Muktamar PAS ke-59 dijangka hangat dengan pelbagai isu. Dewan Ulama PAS menyifatkan gesaan bekas Naib Presiden PAS Datuk Dr Hasan Ali supaya parti Islam itu meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai cubaan memecahbelahkan parti Islam itu.
Muktamar PAS ke-59 dijangka hangat dengan pelbagai isu. Setiausaha Dewan Ulama Dr Mohd Khairudin Aman Razali menegaskan kenyataan Hasan tidak wajar dijadikan rujukan oleh ahli PAS yang bakal menghadapi pemilihan parti minggu ini.
"Beliau bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan PAS dan Pakatan. Hasan Ali tidak wajar dijadikan rujukan oleh ahli PAS.
"Beliau mungkin ada hak untuk bercakap, tapi beliau tidak ada hak untuk dijadikan rujukan pemimpin PAS ataupun bercakap mengenai parti," kata Mohd Khairudin apabila dihubungi The Malaysian Insider semalam.
Hujung minggu lalu, Hasan yang dipecat daripada PAS menggesa parti Islam itu mengkaji semula kedudukan parti itu dalam PR kerana peranan PAS seakan-akan tidak menonjol lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Saya harap ia dapat dicerminkan dalam muktamar kali ini dan keputusannya, PAS meninggalkan PR,” kata Hasan semasa sidang media rumahnya Sabtu lalu.
Mohd Khairudin membidas Hasan sebagai tidak layak bercakap mengenai hal ehwal parti PAS memandangkan sudah dipecat pada tahun 2012. Keputusan tersebut berdasarkan Fasal 82 (9) peraturan parti.
"Bagi isu dan perkara yang dibangkitkan oleh Hasan Ali, ingin saya tegaskan di sini, Hasan Ali telah dipecat dan tidak layak untuk bercakap mengenai PAS ataupun perkara berkaitan dengan PAS," kata Mohd Khairudin.
Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed juga mempersoalkan niat Hasan yang membangkitkan mengenai gesaan tersebut memandangkan tidak pernah mengutarakan pandangan sedemikian semasa masih lagi berada dalam parti tersebut sebelum dipecat.
"Pandangan tersebut adalah hak beliau (Hasan Ali), tapi adalah lebih baik jika ia dilakukan semasa dahulu berada dalam PAS.
"Dulu tidak pun pernah nyatakan sokongan, patutnya bersuara ketika masih memegang kuasa," kata Mahfodz kepada The Malaysian Insider.
Dalam pada itu, mengenai isu kaji semula supaya tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PR, kedua-dua pemimpin Dewan Ulama tersebut menjelaskan cadangan tersebut bukan bertujuan untuk mengajak PAS meninggalkan PR.
Sebaliknya, Mohd Khairudin berkata cadangan tersebut diutarakan bertujuan untuk melakukan bedah siasat terhadap usaha sama selama ini yang terjalin antara PAS dan PR.
"Usul yang dibawa tersebut bertujuan untuk perkukuhkan sebarang kelemahan, kekurangan dan kepincangan yang dikenalpasti supaya satu kajian mendalam dilakukan.
"Ia bagi membuat penilaian kekuatan dan kelemahan sepanjang proses tahaluf siasi, tapi yang perlu ditekankan di sini bukan bertujuan untuk keluar daripada PR," katanya.
Sebagai contoh, Mohd Khairudin menyentuh isu pembahagian kerusi semasa PRU13 lalu, khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara sehingga menimbulkan kekalutan di kalangan ahli PAS di samping kenyataan-kenyataan pemimpin PR yang bersifat peribadi.
"Selain itu, pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh pemimpin-pemimpin PR semasa pilihan raya lalu yang merosakkan pandangan masyarakat terhadap PAS, khususnya keyakinan orang Melayu terhadap PAS," jelasnya lagi.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad yang dianggap sebagai kumpulan profesional tidak membantah usul mengkaji semula hal tersebut dan menghormatinya sebagai satu proses demokrasi dalam parti.
"Bagi saya, usul yang dibawa oleh ulama, berwajaran dan berpatutan, tidak mempunyai masalah dan mereka bertanggungjawab ke atas usul yang dibawakan.
"Ini membuktikan PAS mempunyai dinamika politik dan demokrasi yang sihat dalam kepimpinannya.. Ia juga menunjukkan wujud kepelbagaian dan memiliki sinergi," kata bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Dewan Ulama menimbulkan kekecohan baru-baru ini ekoran resolusi yang dibuat dalam perhimpunan mereka di Alor Setar.
Ia bermula dengan ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib yang mencadangkan multaqa itu mengkaji kerjasama politik dengan PR khasnya dengan PKR.
Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyifatkan resolusi itu satu tindakan yang tidak bijak.
Muktamar PAS ke-59 akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam mulai 22 hingga 24 November ini yang bakal menyaksikan pemilihan untuk jawatan tertingginya.
Muktamar kali ini dijangka panas dengan isu penyertaan PAS dalam PR ekoran resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS di Alor Setar sebelum ini.
Antaranya, resolusi itu mahu agar PAS mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PR khasnya PKR ekoran berkurangnya sokongan pengundi Melayu kepada PAS dalam PRU13 yang lalu.
Posted & copy by Rakyat Marhaen
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.