Followers

Tuesday, December 17, 2013

Dakwaan rasuah melibatkan Gani Patail: PKR akan buat laporan ke pihak berkuasa Hong Kong - Rafizi Oleh Rafizi Ramli



Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan satu akuan bersumpah yang dibuat oleh Dato’ Mat Zain Ibrahim, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur mengenai perbincangannya dengan Tan Sri Shafee Abdullah, seorang peguam yang selalu mewakili tokoh-tokoh Umno. 
Akuan bersumpah itu berkisar tentang banyak dakwaan penyelewengan melibatkan Tan Sri Gani Patail, Peguam Negara tetapi dakwaan yang paling besar adalah dakwaan rasuah bersabit kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). 

Dakwaan rasuah melibatkan Gani Patail: PKR akan buat laporan ke pihak berkuasa Hong Kong - RafiziDi dalam akuan bersumpahnya, Dato’ Mat Zain Ibrahim telah membuat kenyataan berikut (muka surat 24, perenggan 54(f)):


f.          Sehubungan perkara ini Shafee menambah secara serious, mengatakan kepada saya “you will not believe your eyes if you were to see the amount of cash that was transferred into Gani’s account in Hong Kong…”


Kenyataan bersumpah seorang bekas pegawai kanan polis yang pernah menyiasat pimpinan utama negara termasuk Tun Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin ini membawa kesan besar kepada negara. 

Hal ini berkepentingan awam kerana dakwaan yang dibuat oleh Tan Sri Shafee Abdullah itu bukan sahaja menjejaskan krebiliti dan kebolehpercayaan terhadap sistem undang-undang negara kerana ia dibuat terhadap Peguam Negara, malah ia melibatkan kedaulatan negara apabila wilayah negara jatuh ke negara jiran.

Walaupun akuan bersumpah ini telah dibuat dan diedarkan hampir sebulan lalu oleh Dato’ Mat Zain Ibrahim, sehingga kini masih belum ada tindakan konkrit diumumkan.

Saya memandang serius dakwaan bahawa ada unsur sogokan dalam pengendalian kes Pulau Batu Putih yang melibatkan Tan Sri Gani Patail seperti yang didakwa oleh Tan Sri Shafee Abdullah. 

Memandangkan dakwaan itu dibuat di dalam akuan bersumpah oleh seorang bekas pegawai kanan polis yang bersedia mempertahankannya di dalam dan luar mahkamah, saya percaya dakwaan bahawa ada unsur sogokan perlu disiasat sepenuhnya.

Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen dan Pengarah Eksekutif badan pemantau rasuah National Oversight & Whistleblowers Centre (NOW Centre) saya telah membuat keputusan untuk menghubungi pihak berkuasa Hong Kong untuk membawa perkara ini ke perhatian mereka bagi siasatan lanjut. 

NOW Centre telah menjalin hubungan yang baik dengan pihak berkuasa Hong Kong dan beberapa Ahli Parlimen Hong Kong semasa siasatan terhadap dakwaan salah laku rasuah Tan Sri Musa Aman dibuat di Hong Kong tahun lalu.


Saya akan menghantar laporan dan permohonan rasmi kepada Encik Rimsky Yuen, Setiausaha Keadilan Hong Kong, Encik Keith Yeung, Pengarah Pendakwaan Awam Hong Kong dan YB James To, Ahli Parlimen Hong Kong untuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Hong Kong menyiasat dakwaan wang sogokan dimasukkan ke akaun Tan Sri Gani Patail di Hong Kong.

Setakat pengetahuan saya mengenai pihak berkuasa Hong Kong, mereka berkuasa menyiasat urusniaga pemindahan wang ke akaun di Hong Kong jika ia disyaki melibatkan rasuah atau penggubahan wang haram (money laundering).

Saya percaya jika siasatan dapat dimulakan di Hong Kong, Kerajaan Malaysia tidak ada pilihan lain kecuali memberi maklumbalas mengenai perkara ini dan mengambil langkah-langkah wajar untuk menggantung sementara perkhidmatan Tan Sri Gani Patail sehingga siasatan di Hong Kong selesai.


RAFIZI RAMLI ialah Pengarah Strategi, Parti Keadilan Rakyat

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.