Followers

Saturday, December 28, 2013

Kehidupan berhemah pada 2014...pemimpin bermewah untuk bebankan rakyat..!!!


SHAH ALAM - Rakyat disaran untuk mengawal perbelanjaan dengan lebih berhemah agar dapat berdepan dengan kenaikan harga menjelang 2014.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaysia (UM), Dr NurulHuda Mohd Satar berkata, 2014 boleh dianggap tahun yang mencabar buat golongan bawahan dan pertengahan.

Menurutnya, langkah penjimatan yang paling sesuai diamalkan adalah dengan mengawal perbelanjaan dari segi mengenal pasti yang mana satu keperluan dan kehendak.

“Kajian menunjukkan rata-rata isi rumah menanggung komitmen bulanan yang tinggi daripada pihak bank bagi tujuan pinjaman kereta dan rumah, oleh itu perbelanjaan ini tidak dapat dielakkan.

“Apa yang boleh dilakukan adalah setiap isi rumah membuat senarai barangan keperluan bagi mengelak pembelian barangan tidak diperlukan, jika mereka masih berbelanja seperti biasa dikhuatiri akan berdepan masalah kewangan di kemudian hari,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya adakah perlu untuk golongan yang terjejas dengan kenaikan harga barang itu, mencari kerja lebih masa bagi menampung kos kenaikan tersebut, beliau berkata, tidak perlu ke tahap itu, bagaimanapun masih boleh diteruskan jika ada kemampuan dari segi masa dan tenaga.

Seorang lagi Pensyarah Ekonomi dari UM, Dr Roza Hazli Zakaria berkata, dalam keadaan tekanan kos semasa, golongan rendah dan pertengahan paling terkesan dengan kenaikan itu.

Menurutnya, tekanan permintaan yang berpunca daripada pengguna sendiri menyebabkan sesuatu kenaikan itu berlaku.

“Oleh itu, penjimatan bukan hanya perlu dilakukan oleh golongan bawahan dan pertengahan sahaja tetapi golongan atasan juga perlu bersama-sama berjimat cermat bagi mengurangkan permintaan tersebut.

“Contohnya, kadar tarif elektrik naik berlaku akibat daripada banyak tenaga diperlukan (permintaan),  saya fikir orang miskin sendiri sejak dari dahulu sudah amalkan penjimatan kerana mereka tidak mampu membayar bil yang tinggi, sebalik golongan atasan menggunakan elektrik yang lebih tinggi,”  katanya.

Sehubungan itu, katanya, penjimatan perlu dilakukan daripada semua peringkat  bukan hanya pada golongan yang terkesan sahaja. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.