Followers

Saturday, December 21, 2013

Cemerlang PMR, MEROSOT peperiksaan antarabangsa


KUALA LUMPUR - Ketika Perdana Menteri dan Timbalannya berbangga dengan pencapaian para pelajar untuk ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang menuntut penjelasan kerajaan terhadap kemerosotan pencapaian pelajar negara dalam peperiksaan bertaraf antarabangsa.

Menurut Lim, sejumlah 30,988 calon atau 7.33 peratus dari 462,940 pelajar yang menduduki ujian PMR  telah mencapai gred A dalam semua subjek – peningkatan sebanyak 0.41 peratus atau 514 pelajar dari tahun lepas.

Bagaimanapun, keputusan ujian TIMSS 2011 dan PISA 2012 menunjukkan tahap pencapaian pelajar Malaysia amat rendah menurut ukuran antarabangsa.

“Mereka (Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri) perlu menjelaskan mengapa terdapat perbezaan besar pada keputusan ujian PMR di peringkat tempatan berbanding keputusan ujian antarabangsa seperti TIMSS 2011 dan PISA 2012,” tegas Lim.

Beliau menjelaskan, sistem pendidikan Malaysia telah menghasilkan lebih dari tujuh peratus pelajar cemerlang bertaraf antarabangsa berdasarkan pencapaian PMR 2013 namun keadaan ini tidak tercermin dalam keputusan TIMSS 2011 dan PISA 2012.

Menurut beliau, hanya dua peratus daripada pelajar Malaysia yang mengambil peperiksaan TIMSS 2011 berjaya mencatatkan gred tinggi “Advanced International Benchmark” dalam ujian matematik berbanding 49 peratus pelajar Taiwan, 48 peratus pelajar Singapura, 47 peratus pelajar Korea Selatan, 34 peratus pelajar Hong Kong, 27 peratus pelajar Jepun dan 14 peratus pelajar Russia.

“Lebih menggusarkan, keputusan ujian antarabangsa itu menunjukkan bahawa tahap pencapaian pelajar Malaysia terus-menerus merosot, terutamanya sejak satu setengah dekad yang lalu memandangkan jumlah pelajar yang mencapai “Advanced International Benchmark” TIMSS dalam ujian matematik telah merosot dengan banyak dari 10% pada tahun 1999 ke 2% pada tahun 2011, sedangkan peratusan pelajar-pelajar cemerlang dari negara di tangga atas TIMSS semakin meningkat, misalnya peratus pelajar cemerlang Taiwan meningkat dari 37% pada tahun 1999 ke 49% pada tahun 2011; Singapura dari 42% ke 48%; Korea Selatan dari 32% ke 47% dan Hong Kong dari 28% ke 34%,” jelas beliau.

Beliau mempersoalkan mengapa tahap pencapaian sistem pendidikan Malaysia semakin merosot sedangkan pencapaian negara lain semakin jauh meningkat sejak satu setengah dekad yang lalu?

Menurut Lim, dalam PISA 2012 hanya 1.3 peratus pelajar Malaysia tergolong sebagai “pelajar cemerlang” bagi subjek matematik (iaitu mencapai Tahap 5 atau 6) berbanding Shanghai-China (55.4%), Singapura (40%), Taiwan (37.2%), Hong Kong (33.7%) dan Korea Selatan (30.9%).

Ujarnya, sekitar 15% hingga 25% pelajar Belgium, Kanada, Finland, Jerman, Jepun, Liechtenstein, Macao, Netherlands, New Zealand, Poland, dan Switzerland adalah pelajar cemerlang dalam PISA 2012 sedangkan pencapaian 5% pelajar terbaik Malaysia hanya setaraf pelajar biasa dari Korea dan Jepun.

“Lebih membimbangkan, lebih separuh pelajar Malaysia (51.8%) tidak mencapai tahap keupayaan asas dalam Matematik (iaitu di bahawa Tahap 2),” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menggesa Perdana Menteri dan Timbalannya menjelaskan perbezaan besar antara keputusan ujian dalam negara dengan keputusan ujian antarabangsa yang berprestij.

“Ujian atau penilaian mana yang sepatutnya diyakini oleh rakyat Malaysia – ujian dalam negara atau penanda aras pendidikan antarabangsa?” katanya.

PISA ataupun Program Penilaian Pelajar Antarabangsa dilaksanakan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) membabitkan negara anggota dan bukan anggota.

Ia menilai pencapaian pelajar sekolah berumur 15 tahun dalam matapelajaran matematik, sains dan membaca.

Program ini bermula sejak tahun 2000 dan dilaksanakan tiga tahun sekali bertujuan menambah baik polisi dan hasil pendidikan.

Sejumlah 470,000 pelajar daripada  65 negara menduduki PISA 2009 manakala 50,000 pelajar mewakili sembilan negara menduduki ujian yang sama pada 2010.

TIMSS atau Trends in International Mathematics and Science Study adalah ujian bertaraf antarabangsa yang menyamai objektif  PISA. - Harakahdaily

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.