Followers

Friday, November 8, 2013

Setelah berperang di media sosial, kini mereka di pentas yang sama

 
Datuk Mujahid Yusof Rawa (tengah) berbual bersama Atiullah Othman selepas forum tamat malam tadi.
Datuk Mujahid Yusof Rawa (tengah) berbual bersama Atiullah Othman selepas forum tamat malam tadi. Perkembangan yang sangat menarik berlaku dalam PAS sejak kelmarin dan malam tadi apabila pihak yang bertembung dalam merebut hati dan jiwa ahli PAS diletakkan secara bersemuka di atas satu pentas.

Ia umpama debat agung antara kumpulan yang berbeza dalam satu parti sama menjelang pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat tetapi di dalam PAS bukan pemimpin utama yang bertembung tetapi jurucakap utama mereka.

Selama ini mereka bertembung dalam media sosial dan majlis berasingan, kini mereka diletakkan di atas pentas yang sama.

Malam kelmarin, empat pemimpin daripada dua kumpulan berbeza diletakkan di atas satu pentas, manakala malam tadi dua lagi pemimpin yang berbeza pandangan berkongsi pentas.

Datuk Mujahid Yusof Rawa yang digelar sebagai 'liberal' oleh Atiullah Othman bertemu di Dewan MPS Batu 16 Rawang malam tadi.

Tajuk forum dua tokoh kumpulan yang sedang bersaing dalam PAS ini adalah "Cabaran PAS mendepani aliran semasa gerakan Islam".

Ia dianjurkan oleh Persatuan Profesional Muda Malaysia (IPrisma), sebuah NGO Islam.

Atiullah adalah AJK bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Dewan Ulama PAS didakwa menyiapkan beberapa kertas kerja yang menyerang Mujahid serta rakannya Dr Dzulkefly Ahmad dengan mendakwa mereka golongan liberal dalam PAS.

Atiullah berkata, dia tidak berpuas hati dengan Mujahid kerana tulisan Mujahid dalam sebuah buku yang mempromosi Islam Liberal.

Mujahid berkata, apa yang beliau lakukan adalah memberikan kata-kata aluan kepada sebuah buku kerana beliau sentiasa berdialog dengan pelbagai kumpulan termasuk kumpulan ini.

Kelmarin, Dr Dzulkifly dan Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, berkongsi pentas dengan  dua tokoh penting golongan ulama PAS iaitu ahli Majlis Syura PAS, Zaharudin Mohamad dan Dr Azhar Yaakub, seorang tokoh ulama PAS Wilayah Persekutuan.

Mereka bertemu di Dewan MPAJ dekat Ampang dalam forum Pra Muktamar PAS.

PAS akan mengadakan muktamarnya yang ke 59 22 hingga 24 November ini di Shah Alam dengan agenda pemilihan untuk pucuk pimpinannya menjadi fokus kali ini.

Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS di Alor Setar bulan lalu membuat resolusi agar ulama dipilih untuk mengisi jawatan timbalan presiden dan sebahagian kerusi naib presiden selepas presidennya kekal tanpa bertanding.

Timbalan presiden dan tiga naib presiden PAS sekarang semuanya bukan di kalangan ulama.

Serangan bertalu-talu dibuat oleh tukang kempen ulama terhadap golongan yang mereka namakan sebagai anti-ulama.

Antara sasaran utama golongan ini adalah Mujahid, Dzulkefly Ahmad dan Hanipa Maidin. – 8 November, 2013.

The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.