Followers

Monday, December 16, 2013

Mat Zain Buat Laporan Polis terhadap Shafee, Dakwa Peguam Itu Berbohong



[TMI] Datuk Mat Zain Ibrahim akhirnya membuat laporan polis terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (gambar) mengatakan peguam Umno itu memalsukan afidavit yang menjadi kesalahan di sisi undang-undang.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur itu membuat laporan polis di Balai Polis Setapak tengah hari ini.

Shafee memfailkan afidavit di Mahkamah Rayuan minggu lalu sebagai respon kepada permohonan kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyingkirkannya dari mewakili kerajaan sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam rayuan Putrajaya terhadap pembebasan Anwar dari tuduhan liwat.

Rayuan Anwar akan didengar di Mahkamah Rayuan Khamis ini.

"Dengan segala hormatnya saya memaklumkan yang saya telahpun membuat laporan polis jam 2.11 petang ini, yang dijadikan Putrajaya Presint 7 Rpt:10437/13 bth.15.12.2013.

"Laporan ini adalah terhadap Tan Sri Mohammad Shafee bin Md Abdullah bersangkutan dengan Afidavit Jawapan diikrarkan pada 10.12.2013, yang beliau failkan dalam perkara Mahkamah Rayuan (Bidang Kuasa Jenayah) No: W-05-19-01/2012," tulis Mat Zain dalam satu kenyataan yang disertakan bersama-sama dengan laporan polis yang dibuat beliau.

Mat Zain mendakwa Shafee membuat dua kesalahan, sengaja membuat kenyataan palsu yang dibuat dalam Afidavit Jawapan dan menyembunyikan fakta material yang ada kaitan dengan prosiding Rayuan Jenayah kes Liwat II.


Turut menjadi bahan bukti dalam laporan polis yang dibuat hari ini, Mat Zain telah menyertakan sekali salinan Akuan Bersumpah (SD) yang dibuat beliau pada Oktober 7, 2013 serta salinan Affidavit Jawapan (2) yang diikrarkan oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff.

Shafee pada 11 Disember lalu mengemukakan afidavit ke Mahkamah Rayuan susulan permohonan Anwar untuk menyingkirkannya dari mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan pertuduhan kes Liwat II.

Mat Zain bagaimanapun menyifatkan afidavit tersebut sebagai "sebakul sampah" dan turut mengalu-alukan kenyataan Shafee untuk mendedahkan hubungannya dengan Anwar.

Kontroversi tercetus selepas Mat Zain dalam pengakuan "statutory declaration" muka surat 31, mendakwa beliau bersama Ramli telah dibawa Shafee untuk berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos lalu bagi membincangkan tentang salah laku Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Bagaimanapun, menurut Shafee, ia hanya satu kunjungan ziarah sempena Hari Raya dan tidak ada sebarang agenda yang dibincangkan.

Mat Zain juga mendakwa ketika pertemuan tersebutlah Shafee memintanya menyerahkan sebakul dokumen "pemalsuan bukti" kes mata lebam Anwar.

Shafee juga menafikan terlibat dalam perjumpaan membincangkan salah laku Abdul Gani ataupun dalam isu Pulau Batu Puteh.

Beliau juga menafikan tentang sejumlah dana yang dipindahkan ke dalam sebuah akaun di Hong Kong.

Anwar, juga ketika ini, sedang memohon untuk melucutkan kelayakan Shafee sebagai Timbalan Pendakwa Raya pada Khamis ini. – 15 Disember, 2013.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.