Followers

Saturday, December 7, 2013

Ekonomi Bumiputera, survival sebenar Umno

 
KUALA LUMPUR - Bukan hanya berperanan dalam memastikan ekonomi Bumiputera terus kukuh, menjadi tanggungjawab Umno juga untuk menjamin kelestarian arena politik negara di mana tunjang utamanya ialah kaum Melayu dan Bumiputera.

Disebabkan itu ujar Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, penting untuk Umno menjaga kedua-dua elemen itu kerana ia saling berkait antara satu sama lain.

"Survival ekonomi Melayu Bumiputera pada masa ini benar-benar teruji. Jika tidak ditangani dengan baik, ianya boleh melarat kepada survival politik Melayu Bumiputera dan jika mereka kecewa dengan pencapaian ekonomi mereka, tidak mustahil mereka menolak Umno satu masa nanti," katanya ketika membawa usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Tegasnya lagi, Umno yang kini berada di tampuk kekuasaan perlu membuktikan kemampuan mereka agar terus mendapat mandat rakyat.

"Semasa kita masih berpeluang dan berkuasa untuk berbuat demikian, saat-saat mencabar ini dengan tekanan globalisasi ekonomi dunia, agenda penguasaan pasaran oleh negara besar, di samping persaingan sengit dari pelbagai sudut untuk untuk menguasai pasaran tempatan.

"Pada masa itu, nasi sudah menjadi bubur. Kita tidak berpeluang lagi untuk memperkasakan Agenda Ekonomi Bumiputera sepertimana peluang yang masih ada hari ini," ujarnya.

"Kalau bukan Umno, siapa lagi yang nak perjuangkan ekonomi Bumiputera?" tambahnya lagi.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan itu berpendapat, Umno kini berhadapan cabaran besar dan implikasi yang menakutkan jika ia gagal.

Dalam usulnya, beliau menggesa seluruh keahlian Umno menyokong dasar Pemerkasaan Agenda Ekonomi Bumiputera.

Beliau yang mewakili negeri Kelantan turut mencadangkan dana yang lebih besar diberikan kepada agensi kerajaan seperti Tekun, Majlis Amanah Ikthiar dan Mara bagi membantu usahawan Melayu Bumiputera.

Selain itu, beliau turut menggesa satu badan audit bebas bagi memantau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab melatih graduan Bumiputera yang menganggur.

"Kerajaan juga perlu meningkatkan tahap prasarana dan pengangkutan luar bandar bagi menaikkan nilai aset hartanah.

"Usaha berterusan perlu dilakukan sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan supaya dapat mengawal harga dengan bagi mengelak peningkatan kos sara hidup yang mendadak," katanya. - Sinar Harian

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.