Followers

Wednesday, November 13, 2013

PRU14: Mampukah PAS tawan 24 kerusi lagi?

 
PAS mungkin dapat merampas lima kerusi di atas, ini bermakna PAS memerlukan 19 kerusi lagi. Dari mana kerusi ini datang?

PETALING JAYA:  PAS, PKR, dan DAP masing-masing perlu menang 45 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lima tahun akan datang bagi membolehkan mereka menang majoriti dan membentuk kerajaan Pusat.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, jumlah 135 kerusi itu perlu jadi kayu ukur Pakatan Rakyat bekerja dari sekarang dan tidak lagi hanya bergantung kepada memperoleh kemenangan 50 peratus majoriti mudah.

“Sekarang cita-cita kita adalah setiap parti perlu menang 45 kerusi parlimen…saya tak fikir perkara itu mustahil untuk dicapai,” katanya semasa majlis makan malam Pakatan Rakyat di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, untuk itu DAP perlu berusaha tambah lagi tujuh kerusi, PKR lagi 15 kerusi dan PAS (24).

Pakatan Rayat semasa PRU13 lalu memperoleh 89 kerusi berbanding BN 133 kerusi; bertambah hanya tujuh kerusi dan masih mengekalkan kemenangan 2/3 majoriti BN.

Mampukah PAS tawan 24 kerusi lagi? Sudah tentu 24 kerusi ini adalah kerusi Umno kerana PKR yang memerlukan 15 kerusi lagi biasanya bertanding di kawasan majoriti Cina.

Analisis

Kalau kita analisis keputusan PRU ke 13, berdasarkan kerusi BN menang dengan majoriti kurang dari 1,000 undi, maka PAS mampu menawan parlimen Ketereh (majoriti 274 undi), Machang (805 undi) , Sungai Besar (399 undi), Kuala Selangor (460 undi) danTitiwangsa (866 undi).

Sasaran Lim Kit Siang adalah sebanyak 24 kerusi. PAS mungkin dapat merampas lima kerusi di atas, ini bermakna PAS memerlukan 19 kerusi lagi. Dari mana kerusi ini datang?

Kalau berdasarkan BN menang dengan majoriti kurang dari 2,000 undi, maka lebih banyak kerusi PAS yang mampu ditawan. Tambahan pula pada PRU ke 14 nanti semakin ramai pengundi muda akan mengundi buat kali pertama lebih cenderung mengundi parti pembangkang berdasarkan sikap anti establishment.

Bagaimana mahu mencari 19 kerusi lagi? Maka pucuk pimpinan PAS baharu yang akan ditentukan pada 24 November ini perlu memikirkan strategi untuk mencapai sasaran 45 kerusi yang ditetapkan oleh Lim Kit Siang.

PAS perlu ubah strategi mendekati para pengundi dari sekarang. Jangan turun padang ketika hampir pilihanraya sahaja. Ia hendaklah kerja yang berterusan mendekati orang ramai tidak kira orang BN atau orang Pakatan Rakyat.

PAS jangan tumpu kepada aktiviti keagamaan semata-mata sebaliknya lebih banyak buat program sosial yang melibatkan semua kaum.

Ubah

PAS kena ubah sikap jangan anggap orang itu kafir atau orang ini bukan penyokong kita. Jika PAS ubah sikap, saya percaya pengundi dapat menyokong PAS.

Pemimpin PAS jangan terlalu jumud dan mereka perlu bersikap terbuka. Usaha PAS meletakkan ramai calon profesional seperti doktor, peguam, jurutera hendaklah diteruskan. Tetapi bakal calon hendaklah mendekati rakyat dari sekarang. Biar rakyat kenal mereka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Jangan turunkan calon payung terjun. Sebab itu bakal calon perlu menganggotai seberapa banyak NGO yang ada dalam kawasan mereka supaya rakyat kenal mereka seperti Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) dan sebagainya.

Cabaran Lim Kit Siang yang mahu PAS menang 45 kerusi ini perlu dipandang secara positif. Sebab itu pucuk pimpinan PAS pada 24 November ini memerlukan gabungan ulama dan profesional supaya calon PAS terus diterima oleh bukan sahaja orang Melayu malah semua kaum.

Sebelum ini PAS menggunakan tag PAS GANTI UMNO, maka untuk menggantikan Umno, PAS perlu bersikap seperti orang Umno. Pemimpinnya jangan terlalu ekstrim sehingga yang ini tak boleh, yang itu tak boleh. Jika PAS bersikap terbuka, sudah pasti rakyat berbilang kaum senang dengan PAS.

Para pemimpin PAS jangan terperangkap dengan pemimpin Umno yang mengatakan PAS tidak akan buat hudud bila menang nanti kerana matlamat PAS, PKR dan DAP adalah menubuhkan kerajaan baru harapan rakyat.

Selama ini Umno sengaja melaga-lagakan PAS dengan DAP mengenai isu hukum hudud. Oleh itu janganlah para pemimpin PAS dan DAP cepat melatah dengan propaganda Umno kalau mahu melihat Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya pada tahun 2018.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.