Followers
Friday, November 29, 2013
The unsinkable Mat Sabu. - Oleh Badrul A Bakar
Sekali lagi media sosial telah membantu. Kali ini penulis dipertemukan dengan pos yang dikongsi oleh salah seorang teman Facebook (FB). Ia adalah pos oleh Dr. Kamarul Yusoff yang sangat teruja dengan sebuah kajian oleh Ikhwan Taib, pelajar sarjana di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.
Judul kajian beliau ialah “Perjuangan Mohamad Sabu Dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS), 1978-2013”.
Menurut Dr. Kamarul, tokoh-tokoh PAS yang sering menjadi pilihan untuk dikaji secara ilmiah adalah Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA), Dato’ Fadzil Mohd Noor, dan Haji Yusof Rawa. Oleh itu, kajian oleh Ikhwan Taib menempatkan Mohamad Sabu (Mat Sabu) di kalangan kelompok elit tersebut.
Penemuan maklumat di FB secara kebetulan itu telah memberikan rangsangan kepada penulis untuk muncul dengan esei tentang Mat Sabu. Tidak disangka ada juga yang berkongsi keterujaan tentang “the unsinkable Mat Sabu”.
Tidak pernah berjumpa beliau secara empat mata. Hanya pernah melihat beliau dari jauh untuk beberapa kali dan pernah sekali sahaja mendengar ceramah beliau.
Nama Mat Sabu telah penulis dengari namanya sejak zaman kanak-kanak lagi iaitu di sekitar tahun 80-an. Nama beliau sudah popular tetapi PAS tidak popular pada ketika itu. Tidak pasti kenapa begitu. Yang pasti ketika itu, kalau Mat Sabu buat ceramah mesti ramai orang datang. Kata mereka seronok, boleh gelak-gelak. Agak pelik bagaimana ceramah yang isinya politik boleh jadik menghiburkan.
Di Melaka pada era itu PAS adalah parti yang sentiasa dijauhi dan sangat sukar meraih undi. Kalau bertanding dengan lambang bulan pasti hilang wang pertaruhan. Kasihan.
Terlalu banyak momokan tentang PAS. PAS ekstrim, ada golongan subversif dalam PAS. Ingat lagi dengan kes tembak-tembak di Memali, kafir mengkafir, dan juga masjid dua imam dan dua sesi.
Begitu juga dengan drama bersiri sebelum era drama swasta, iaitu di Saluran Satu RTM yang berjudul “Guru Yahya” yang memaparkan kisah kumpulan ajaran sesat. Malah penulis juga selalu takut dengan wanita berhijab gara-gara Hantu Kum Kum.
Ketika itu bertudung masih belum “trending”. Kerana masih kanak-kanak, penulis selalu mengaitkan segala yang telah disebutkan itu dengan PAS.
Semuanya berlangsung di era mesin taip, komputer masih belum sampai di Malaysia. Ia adalah era remaja bergayut di pondok telefon, baca majalah Ujang dan Gila-Gila. Ia adalah sebelum era penswastaan.
TM Berhad masih lagi Jabatan Telekom Malaysia, dan TNB masih lagi LLN (Lembaga Letrik Negara). Manakala Utusan Malaysia masih lagi menjadi sumber maklumat yang agung.
Tetapi pada masa itu, Mat Sabu sudah popular. Semua gara-gara ceramah. Selain itu, Mat Sabu juga dikenali kerana dia menghalang Kuala Lumpur dari jadi cantik. Dia halang jentolak daripada memusnahkan rumah-rumah setinggan. Mat Sabu juga jadi pakar bahasa kerana menamakan penghuni setinggan sebagai peneroka bandar.
Tidak pernah penulis sangka yang populariti Mat Sabu boleh bertahan sehingga kini. Malah boleh disifatkan 2013 adalah tahun klimaks Mat Sabu sebagai politikawan (meminjam istilah yang digubah oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah).
Walaupun bukan lagi wakil rakyat kerana kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), banyak isu dikaitkan dengan Mat Sabu. Pendek kata, seolah ada gerakan tersusun untuk melenyapkan terus Mat Sabu dari pentas politik Malaysia.
Isu pertama ialah Syiah. Pelik sebenarnya sebab seingat penulis pada 2010 pihak berautoriti di Malaysia sibuk memperkatakan musuh umat Islam di Malaysia ialah ekstrimis Wahabi (yang keterlaluan menentang idolatori dan bidaah sehingga tidak hargai sejarah).
Namun bila perang saudara di Syria meletus keadaan bertukar sebaliknya. Bermulalah sunni seluruh dunia untuk gali sejarah. Dulu masing-masing yang Sunni ini pernah terpesona dengan Revolusi Islam Iran, terpesona dengan Republik Islam Iran kerana berani menggelar Amerika Syarikat sebagai The Big Satan, berani menjatuhkan hukum bunuh warga British Salman Rushdie yang menulis buku the Satanic Verses yang menghina Nabi Muhammad S.A.W.
Namun, pada 2013 segala yang berkaitan dengan Iran dikutuki dan dibenci hanya kerana mereka Syiah. Sampaikan kurma dari Iran itu dipulaukan di bulan Ramadan, tapi kurma dari California bagaimana pula? Yang menambah pelik, Mat Sabu juga terpalit dengan kebencian melulu terhadap Syiah ini.
Ternyata isu politik antarabangsa telah menjadi modal politik bagi politik tempatan. Mat Sabu di asak dari segenap sudut. Dari dalam PAS dan juga luar PAS. Beliau kelihatan terasing akibat isu tersebut.
Apa yang menarik, isu Syiah digunakan oleh kelompok pro-ulama bagi menyekat Mat Sabu yang didakwa Erdogan. Ironinya, konsep kepimpinan ulama yang dipegang teguh oleh kelompok pro-ulama itu sendiri sebenarnya terinspirasi dari Iran.
Ia ekoran daripada revolusi Islam Iran. Konsep kepimpinan ulama bermula di era Haji Yusoff Rawa sebagai Mursyidul Am dan Datuk Fadzil Noor sebagai presiden. Ia membezakan PAS dari era Datuk Asri Muda.
Bagaimanapun konsep kepimpinan ulama PAS hanya meniru Iran dari sudut struktur organisasi. Di Iran ada jawatan “Faqeh” yang setara dengan Mursyidul Am yang hanya khusus untuk ulama dan presiden yang boleh datang dari pelbagai latar sama ada ulama, teknokrat, atau profesional. Ia bagi membolehkan ulama sentiasa mempunyai suara dan kuasa. Oleh itu, tidaklah tepat untuk mengatakan segala yang datang dari Iran itu hodoh dan buruk.
Bagi musuh politik Mat Sabu dari luar PAS, isu Syiah sangat berguna dan ampuh. Memencilkan Mat Sabu menyebabkan PAS hilang tokoh yang dapat diterima oleh berbilang kaum. Sudahlah TGNA pun dah hampir sepenuhnya bersara daripada politik dan sering uzur.
Kembali kepada politik antarabangsa seketika. Khalayak tempatan yang selama ini sangat luar biasa komited mencari perbezaan berbanding mencari persamaan di antara Sunni dan Syiah sehingga membawa kepada kafir mengkafir.
Wajar disedarkan bahawa perseteruan Syiah dan Sunni sama ada di rantau MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara) atau pun di Malaysia, hanya menguntungkan Israel.
Isu kedua ialah kalimah Allah. Mat Sabu adalah mangsa kerana fan base beliau merentas ras dan kelas. Selain TGNA, Mat Sabu adalah satu-satunya pemimpin PAS yang dikagumi oleh kaum selain Melayu. Ekoran mahu menjaga hati peminat, Mat Sabu sekali lagi terpaksa low profile, memencil diri.
Tersalah kata, Mat Sabu boleh hilang peminat baik dari kalangan Muslim atau pun yang bukan Islam. Tersalah urus isu ini juga boleh menyebabkan Mat Sabu hilang kredibiliti di kalangan ahli-ahli PAS itu sendiri.
Isu ketiga ialah komunis. Mat Sabu didakwa komunis kerana kekaguman beliau dengan perubahan yang bercorak revolusi dan track record beliau yang memperjuangkan kelas bawahan. Namun, jenis revolusi yang beliau kagumi adalah yang berteraskan Islam tanpa mengira mazhab seperti Revolusi Islam Iran dan Arab Spring.
Apabila memperkatakan tentang revolusi pastilah ia tentang perjuangan kelas bawahan yang tidak mempunyai sumber, tidak mempunyai kuasa, dan sering teraniaya. Salahkah Mat Sabu lebih menyebelahi kaum bawahan berbanding kaum usahawan? Komuniskah beliau hanya kerana corak perjuangan sebegitu?
Isu terakhir ialah hudud. Menjulang isu hudud menjadikan pesaing Mat Sabu nampak lebih Islamik. Memang nampak lebih Islamik memang sangat trending pada masa kini. Tetapi perlu diingat yang trending tidak semestinya relevan.
Semalam penulis sempat menonton rancangan Soal Jawab di TV3 yang menampilkan dua orang tokoh Umno. Seorang tokoh kontroversi dari Sabah dan seorang lagi tokoh muda dari Pulau Pinang. Gaya percakapan Dato’ Seri Reezal Merican kini bagaikan seorang agamawan (sekali lagi meminjam istilah yang digubah oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah). Adakah kerana tugas di Tabung Haji atau kerana sudah hampir dengan Perhimpunan Agung Umno (PAU)?
Menjelang pemilihan sama ada dalam Umno atau pun dalam PAS, nampak Islamik dan lebih Islamik daripada calon lawan adalah penting. Dalam PAS, isu penguatkuasaan hudud yang diketengahkan oleh Dato’ Nik Amar Abdullah menjadikan beliau nampak lebih Islamik berbanding Mat Sabu.
Ternyata, hudud sering menjadi modal politik walaupun realitinya menguatkuasakan hudud adalah sangat mustahil dari sudut teknikal kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Tambahan lagi hal-hal jenayah memang bidang kuasa Kerajaan Pusat. Kerana itu juga Prof. Madya Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff pernah menegur tentang hudud yang sering dipolemikkan.
Bagi penulis, Hudud ini sudah seperti isu kitar semula. Khalayak semakin nampak permainannya. Hasilnya, Mat Sabu sebagai calon yang kurang Islamik terus terpilih untuk menjawat jawatan yang disandangnya pada Muktamar PAS ke-59.
Justeru, apa lebihnya Mat Sabu sehingga mampu bertahan walaupun isu yang memasung memang hebat dan mampu menenggelamkan beliau dari kancah politik PAS dan Malaysia?
Penulis pernah bertanyakan pandangan seorang aktivis muda PAS tentang Mat Sabu. Beliau melihat Mat Sabu sebagai badut politik. Sepintas lalu ia suatu istilah yang menghina. Tetapi bukankah badut itu Pak Lawak yang meriangkan lagi menggembirakan? Mungkin kerana ciri khas itulah yang menyebabkan beliau terus relevan sebagai aktor politik dalam pentas politik Malaysia.
Lihat saja kedudukan para Pak Lawak dalam industri hiburan tanahair. Mereka semakin relevan. Malah semakin banyak rancangan bergenre lawak yang dihidangkan oleh bukan saja di saluran-saluran Astro dan Media Prima bahkan ada pementasan di Istana Budaya yang berprestij itu.
Mereka bukan lagi artis kelas dua, mereka sudah dapat watak utama dalam filem dan drama. Pak Lawak juga muncul menjadi yang paling popular. Mereka kini muncul di mana-mana saja program televisyen sehinggakan rancangan masakan. Pak Lawak juga menjadi pilihan sebagai penyiar radio (DJ) untuk program pagi. Zizan Razak, Johan, Saleh Yaakob, Kenchana Devi, Sarimah Ibrahim dan ramai lagi pelawak yang menguasai pagi para pendengar radio.
Begitulah juga Mat Sabu, Pak Lawak dalam politik Malaysia kini telah di angkat menjadi aktor politik yang utama. Mungkin kerana watak pak lawak beliau mampu menawan hati pelbagai golongan dan kaum dalam masyarakat. Kerana lawaknya beliau mampu menarik khalayak datang ke sebarang program anjuran PAS dan Pakatan Rakyat (PR). Kerana lawaknya beliau nampak merakyat dan terus disenangi oleh kawan dan lawan.
Kesimpulannya, terdapat tiga bukti utama yang telah menaik-taraf kedudukan beliau sebagai politikawan yang punya kelas tersendiri.
Pertama, usaha secara besar-besaran pihak di dalam PAS dan di luar PAS dalam kerangka nasional bagi memalitkan beliau dengan empat isu yang sangat sensitif iaitu isu Syiah, kalimah Allah, komunis, dan penguatkuasaan Hudud. Ini semua menunjukkan beliau adalah ancaman dan pesaing yang bukan calang-calang.
Kedua, kemenangan beliau sebagai Timbalan Presiden PAS (sesi 2013/2015) di pemilihan yang berlangsung di Muktamar PAS ke-59 pada 22-24 November 2012. Ia menunjukkan Mat Sabu adalah aset dan bukan liabiliti bagi PAS dan PR.
Ketiga, beliau menjadi pilihan bagi tujuan kajian ilmiah yang berjudul “Perjuangan Mohamad Sabu Dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS), 1978-2013”. Hal ini pula menunjukkan nilai Mat Sabu sebagai seorang politikawan.
Kesemuanya mengesahkan bahawa Mat Sabu adalah sosok yang tidak mampu dikaramkan walaupun tsunami melanda. Oleh itu layaklah beliau menerima gelar sebagai “the unsinkable Mat Sabu”.
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.