Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lebih baik
langkah pengurangan kos pengeluaran diambil untuk mengekalkan harga
barangan dan perkhidmatan daripada menaikkan harganya.
Bekas presiden Umno itu memberi analogi sebuah syarikat perniagaan.
Beliau berkata apabila sesuatu perniagaan berhadapan persaingan atau
peningkatan kos yang mengurangkan keuntungan, ia mempunyai pilihan
antara menaikkan harga atau mengurangkan kos (cost down).
"Ada masanya harga boleh dinaikkan. Ini mungkin mengakibatkan
kemerosotan jualan dan keuntungan. Lebih baik mengurangkan kos atau sama
ada mengekalkan atau meminimakan kenaikan harga.
"Perkara sama boleh dilakukan kerajaan. Semua kos boleh diteliti untuk
menentukan mana yang benar-benar penting, kos mana yang boleh
dikurangkan, atau perkhidmatan mana yang boleh diolah," tulis beliau.
Masyarakat kebanyakan kini berdepan dengan pelbagai kenaikan termasuk
kenaikan termasuk tarif elektrik dan kemungkinan tol bulan hadapan.
Kesannya mula dirasai apabila rasionalisasi subsidi pada tahun ini menyebabkan kenaikan harga gula dan petrol.
Kerajaan membazir
Mahathir menambah bahawa kerajaan dilihat membazirkan wang kerana tidak memikirkan pemulangan perbelanjaan dari pelbagai segi.
Beliau memberi contoh pemberian tender atau kontrak kepada pembina
dengan sebut harga paling baik, yang tidak semestinya paling rendah.
"Saban tahun Laporan Ketua Audit melaporkan pembaziran akibat tidak
mengikut prosedur dan kecuaian. Biasanya tidak banyak perubahan
dilakukan selepas kritikan Ketua Audit Negara.
"Tak syak lagi banyak wang yang boleh dijimatkan jika kritikan ketua
audit diambil serius. Malah, penukaran prosedur juga boleh mengurangkan
kos," tambah beliau lagi.
Mahathir yang terkenal dengan kekerasan beliau sewaktu memerintah dan
kritikan lantang kepada pentadbiran selepasnya turut mengkritik
keseriusan kerajaan dalam menjalankan langkah penjimatan.
"Jika kerajaan berminat untuk mengurangkan kos pentadbiran, mereka boleh berbuat demikian dengan keputusan yang ketara.
"Sebagai contoh, mereka boleh kurangkan kos elektrik dengan menukar
lampu jalan biasa kepada jenis LED. Penjimatan lebih dari 50 peratus.
"Hasil pengurangan kos elektrik ini boleh digunakan untuk mengurangkan
subsidi untuk bahan api tenaga. Tapi ini tidak dilakukan kerajaan.
Kos
permulaan mungkin tinggi tapi akan dimitigasi dengan penjimatan mengikut
masa," tulis beliau. ~mk
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.