya
dah maafkan semua orang yang mengata tak elok tentang saya. Saya tak
rasa marah langsung. Saya faham dan rasa kasihan.”/sinarharian
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.