Berikutan pendedahan sebuah portal berita mengenai bekas Perdana
Menteri, Mahathir Mohamad yang dilaporan sedang memberi tekanan kepada
Peguam Negara, Ghani Patail dengan memanggil bekas pegawai kanan polis,
Mat Zain Ibrahim dan peguam kanan, Shafie Abdullah ke rumahnya untuk
berbincang isu itu beberapa bulan lalu, penjelasan lanjut daripada bekas
Perdana Menteri itu pastinya sedang ditunggu-tunggu sekarang ini.
Tambahan pula isu adanya pengintip CIA bertugas di pejabat Peguam Negara
ini timbul hampir bertepatan dengan tersebarnya berita bahawa Amerika
Syarikat telah melakukan pengintipan di beberapa negara, termasuk
Malaysia. Secara langsung ini bukan saja memberi tekanan kepada Ghani
Patail, tetapi kepada Perdana Menteri, Najib Razak juga.
Sebagaimana yang dilaporkan, dalam pertemuan dengan Mahathir itu, selain
isu salah laku Ghani yang bermula dengan kes mata lebam melibatkan
Anwar Ibrahim yang turut menjadi perbincangan, bahkan juga berkaitan
kelemahan hujah pihak Peguam Negara sehingga menyebabkan kehilangan
Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Dalam hal yang berkaitan pengintip di pejabat Peguam Negara pula,
dilaporkan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi turut dipanggil oleh
Mahathir dan ditanya sama ada beliau mengetahui adanya dua orang
pengintip yang sedang bekerja dengan pejabat peguam negara sekarang ini.
Dalam hal ini, Zahid dikatakan berjanji akan menyiasat mengenainya.
Ghani Patail sejak beberapa tahun kebelakangan ini merupakan sasaran
pelbagai pihak yang mengecamnya kerana didakwa mengamalkan pendakwaaan
berpilih dan mempunyai kuasa tanpa had dalam menentukan pendakwaan.
Selain isu liwat dan rasuah yang melibatkan Anwar Ibrahim, beliau juga
dikecam dalam pelbagai kes lainnya seperti kes pembunuhan Altantuya.
Susulan daripada itu, desakan agar beliau meletakkan jawatan juga
kerapkali kedengaran.
Malangnya, bukan saja beliau menolak untuk meletakkan jawatan, bahkan
Najib sendiri seperti mempertahankan kedudukannya dan mahu beliau terus
kekal mengetuai jabatan peguam negara itu.
Tersebarnya berita mengenai adanya pertemuan itu yang dianggap sebagai
tekanan Mahathir kepada Ghani Patail, ia bukan saja bertepatan dengan
hangatnya perbualan orangramai mengenai pengintipan yang dilakukan oleh
Amerika Syarikat kepada beberapa negara termasuk Malaysia, tetapi juga
bertepatan dengan iklim politik negara yang menyaksikan anaknya, Mukhriz
kecundang sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai sebulan iaitu
dalam percubaan merebut jawatan Naib Presiden UMNO dan dalam mengemudi
pilihanraya kecil Sungai Limau.
Walaupun keprihatinan Mahathir bertindak dalam menangani isu yang
melibatkan pengintipan CIA di pejabat Peguam Negara boleh dipuji
meskipun beliau bukan lagi memegang jawatan Perdana Menteri, tetapi
kaitannya dengan isu politik semasa yang sedang berlaku, sukar juga
ditolak.
Ia seolah-olah tiada kena mengena tetapi dalam masa yang sama macam ada kaitannya pula.
Sebelum ini Mahathir telah membangkitkan tentang politik wang yang masih
berlaku dalam UMNO dan kepimpinan Najib yang dianggapnya lemah kerana
selalu tunduk kepada tuntutan ekstrem daripada pihak pembangkang. Meski
dakwaan Mahathir ini disanggah oleh beberapa pemimpin UMNO yang cuba
mempertahankan Najib tetapi ramai yang percaya bahawa dakwaan Mahathir
itu banyak kebenarannya.
Dengan timbulnya pendedahan mengenai pertemuan beliau dengan bekas
pegawai kanan polis dan peguam kanan ini dan kaitannya dengan tekanan
terhadap Ghani Patail, penjelasan Mahathir yang seterusnya pasti sedang
ditunggu-tunggu oleh semua orang. Lebih-lebih lagi mengenali cara dan
gaya bekas Perdana Menteri itu, beliau tidak akan memulakan sesuatu
perkara tanpa asas yang kukuh.
Penjelasan Mahathir selepas ini mungkin bukan saja berkaitan pengintip
CIA di pejabat Peguam Negara tetapi barangkali juga melibatkan peranan
Apco yang kini menjadi penasihat dan perunding kepada pentadbiran Najib.
Apco ini pula sudah pun bertapak dalam pentadbiran kerajaan sebaik saja
Najib mengambil alih kepimpinan negara sejak 2009 lagi.
Oleh itu, ditambah dengan adanya pengintip CIA yang sedang bertugas di
pejabat peguam negara, adalah mudah dan berasas untuk mengaitkan
pentadbiran Najib dengan pengaruh luar, khususnya Amerika Syarikat.
Lebih-lebih lagi Najib juga dilihat amat suka dilihat mempunyai hubungan
yang baik dan mesra dengan kuasa besar itu.
Tidak dinafikan Ghani Patail mungkin sedang dijadikan sasaran, tambahan
pula beliau merupakan individu yang rapat dengan pentadbiran Najib
tetapi dalam masa yang sama paling banyak isu. Ghani Patail mungkin
dijadikan sasaran tetapi matlamat akhirnya ialah Najib.
Oleh itu, bukan saja Ghani yang sedang kepanasan sekarang ini, dengan
desakan mulai kedengaran agar tugasnya sebagai Peguam Negara digantung
kerana dakwaan adanya pengintip disisinya adalah dakwaan yang berat dan
serius, bahkan bahang kepanasan itu mulai turut dirasakan oleh Perdana
Menteri juga.
Kita hanya perlu bersabar sedikit dan menunggu Mahathir bersuara untuk mengetahui "siapa yang kena" dalam isu ini. ~shahbudin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.