Followers

Sunday, December 1, 2013

Kekeliruan Berhubung kenaikan Cukai Pintu : Menteri Wilayah, Datuk Bandar Mesti Letak Jawatan

 


Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur [gambar fail]
[tmi]- Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib meletakkan jawatan atas kekeliruan warga kota berhubung kenaikan cukai pintu bermula Januari 2014.

Beliau berkata, ketelusan dan akauntabiliti merupakan isu yang boleh dipersoalkan berhubung kenaikan cukai pintu dengan kenyataan berbeza di antara Tengku Adnan dan timbalannya, Datuk Loga Balan Mohan Jaganathan selain Ahmad Phesal yang dilihat tidak memberikan penjelasan sebenar.

"Mereka semua mesti letak jawatan. Apa guna ada kementerian atau datuk bandar jika isu ini tidak dapat diselesaikan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Nurul Izzah berkata, sehingga ke hari ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih tidak memberikan hujah konkrit mengapa cukai pintu perlu dinaikkan.

Apatah lagi, katanya, apabila sistem pembentungan dan pengurusan sampah diswastakan dan tidak lagi menjadi tanggungjawab DBKL sepenuhnya.

"Saya lihat tiada peningkatan perkhidmatan DBKL. Maka saya minta penjelasan mereka alasan kenaikan berkenaan, " katanya ketika diminta mengulas kenyataan Tengku Adnan yang sering memohon maaf berhubung kekeliruan dalam pelaksanaan cukai pintu baru.

Tengku Adnan semalam memohon maaf kepada warga kota berhubung kekeliruan warga kota berkaitan kenaikan kadar cukai pintu.

Katanya, pengumuman cukai pintu sepatutnya boleh dilakukan dengan cara baik jika surat pemberitahuan dihantar terlebih dahulu berbanding notis yang mengundang rasa tidak puas hati sekaligus memberi ruang kepada pembangkang memainkan isu tersebut.

Nurul Izzah berkata, DBKL seharusnya memaklumkan kepada pemilik hartanah setahun lebih awal sebelum memulakan kajian bagi menaikkan kadar cukai pintu berbanding tampil dengan notis yang mengejutkan.

"Datuk bandar seharusnya merancang setahun lebih awal dan mengenal pasti keperluan untuk memaklumkan kepada pemilik hartanah berhubung kenaikan cukai itu.

"Apa yang mengejutkan adalah penduduk menerima notis pada bulan ini memaklumkan kenaikan akan berlaku bermula Januari," katanya.

Naib Presiden PKR itu berkata, meskipun Tengku Adnan mengakui kesilapannya, kadar cukai pintu tetap akan dinaikkan tahun depan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Cukai pintu: Ku Nan mohon maaf kerana kenyataan bercanggah

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memohon maaf kepada pemilik hartanah di Kuala Lumpur berhubung kekeliruan mengenai langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan kadar cukai pintu di ibu kota.

“Saya mohon maaf, kekeliruan ini tidak akan berlaku jika pegawai-pegawai saya menghantar surat untuk memberitahu pemilik hartanah tentang apa yang ingin kami lakukan berbanding menghantar notis.

“Saya yang bersalah, dan jika pegawai-pegawai itu merujuk terlebih dahulu sebelum dihantar saya pasti menghalangnya,” kata Tengku Adnan.

Katanya pembangkang mengambil kesempatan terhadap isu itu untuk membangkitkan kemarahan rakyat.

“Apa yang kami lakukan adalah untuk kebaikan penduduk Kuala Lumpur,” katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

“Contohnya, sebelum ini kadar sewa RM1,000 kali 12 sama dengan RM12,000 setahun, selepas semakan, nilainya akan meningkat kepada RM3,000 yang menjadi RM36,000 setahun.

“Akan tetapi, apa yang pemilik hartanah perlu faham, ia bukannya mengenai amaun yang perlu dibayar akan tetapi amaun yang berdasarkan kadar cukai yang akan diumumkan,” katanya.

Tengku Adnan meminta semua pihak agar tidak melaga-lagakan beliau dan timbalannya Datuk Dr J Loga Bala Mohan.

Beliau berkata, meskipun kenaikan bermula tahun hadapan namun pemilik hartanah dibenarkan menangguhkan pembayaran sehingga satu keputusan muktamad dicapai di antara DBKL dan warga kota.

Tengku Adnan semalam turut menjawab teka-teki berhubung kaedah DBKL menjalankan tinjauan bagi membuat taksiran cukai pintu setelah dikecam oleh pembangkang dan warga kota.

Katanya, tujuh pendekatan digunakan bagi membuat tinjauan untuk mentaksirkan cukai baru dan cukai tidak dinaikkan tetapi kadar sewa semasa yang dinilai semula.

“Cara penilaian ialah pegawai ke lapangan, menggunakan ejen hartanah, melihat iklan, transaksi lalu, nasihat LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), carian internet dan kajian melalui telefon.

Ia dijalankan sejak beberapa bulan lalu.

“Kita tidak buat penilaian. Kita berdasarkan kadar sewaan. Kalau berdasarkan penilaian lebih teruk.

“Sebagai contoh jika rumah teres di Jalan Telawi, ketika membeli rumah itu RM75,000 30 tahun lalu, tetapi sekarang harganya tiga juta. Kalau berdasarkan tiga juta lagi teruk,” katanya.

Ahad lalu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata DBKL akan mengeluarkan saman kepada warga kota yang enggan melunaskan cukai pintu mereka pada kadar baru iaitu sebanyak 6% bermula tahun hadapan.

Katanya, kajian DBKL untuk menaikkan cukai pintu mengundang kemarahan warga kota apabila mereka tidak dimaklumkan bahawa DBKL ada perancangan menaikkan kadar cukai pintu.



IdaMan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.