Followers

Thursday, December 12, 2013

Dulu komunis, sekarang syiah, akan datang...? Oleh Mohamad Sabu


 


Daripada saya bersekolah pada tahun 1961, kita mula ingat dengan berbagai-bagai peristiwa sejak daripada darjah 3, 4, 5, 6 dan seterusnya ke sekolah menengah, sampailah kepada institut pengajian tinggi.

Cerita yang popular pada waktu itu ialah kejahatan komunis, buruknya ideologi komunis, iaitu komunis kerjanya ialah membunuh orang ramai, menjahanamkan infrastruktur kerajaan, tidak percaya kepada Tuhan, mereka adalah pengganas dan amat ganas.

Melawan komunis adalah merupakan satu jihad, kerana pada waktu itu British dan kuasa barat mengahadapi komunis “insurgent” di Eropah, di Russia dan di Malaya.

Komunis dan rangkaiannya bangun menentang penjajah British dan juga berusaha untuk menghalau British daripada Malaya dan tanah jajahannya.


Selepas merdeka, kerajaan Malaya yang merdeka menghadapi serangan atau pun penentangan daripada komunis yang berterusan. Di luar daripada Malaya pula berlaku peperangan Vietnam.

Vietnam Utara dengan ideologi komunis, manakala Vietnam Selatan didokong oleh Amerika dan negara-negara barat. Malaya atau Malaysia bersama dengan rangkaian Amerika dan negara-negara barat menentang kemaraan regim komunis di Vietnam pimpinan Ho Chin Minh.

Mao Tze Tung yang berjaya membentuk kerajaan melalui “long march” yang dibuat pada tahun 1949 memang menggegarkan kuasa-kuasa serantau, khasnya Britain dan Amerika yang menguasai rantau Pasifik dan Asia Tenggara.


Manakala Russia pula, semakin hari semakin kuat menguasai negara-negara yang sekarang disebut CIS, dan pada tahun 1978 telah menguasai Afganistan.

Oleh itu komunis, sosialis dan ideologi negara yang didokong oleh mereka menjadi musuh yang amat sangat kepada Malaya (Malaysia) negara British, Amerika dan sekutu Eropah Barat.

Ribuan menjadi mangsa, bahkan ratusan ribu telah menjadi mangsa hasil pertarungan komunis dan non-komunis, sama ada di Malaya atau di negara-negara lain. Bahkan di Vietnam sehingga jutaan rakyat telah terkorban.

Di Malaya (Malaysia) polis dan tentera dan orang ramai terkorban, begitulah juga di pihak yang mendokong komunis terkorban begitu banyak dalam pertarungan ideologi, pertarungan negara, pertarungan kuasa (adi-kuasa) di atas muka bumi ini.

Pada tahun 1975, peperangan di Vietnam telah tamat, Vietnam Utara berjaya mengalahkan Amerika dan juga sekutunya di Vietnam Selatan. Richard Nixon telah melawat China dan membuat satu hubungan diplomatik baru di dunia ini.

Russia pula membuat pembaharuan di atas konsep “glasnost (openness) and perestroika (restructuring)” menarik keluar tentera dan kuasa politiknya di Afganistan dan di negara-negara CIS yang lain.


Malaysia menandatangani perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya pada tahun 1989 iaitu Rundingan Damai Haadyai. Pemimpin-pemimpin Parti Komunis Malaya boleh pulang ke tanah air jika mereka mahu, kecuali Cin Peng dan abunya tidak dapat kebenaran pulang, tetapi yang lain-lain boleh pulang atau diusahakan untuk pulang.

Selepas peristiwa Demontrasi Baling pada tahun 1974, aktivis jalanan dan juga penunjuk perasaan yang membela tunjuk perasaan di Baling diburu di bawah ISA, puluhan pelajar dan juga pensyarah ditahan di bawah ISA termasuk Anwar Ibrahim, Syen Husin Ali, Kamaruzaman Yaakob dan ratusan para pelajar dikejar di bawah buruan ISA. Aktivis pelajar berhaluan kiri iaitu Hishamudin Rais melepaskan diri ke luar negara hasil daripada buruan ISA.

Selepas perjanjian damai pada tahun 1991, aktivis pelajar dan juga pemimpin kesatuan pelajar serta pemimpin Kelab Sosialis Universiti Malaya pulang ke tanah air, dan kemudiannya menjalankan aktiviti sosial dengan begitu hebat sekali.

Pada tahun ini, apabila timbul cerita Aishah yang kononnya di rekrut oleh komunis dan menganut fahaman Mao Tze Tung diberitakan ingin dibawa pulang ke Malaysia.

Aktivis sosialis dan menjadi buruan ISA iaitu Hishamudin Rais ke England, dan beritanya ke England disiarkan oleh berbagai media di Malaysia, bahkan beliau dikatakan bersama dengan pihak kedutaan Malaysia mencari Aishah dan berusaha menemubual Aishah, dan diberi publisiti tentang aktiviti Hishamudin Rais di London untuk membawa pulang Aishah ke Malaysia.

Apa yang hendak saya tekankan di sini, ialah komunis yang menjadi buruan di tahun 50-an, 60-an, 70-an dan 80-an, sekarang boleh pulang, bahkan dipelawa pulang ke tanah air.

Ertinya sesuatu ideologi yang diperangi itu bukanlah kekal, di mana ia hanyalah sementara. Apakah giliran memerangi ideologi Syiah ini berpanjangan atau sementara? Kita ikutilah perkembangan seterusnya.

Oleh itu permusuhan kepada komunis, sudah menjadi reda. Sekarang China telah muncul sebagai negara ekonomi, bahkan dua ke tiga tahun lagi akan menjadi kuasa ekonomi nombor satu dalam dunia mengatasi Amerika Syarikat dan sekaligus Eropah Barat.

Perdagangan dengan China sudah menjadi rebutan, bahkan setiap negara menunjukkan peningkatan angka “billion dollar” dalam urusan berdagang dengan China.


Presiden China ialah seorang komunis telah datang ke Malaysia dan disambut dengan hamparan permaidani merah. Begitulah juga Russia muncul sebagai negara yang kuat dengan ekonomi, dengan hasil minyaknya yang begitu tinggi menguasai pasaran Eropah sekarang ini.

Dan dianggap satu negara yang kukuh dalam bidang ekonomi dan ketenteraan.

Maka permusuhan kepada komunis, seolah-olah tidak ada lagi, walaupun hanya ada sentimen di sudut sejarah, apabila saya cuba menimbulkan isu Mat Indera pejuang kemerdekaan, telah dimarahi oleh pemerintah di atas sentimen lama, bukan pembaharuan untuk membenci dan menentang komunis seperti yang berlaku di tahun 50-an, 60-an atau 70-an dahulu.

Pada tahun 1979, berlaku Revolusi Islam di Iran. Revolusi ini dianggap mengancam kuasa barat dan kuasa Amerika di Timur Tengah. Yang dijatuhkan ialah kerajaan Shah yang disokong dan didokong oleh Amerika dan Israel.

Oleh sebab Iran ialah sebuah negara Islam, maka pengaruh revolusi itu boleh tersebar ke mana-mana dunia Islam yang lain, untuk rakyat membuat penentuan supaya mereka tidak dikuasai oleh Amerika dan British. Maka untuk menyekat kemaraan itu isu Syiah ditimbulkan.

Sebelum itu rakyat Malaysia, khasnya ketika zaman saya di peringkat persekolahan rendah, menengah dan dikampus, tidak tahu apa itu Syiah. Datuk Mahfuz Omar apabila dituduh atau ditanya “Adakah beliau seorang Syiah..?”

Beliau mengatakan “Syiah itu sejenis kuih kah?” Ertinya rakyat Malaysia umumnya tidak tahu apa dia itu Syiah? Apa dia itu mazhab yang lain? Mereka hanya tahu hanyalah Islam, dan bukan Islam.

Kita tahu hal mengenai Iran ialah kerana ia mempunyai atau memiliki permaisuri yang jelita, iaitu Farah Diba, yang popularnya seperti Lady Diana di England.

Kita tahu Iran kuat dalam pasukan bola sepak. Kita tahu juga Iran selalu menang dalam pertandingan ratu cantik di peringkat Asia dan di peringkat dunia. Selain daripada itu kita tidak tahu.

Tetapi digelombangkan isu Syiah selepas revolusi pada tahun 1979, kemudiannya diikuti oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku di Teluk, khasnya apabila kemunculan Hizbullah untuk menghadapi Israel dan kancah politik di Lubnan. Maka isu Syiah itu disemarakkan lagi.

Berlaku pula pertembungan di Syria, di mana munculnya kumpulan FSA yang disokong oleh pemain utamanya iaitu Saudi, Qatar, dan negara-negara barat seperti Amerika, Perancis, British dan sebagainya.

Kebetulan Basyar al-Asad telah dikatakan bermazhab Syiah Alawi yang kita pun tidak tahu soal-soal mazhab di Syria itu. Maka isu Syiah menggantikan tempat komunis yang telah reda beberapa tahun kebelakangan ini.


Jikalau pertarungan hal komunis itu menyebabkan jutaan dan ribuan rakyat di kedua-dua pihak terkorban dan menjadi mangsa, kita tidak tahu hal isu Syiah ini pula, iaitu golongan yang pro dan yang menentangnya apa pula yang akan dihadapi oleh pemerintah dan juga rakyat. Saya yakin peristiwa ini tidak berpanjangan seperti isu komunis.

Iran berusaha untuk menjadikan negaranya, salah satu negara nuklear, di mana hujahnya untuk tenaga, untuk penyelidikan kesihatan pada masa sekarang dan pada masa yang akan datang.

Barat cuba untuk memboikot perdagangan dengan Iran, sehingga rakyat Iran yang berada di luar, yang berada di atas sekatan yang mana mereka tidak boleh membuka akaun di mana-mana bank. Mereka hadapi tekanan yang begitu dahsyat.

Inflasi di dalam negara mereka naik seperti roket. Tetapi kegigihan rakyatnya, akhirnya mereka berjaya mencapai pengkayaan nuklear melebihi 20 peratus.

Melebihi tahap 20 peratus, adalah satu tahap pada bila-bila masa boleh pergi kepada membuat bom nuklear dan sebagainya. Yang sukar ialah daripada 5 peratus sehingga kepada 20 peratus. Itulah yang diberitahu oleh IEAE kepada masyarakat dunia.

Mahu atau tidak mahu, Iran telah menjadi sebuah negara nuklear. Pada dua minggu yang lalu, satu kejutan telah berlaku di mana negara 5+1 bersetuju membuat perdamaian.


Secara ringkasnya dengan Iran, dan mengizinkan Iran meneruskan pengkayaan uraniumnya (nuklear) tetapi tidaklah sampai kepada peringkat untuk menghasilkan bom nuklear.

Oleh itu, dalam masa 5 bulan lagi, jikalau perundingan ini berterusan maka “sanctions” atau sekatan ekonomi, teknologi, peralatan kepada Iran akan berkurangan ataupun akan beransur-ansur pulih.

Maka dianggarkan Iran akan muncul sebagai negara yang kuat dengan ekonomi, kerana kekuatan minyak dan teknologinya yang ada sekarang ini.


Dan dengan Iran sekarang ini menjadi pemain utama di rantau Timur Tengah sama ada di Iraq, di Syria, di Lebnon dan di Afganistan, sudah tentunya ia akan muncul sebagai satu kuasa baru di Timur Tengah.

Gendang anti Syiah pada waktu itu akan berkurangan, Amerika dan sekutu baratnya akan mengubah haluan serangan entah ke mana pula. Ideologi “Awang Liku” mana pula akan menjadi ancaman pada waktu itu.

Oleh sebab itulah, saya berkeyakinan penuh isu Syiah yang dimainkan termasuk saya sendiri yang menjadi mangsa dalam isu ini. 


Bagi pandangan peribadi saya, ini hanyalah isu sementara, dan akan lebih cepat padam daripada isu komunis yang berlarutan secara hebatnya iaitu jikalau di Malaya ini semenjak dari tahun 1948 di zaman “emergency” sehinggalah perjanjian damai pada tahun 1989, yang memakan masa yang panjang iaitu hampir 41 tahun.

Tetapi isu Syiah ini akan berkurangan tidak lama lagi, apabila negara barat mula bersahabat semula dengan Iran. Dan propaganda anti Syiah ini akan berkurangan.

Walau bagaimanapun dalam setiap pertarungan ideologi ada yang akan menjadi mangsa, sama ada tuduhan itu palsu, rekaan dan sebagainya untuk memperkuatkan sesebuah kerajaan itu, atau sebuah parti politik itu, demi menunjukkan yang mereka “concern” terhadap keselamatan negara, ataupun sebagai propaganda untuk mereka meneruskan kuasa di suatu tempat. Pertarungan ideologi ini akan berterusan.

Walau bagaimanapun kita akan konsep keadilan sejagat, ada jenayah universal yang tetap dianggap jenayah, seperti membunuh orang tanpa sebab, memukul isteri, memukul anak, memukul menantu, memukul bakal menantu yang tak jadi, menggunakan kuasa untuk melindungi kesalahan, rasuah, mencuri wang rakyat, menindas rakyat, memakan riba.

Semuanya itu adalah merupakan kesalahan-kesalahan walau apapun ideologi, ia akan tetap dianggap satu jenayah.

Begitulah juga mereka yang menolong anak yatim, membantu orang miskin, melawan rasuah, menentang penindasan, menjaga dan kasihan kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan, alam sekitar, menggalakkan kehijauan, mewujudkan keharmonian antara kaum, memperjuangkan kebenaran sejagat, ideologi apa yang berkuasa, kumpulan apa yang naik, diterima umum sebagai perkara yang baik, yang perlu ada.

Oleh itu perjuangan hak dan batil akan berterusan “Ila Yaumil Qiamah…” tidak kira samada ideologi apa, keadaan apa yang berlaku di suatu tempat atau di sesuatu negara.

Saya berpegang di atas konsep perjuangan berdasarkan Islam, iaitu menegakkan yang ma’aruf dan menentang yang mungkar, dan beriman kepada ALLAH dan berusaha untuk mewujudkan keharmonian semua kaum di atas sifat apa yang diberitahu oleh kitab suci Al-Quran.

“Wama Arsalnaka ‘illa Rahmatal Lil Aalamin..” ,

“…Dan tidaklah Kami utuskan Engkau Muhammad kecuali untuk membawa kesejahteraan kepada sekelian alam…”. Itulah pandangan saya untuk kali ini.

Mohamad Sabu ialah timbalan presiden PAS

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.