Followers

Friday, November 8, 2013

Masa depan perjuangan Pakatan Rakyat - Amin Ahmad


 
 

November memulakan tirainya dengan penuh peristiwa. Umat Islam menyambut Tahun Baru sempena 1 Muharam, mengikut kalendar Hijrah. Penganut agama Hindu pula menyambut Deepavali. 
 
Umumnya, hijrah bermaksud perubahan daripada kurang baik kepada yang lebih baik. Pesta Cahaya pula meraikan kemenangan keadilan ke atas kezaliman.

Dalam tradisi besar dunia, kita sentiasa dapat membaca mesej penting tentang keperluan hijrah, bagaimana menjadikan kehidupan kita lebih baik dari semasa ke semasa, bukan sebaliknya. 
 
Lebih baik di sini bukan sahaja dalam ukuran kekayaan wang, tetapi lebih penting lagi ialah nilai murni seperti keadilan, persaudaraan dan keamanan.

Inilah yang mesti sentiasa diingatkan, agar penglibatan pimpinan dan ahli dalam parti sentiasa cuba bergerak dengan idea dan nilai pendorong yang benar, di samping meramaikan lagi kelompok di luar parti agar dapat bersama menghayatinya. Tanpanya, Keadilan secara khususnya, tidak akan berbeza dengan parti lain.

Politik

Meskipun jumlah majoriti yang diperolehi lebih kecil, kita bersyukur kerana (YB) Mohd Azam Abd Samat, calon PAS, berjaya mempertahan kerusi yang dipertandingkan semula berikutan kematian Tan Sri Azizan Razak, mantan Menteri Besar Kedah. Ia petunjuk penting bahawa Pakatan Rakyat masih sangat diperlukan untuk membawa perubahan dalam negara.

Sepanjang perjuangan, kita mendengar ramai yang datang dan pergi, atas pelbagai sebab. Terlepas apa pun sebabnya, kita berdoa agar diri kita dan mereka akan setia kepada idea dan nilai pendorong yang benar dan pengorbanan yang sedikit atau banyak itu akan dihitung sebagai amal baik kehidupan di dunia.

Perjuangan Keadilan, bersama PAS dan DAP diteruskan dalam mesyuarat ketiga penggal pertama Dewan Rakyat yang bermula pada 21 Oktober 2013 dan dijangka selesai pada 5 Disember 2013. 
 
Ramai mendengar pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Apa yang pernah diingatkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) jelas berlaku.

Ekonomi

Tidak ada lagi dakwaan angkuh Barisan Nasional (BN) bahawa hutang negara masih terkawal. Jalan yang mudah diambil ialah memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Komitmen kerajaan untuk mengurang perbelanjaan tidak berlaku. 
 
Buktinya, meskipun Bajet 2014 meningkat lebih RM13 billion berbanding Belanjawan 2013 (tidak termasuk Belanjawan Tambahan), peratusan perbelanjaan mengurus tidak berkurangan, tetapi meningkat.

Ini antara asas mengapa kita berasa curiga dan tidak yakin dengan cara BN menguruskan kerajaan. Kita akui GST antara sistem percukaian yang dianggap terbaik di dunia pada masa kini, tetapi kita mesti ada kesedaran bahawa asas memperkenalkannya biarlah kerana idea dan nilai pendorong yang benar, bukan kerana pembaziran, keborosan dan kecuaian kerajaan.

Ini juga harus menyedarkan rakyat bahawa pendapatan kerajaan sebenarnya datang daripada poket rakyat, bukan daripada poket pemimpin BN semata-mata. 
 
Seharusnya, contoh ditunjukkan oleh pihak kerajaan terlebih dahulu melalui penjimatan atau potongan gaji dan elaun menteri hingga ekonomi dipulihkan. 
 
Belanja di setiap kementerian kerajaan juga perlu dikurangi sebanyak 2.5% setiap tahun. Dengan cara ini, dalam tempoh sekitar empat tahun akan datang, penjimatan kumulatif akan berada pada kadar 25% perbelanjaan semasa.

Sosial

Di tengah berita gembira dan sedih, polemik baru muncul apabila Karpal Singh mencadangkan parti politik berasaskan kaum dan agama dibatalkan justeru diubah suai agar boleh disertai oleh semua kaum dan agama, untuk memupuk perpaduan.

Cadangan ini tidak jauh berbeza dengan cadangan satu sekolah untuk semua. Maksudnya tidak ada lagi sekolah agama, cina atau tamil, yang ada hanya sekolah kebangsaan di mana mata pelajaran agama, bahasa Cina dan bahasa Tamil ditawarkan sebagai pilihan. 
 
Ideanya sama, jika pelajar diletakkan di sekolah yang sama, dengan sistem hampir seragam, maka perpaduan lebih mudah dipupuk.

Sementara pandangan ini mempunyai asas tersendiri, kita tidak boleh melepas pandang beza perpaduan (unity) dengan keseragaman (uniformity). Sebenarnya, kaum dan agama bukanlah masalah. 
 
Ia menjadi bermasalah, sama seperti elemen lain termasuk profesyen guaman, bila menjadi alat kekuasaan, untuk menjustifikasi kelemahan, penyelewengan dan kezaliman.

Perpaduan tidak semudahnya berlaku kerana pihak yang berbeza berada dalam parti, persatuan atau sekolah yang sama. 
 
Buktinya, sesama kaum dan agama, atau sesama parti dan persatuan, malah dalam keluarga sendiri juga, kadang-kala ada pertikaman lidah.

Apa yang diperlukan, khususnya dalam bidang pendidikan, ialah melahirkan insan baik. 
 
Manusia yang manusiawi, sedar dan berusaha menjadikan kehidupan lebih baik dari semasa ke semasa, dipandu oleh nilai murni seperti keadilan, persaudaraan dan keamanan seperti yang dinyatakan di bahagian awal tulisan ini. 
 
Ia tidak mudah. Memang tradisi besar tidak muncul tiba-tiba melainkan dengan adanya insan-insan baik yang sanggup untuk terus memperjuangkan idea dan nilai besar dengan jujur, sabar, terbuka dan berani.

Inilah perjuangan dan masa depan Pakatan Rakyat. Ia masih baru bermula. Sediakah kita menggalasnya? - 7 November, 2013.

* Amin Ahmad, 31, ialah bekas calon Keadilan di Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Komunikasi kepada Menteri Besar Selangor (2010-2012).

Perpecahan dalaman UMNO di antara team Jiptuya dan Isham Sotong disatu pihak menentang Dey Kuty dan Mukhriz disatu pihak yang lain merupakan rahmat yang besar kepada PR dan PAS. 
 
Perpecahan ini juga akan mebebas rakyat dari belenggu politik perkauman, ekonomi kapitalis kroni, keamanan sosial yang dihujani jenayah dan pendidikan yang diniagakan. 51% rakyat negara ini mengharapkan PR mampu menyelamatkan mereka dari kedurjanaan BN yang kian menjadi-jadi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.