Followers

Thursday, December 12, 2013

BN, tak salah akui kesilapan dan mohon maaf – Izzat A Noor

Saya kasihan melihat Barisan Nasional.

Barisan Nasional telah memasuki fasa kritikalnya untuk mempertahankan kuasa di tampuk pemerintahan negara dan mendapatkan semula sokongan dari rakyat Malaysia. Permasalahanya di sini, Barisan Nasional sudah terlalu lama memegang kuasa dan telah melakukan lebih banyak kesalahan dari yang mereka mampu selindungi dan perbaiki. Dalam erti kata lain, Barisan Nasional sudah tidak relevan lagi untuk memerintah Malaysia.

Terus terang, saya membesar di dalam sebuah keluarga terdiri daripada penyokong Barisan Nasional yang setia. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa keluarga saya mampu memperolehi kejayaan seperti sekarang disebabkan oleh bantuan Umno kepada datuk saya sekitar tahun 80-an dahulu ketika Kedah di bawah pemerintahan Tan Sri Osman Aroff. Rata-rata ahli keluarga saya masih tidak putus harapan terhadap Barisan Nasional.

Saya bukanlah seorang yang bijak, namun saya tahu bahawa apabila tiba masa untuk mengalah, maka mengalahlah dan sudah tiba masanya untuk Barisan Nasional mengalah, mengaku kesalahan, meminta maaf dan menyusun semula organisasi dan strategi pemerintahan parti.

Barisan Nasional berada di dalam keadaan yang terdesak untuk masih tampil relevan, Barisan Nasional cuba memperjuangkan isu-isu yang difikirkan penting kepada rakyat Malaysia. Misalnya menentang Syiah dan golongan LGBT di Malaysia, tetapi Barisan Nasional nyata telah membuat percaturan yang salah. 

Kehilangan sokongan dari rakyat Malaysia dan golongan ilmuan bukanlah kerana mereka merasakan Barisan Nasional tidak memperjuangkan suara-suara rakyat tetapi kerana kegagalan Barisan Nasional itu sendiri terutamanya di peringkat teras kepimpinan.

Pastinya, ahli dan barisan pemimpin Barisan Nasional sendiri tidak mampu menafikan salah langkah dan kesilapan yang telah dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib. 

Saya kira, permasalahan dalaman BN bukanlah sesuatu yang baru tetapi tidak dapat disembunyikan pada zaman serba maju ini ekoran pendedahan demi pendedahan di laman-laman sesawang. BN sudah menemui jalan buntu selain hanya bertempik mempejuangkan nasib Melayu.

Berhenti berbelanja

Barisan Nasional tidak boleh secara terus-terusan menabur wang ringgit kepada rakyat. Malaysia mempunyai kadar hutang yang semakin meningkat namun jumlah perbelanjaan negara tidak menunjukkan sebarang perubahan malah semakin tinggi saban hari. 

Apa rasionalnya bantuan yang diberikan kerajaan jika kadar perbelanjaan dan kos sara hidup rakyat juga semakin meningkat? 

Bantuan oleh pihak kerajaan tidak meringankan beban rakyat waima sedikitpun.
 
Pemimpin Barisan Nasional hidup terlalu mewah. Perbelanjaan yang digunakan pemimpin tidak masuk akal dan membuahkan kebencian. Jika negara ini miskin, buatlah seperti negara ini miskin. 

Malaysia tidak kaya. Malaysia —atau pemimpinnya sahaja yang perasan kaya! Ia sangat menjelikkan apabila rakyat marhaen seperti saya melihat gaya hidup menteri-menteri di Malaysia. 

Jutaan ringgit digunakan untuk perkara yang sia-sia dan merugikan aset negara. Berhentilah merasakan bahawa Malaysia sebuah negara yang kaya.

Rakyat tidak bodoh untuk menilai perbelanjaan pemimpin dan keluarga mereka. Kami boleh melihat dengan jelas. Apa gunanya kami diberikan wang bantuan sedangkan pemimpin berjoli sakan dengan jumlah yang begitu besar? Jumlah tersebut, jika ditambah dengan jumlah dana bantuan yang dikeluarkan sudah mampu untuk menanggung kos subsidi sekaligus meringankan beban rakyat. 

Tidak ada sedikit pun rasa kasihan pemimpin pada rakyat. Bantuan dan pertolongan yang dipamerkan di media hanyalah satu strategi politik sahaja. Tidak lebih dari itu. Ia bukanlah bantuan atas tujuan membantu.

Laporan audit negara sendiri menjadi saksi kemewahan pemimpin Barisan Nasional yang tidak masuk akal.

Fikir sebelum bersuara

Semakin hari, rakyat dimomokan dengan perlakuan barisan kepimpinan yang lucu dan memualkan. Jawapan-jawapan yang diberikan menteri-menteri juga semakin tidak bijak. Bagaimana seorang menteri boleh mengeluarkan kenyatan-kenyatan bodoh seperti meminta rakyat keluar dari negara, harga gula dinaikkan untuk mengurangkan penyakit ataupun bil elektrik bernilai RM2.2 juta adalah untuk menjamin keselesaan tetamu? Adakah anda semua mabuk atau tidak mampu berfikir secara waras?

Mengapa memperbodohkan rakyat dengan alasan-alasan seperti itu? Mengapa tidak jujur? Alasan-alasan itu bukan sahaja menimbulkan persoalan, malah meningkatkan rasa benci dan membuka peluang kepada pembangkang untuk mencari kesalahan dan kelemahan Barisan Nasional. 

Rakyat tidak perlu tunggu lama untuk tahu punca sebenar atau kebenaran disebalik setiap tindak tanduk kerajaan Barisan Nasional. Satu demi satu kebenaran terbongkar dan rakyat semakin hilang sabar dengan permainan politik yang tidak pintar dan penuh sandiwara ini.

Islam bukan sekadar Syiah dan LGBT

Saya rasa begitu terhina sekali dengan misi perjuangan Barisan Nasional seperti yang dinyatakan pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini. Politik adalah sebahagian daripada agama Islam tetapi Islam sama sekali bukan politik! 

Barisan Nasional tidak perlu mewakili Islam untuk memperjuangkan isu-isu seperti Syiah dan LGBT kerana Barisan Nasional wajib memperbaiki asas Islam di dalam kepimpinannya dahulu. Bagaimana Syiah dan LGBT dilihat lebih penting dari membanteras rasuah dan salah laku? Mengapa?

 Ini sebabnya: Kerana pemimpin tertinggi juga terlibat dengan rasuah dan salah laku! Kalian boleh berpur-pura tidak bersalah tetapi kalian lebih tahu tentang diri kalian sendiri.

Perbaiki institusi agama di Malaysia dahulu jika ingin membanteras Syiah dan LGBT. 


Apa rasionalnya berperang di media dengan menunduh pemimpin itu dan ini adalah ahli Syiah sedangkan perlakuan anda sendiri tidak melambangkan seorang pejuang Islam langsung?  

Skandal dan strategi penuh nista dan fitnah bukanlah ciri Islam yang baik. Perbaiki perkara-perkara ini dahulu sebelum Barisan Nasional mahu berjuang untuk hal yang lebih besar.

Malaysia bukan terdiri daripada Melayu sahaja

Untuk terus menjadi pemerintah negara ini, mengapa Barisan Nasional hanya memperjuangkan Melayu? Persoalan paling utama ialah: Apakah pejuangan Barisan Nasional untuk Melayu? Barisan Nasional gagal memperjuangkan apa-apa nasib Melayu namun hanya bijak mengambil kesempatan dan mempergunakan kenaifkan bangsa Melayu dalam meraih simpati dan undi. Untuk itu, Barisan Nasional patut berasa malu!

1Malaysia adalah 1Kegagalan

Program 1Malaysia adalah permainan politik Barisan Nasional yang paling gagal sekali sepanjang pemerintahan Datuk Seri Najib bermula. Persefahaman rakyat berbilang kaum di Malaysia tidak boleh diwujudkan dengan senamtari, program makanan atau aktiviti hiburan. Keharmonian sesama kaum boleh diwujudkan jika Barisan Nasional sendiri tidak menimbulkan isu perkauman. 

Lebih parah, menteri-menteri di Barisan Nasional sendiri yang acapkali mencipta masalah perkauman. 

Apa sebenarnya yang hendak di capai dengan 1Malaysia? Program 1Malaysia telah menelan belanja yang begitu besar namun sama sekali tidak memberi sebarang hasil dalam membentuk perpaduan.

1Malaysia hanya berjaya apabila adanya hiburan percuma, makanan percuma dan barangan percuma. Selepas itu, jurang perkauman masih wujud dan semakin ketara. Inikah yang cuba dicapai oleh gagasan 1Malaysia? 

Perpaduan boleh diwujudkan tanpa perbelanjaan besar seperti membawa artis untuk membuat persembahan, memberi t-shirt percuma, membuat pesta-pesta dan sebagainya. 

Perpaduan diwujudkan dengan mencari titik persamaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia
Fokus isu yang lebih penting

Barisan Nasional perlu sedar bahawa ianya bukan sebuah parti politik sahaja, tetapi ia sebuah kerajaan. Ini bermakna Barisan Nasional perlu memfokuskan kepada isu-isu mustahak untuk pembangunan negara. Perlukah saling memburukan pembangkang? 

Biar saya tegaskan di sini bahawa kehebatan dan kekuatan Barisan Nasional boleh dibuktikan tanpa perlu sentiasa menimbulkan kekurangan atau kesalahan pembangkang. 

Jika Barisan Nasional melaksanakan tanggungjawab yang perlu, pembangkan akan kelihatan lemah secara sendiri. 

Keburukan pembangkang yang diutarakan oleh Barisan Nasional hanya untuk menutup kesalahan Barisan Nasional sendiri.

Isu kemiskinan rakyat, taraf pendidikan yang rendah dan semakin merosot, pergaduhan kaum akibat kepimpinan, perlaksanaan undang-undang yang lemah dan tidak adil adalah isu-isu yang perlu dilaksanakan dan diselesaikan dengan tangkas oleh Barisan Nasional namun tidak dapat dicapai sama sekali oleh Barisan Nasional. Mengapa? 

Sebabnya mudah, Barisan Nasional sendiri melanggar semua isu-isu ini. Barisan Nasional menutup mata terhadap salah laku pemimpin, gelaja rasuah semakin meningkat dan bukan lagi perkara yang boleh disembunyikan. 

Kegagalan demi kegagalan yang ditempuhi oleh Barisan Nasional adalah disebabkan oleh kesalahan pemimpin tertinggi yang perlu diselamatkan dahulu demi jawatan dan kuasa sekaligus menggoncang institusi undang-undang, agama dan kewangan negara.

Akui kesalahan dan minta maaf kepada rakyat

Barisan Nasional sudah terlalu jauh dan dalam di dalam ketaksuban memiliki kuasa. Sudah terang lagi bersuluh kesalahan-demi kesalahan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sepanjang kepimpinannya tetapi seorang demi seorang ahli Barisan Nasional begitu angkuh untuk mengakui kesalahan malah begitu yakin mempertahankan kesalahan yang telah nyata di mata rakyat.

Saya tidak menulis sebagai penyokong Pakatan Rakyat mahupun penyokong Barisan Nasional. 

Saya menulis kerana saya sudah merasakan bahawa telah tiba masanya Barisan Nasional akur bahawa  Barisan Nasional terlalu banyak membuat kesalahan. Kesalahan Barisan Nasional umpama luka baru yang sentiasa dicipta. Belum sempat luka lama sembuh, telah wujud luka baru yang mencalarkan imej Barisan Nasional.

Biar saya nyatakan sekali lagi. Tidak salah mengakui kesilapan-kesilapan, salah laku, dan salah guna kuasa yang berlaku di Barisan Nasional. Ambil tanggungjawab ini dan akui kesilapan. Mohon maaf kepada rakyat secara jujur dan berundur dari kepimpinan negara. 

Ambil masa untuk menyusun semula strategi baru yang lebih segar, jujur, amanah, dan adil. Barisan Nasional sudah semakin parah dan tidak mampu dirawat jika tidak berundur buat seketika. 

Umpama pelari yang patah kakinya, dia tidak boleh dirawat ketika dia terus berlari. Dia perlu menarik diri, ketepi untuk menerima rawatan dan dirawat sehingga sembuh.

Saya tidak menafikan jasa anda kepada rakyat Malaysia jauh sekali menidakkan perkara-perkara yang baik yang telah dilakukan kepada negara sepanjang tempoh penguasaan Barisan Nasional. 

Tidak ada balasan yang mampu dilakukan untuk membalas jasa tersebut.

Saya hanya ada satu soalan buat pemimpim-pemimpin Barisan Nasional: Ada hanya ada sekurang-kurangnya 20-30 tahun lagi untuk anda semua hidup. Anda hanya ada tempoh itu sahaja untuk berubah dan memperbaiki Barisan Nasional dan kepimpinannya atau terus sombong dan angkuh dalam keghairahan mengejar kuasa dan lemas di dalam tipu daya dunia.

Mana satupun pilihan anda, tidak takut akan mati dan janji Tuhankah kalian semua atas segala yang terlah dilakukan kepada rakyat? Anda tidak akan berkuasa selamanya dan janji Tuhan itu pasti. - 12 Disember, 2013.

* Penulis adalah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.