Badan penyelidikan Ilham Centre menjangka PAS akan mengekalkan kerusi
DUN Sungai Limau apabila mendapati sokongan untuk parti Islam itu antara
53 hingga 55% menjelang hari membuang undi pada pilihan raya Isnin ini.
"Sepanjang tempoh kajian dijalankan, kami mendapati faktor identifikasi
parti yang terlalu menebal di kalangan pengundi penyumbang kepada
pengekalan undi PAS di sini," kata Hisomudin.
Ilham Centre adalah sebuah badan penyelidik yang mempunyai rekod
pencapaian baik apabila jangkaan mereka menjelang pilihan raya kecil
sentiasa tepat sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada tahun 2008
lagi.
Metode bertemu responden secara bersemuka adalah antara kajian yang
dibuat oleh Ilham dan ternyata ia mempunyai margin kesilapan sangat
kecil.
Menurut Hisomudin, kajian kali ini mendapati pilihan raya kecil Sungai
Limau memperlihatkan dengan jelas pertembungan antara PAS dengan Umno
dan bukan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.
Mereka juga mendapati pengundi Sungai Limau sangat tegar dan dipengaruhi oleh identifikasi parti berbanding faktor-faktor lain.
"Faktor ini menyumbang sebanyak 81% yang diambil kira oleh pengundi
berbanding faktor calon (12%) dan faktor isu hanya 4% sahaja," kata
Hisomudin.
Pengaruh dua pondok di kawasan pilihan raya ini iaitu Pondok Bukit Besar
dan Pondok Pak Ya yang dimiliki oleh tokoh PAS juga memberikan
sumbangan besar sokongan kepada PAS.
Dapatan kajian membuktikan bahawa pengundi yang tinggal di daerah
mengundi sekitar pondok-pondok tersebut adalah kubu kuat PAS seperti
Bukit Besar, Bukit Choras, Gelam Tiga, Batu 16, Permataang Buloh dan
Sungai Dedap.
Kawasan ini sukar ditembusi Umno untuk menafikan majoriti besar yang diperoleh PAS dalam DUN ini.
Manakala daerah mengundi yang jauh daripada jangkauan pengaruh pondok
seperti Dulang Kechil, Dulang Besar, Sungai Kering dan Sungai Daun
kelihatan pengaruh Umno lebih menyerlah berbanding PAS.
Menurut kajian itu, terdapat daerah mengundi yang sentiasa berubah pola
sokongan dan menjadi rebutan silih ganti di antara PAS dan Umno seperti
Sedaka, Ulu Sedaka, Simpang Tiga, Kabu Sepuloh dan Sungai Limau.
Pola sokongan PAS di daerah mengundi Padang Lumat pada tradisinya adalah
kubu kuat PAS berlaku perubahan ketara ekoran berlaku krisis dalaman
PAS kawasan.
Antara keunikan kawasan ini ialah peratusan pengundi atas pagar (fence
sitter) amat kecil iaitu sekitar 11% sahaja berbanding kawasan lain yang
kebiasaannya mencecah 30%.
Dapatan kajian Ilham juga menunjukkan Umno/BN yang turun berkempen dalam
situasi underdog kelihatan cukup agresif menggunakan segenap instrumens
dan kekuatan jentera.
Manakala PAS pula mengggunakan strategi bertahan kerana yakin dengan kesetiaan pengundi untuk kekal dengan PAS.
Penilaian pola sokongan pengundi tidak berlaku anjakan ketara
berdasarkan tiada pengumuman lompat parti bagi kedua-dua pihak. Senario
ini mengukuhkan bahawa pengundi Melayu selesa dengan mengekalkan status
quo pilihan parti mereka.
Merujuk kepada soalan Ilham Centre kepada pengundi berkaitan dengan
pengekalan status sokongan pilihan parti sama seperti Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) yang lepas, 85% mengakui akan mengekalkan sokongan mereka.
Menyedari hakikat itu, jentera Umno kelihatan begitu agresif menerusi
kempen pemimpin-pemimpin parti, sayap Wanita, dan Puteri berusaha
memecahkan pola sokongan pengundi di kubu kuat PAS.
Ini dibuktikan apabila Umno berjaya menganjurkan program rasmi kerajaan
di kedua- dua pondok yang menjadi teras sokongan PAS selama ini.
Pemecahan tradisi ini ialah adalah kejayaan besar kepada jentera Umno dan fenomena baru kali ini.
Faktor Azizan dan Mukhriz
Ilham Centre mendapati tinggalan pengaruh Tan Sri Ustaz Azizan Razak memang ketara dan kukuh.
68% responden menyifatkan Azizan mempunyai sumbangan dan pengaruh yang besar di sini.
Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang sangat prihatin dan mesra rakyat tanpa mengenal perbezaan parti.
Antara jasa besar yang diakui oleh pengundi ialah Azizan berjaya
meredakan pertembungan keras yang menjadi tradisi Umno-PAS di kawasan
ini.
Ini menyebabkan kedua-dua jentera pilihan raya menggunakan faktor Azizan dalam kempen mereka.
Paling mengejutkan, Umno menganjurkan majis tahlil rasmi dan mencetak
kain rentang menyedekahkan al-Fatihah sebagai elemen menarik simpati
pengundi yang memberi undi di atas faktor Azizan.
Selain itu Ilham juga mengukur pengaruh Datuk Paduka Mukhriz Mahathir dalam pilihan raya ini.
Merujuk kepada tahap kepuasan hati pengundi kepada kerajaan negeri Kedah
di bawah pimpinan beliau menunjukkan pengaruh berada tahap 38%.
Pengundi mengukur dan menilai pengaruh Mukhriz berdasarkan kesungguhan
beliau turun padang menemui pengundi sepanjang tempoh kempen
berlangsung.
Faktor calon
Walaupun faktor calon hanya 12% dinilai oleh pengundi, namun ia tetap
signifikan dalam pilihan raya kecil ini. Jika dibandingkan calon PAS dan
calon Umno/BN, ternyata calon PAS mempunyai kelebihan yang ketara.
Kekuatan calon PAS Ustaz Mohd Azam Abdul Samad lebih dikenali oleh
pengundi sebelum pilihan raya kecil lagi iaitu sebanyak 50% berbanding
calon Umno/BN, Dr Sohaimi Lazim sebanyak 36% sahaja.
Dr Sohaimi hanya dikenali selepas pengumuman calon BN dilakukan.
Kelebihan Azam pada kaca mata pengundi ialah dipilih berdasarkan latar
belakang pengajian agama (43%), berasal daripada parti yang sama dengan
pengundi (38%) dan berasal daripada keluarga ulama Pondok Bukit Besar
(17%) menyumbang sokongan kepada calon ini.
Kekuatan Dr Sohaimi pula terletak kepada sokongan asas penyokong BN
(33%) disebabkan beliau calon yang berada di luar senarai perkiraan
pengundi sebelum ini.
Selain itu, beliau juga dilihat oleh pengundi mempunyai kelebihan berkelulusan tinggi (16%).
Sepanjang pengamatan berdasarkan data kuantitatif, pengundi di Sungai
Limau menyifatkan isu-isu nasional mahupun setempat tidak memberi kesan
besar penilaian kepada mereka untuk mengubah pola pengundian.
Isu-isu yang dimainkan oleh pihak media perdana elektronik mahupun
bercetak bersumberkan kenyataan-kenyataan pemimpin kedua-dua parti
dilihat gagal mempengaruhi mereka.
Sebagai contoh isu dakwaan TPM mengaitkan kematian Azizan yang mengidap
diabetes dengan kenaikkan harga gula tidak mengurangkan sokongan
kepada kepada calon Umno (28%) manakala isu superimpose calon PAS
bersama Azizan juga tidak menjejaskan sokongan kepada calon PAS (19%).
Namun pengundi di sini sedikit terkesan dengan perkara yang dekat dan
terbeban kepada mereka. Ini dibuktikan dengan dapatan kajian yang
menunjukkan mereka terkesan dengan kenaikan harga minyak (73%) dan harga
keperluan barangan (56%).
Walaupun demikian faktor ini tidak mampu mempengaruhi pengundi untuk
mengubah pendirian mereka kerana faktor pilihan pengundi berdasarkan
parti mengatasi faktor- faktor lain.
Kempen kelihatan berlaku persaingan sengit di antara jentera PAS dan
Umno di enam daerah mengundi marginal iaitu Sedaka, Kabu Sepuloh, Padang
Lumat, Simpang Tiga, Sungai Daun dan Selengkoh.
Daerah mengundi marginal ini merujuk kepada keputusan pilihan raya lepas
yang mana memperlihatkan kedua-dua parti memperolehi undi majoriti
tipis.
Kajian ini mengenal pasti kedua-dua jentera rancak menumpukan usaha
untuk meraih undi di lokaliti-lokaliti ini. Kempen menerusi kaedah
konvensional digunakan pada tahap maksimum oleh jentera Umno dan PAS.
Ilham mengajukan soalan untuk mengukur jenis kempen yang efektif kepada
pengundi di kawasan ini dan memperlihatkan kaedah ziarah rumah ke rumah
dianggap kaedah paling berkesan kepada mereka.
Kempen ziarah rumah ke rumah oleh jentera Umno disaingi rapat oleh PAS dengan peratusan 80% (Umno) berbanding 74% (PAS).
Umno jelas ke hadapan dalam segmen kaedah kempen menggunakan media massa
terutamanya televisyen (84%), radio (49%) dan akhbar harian (74%).
PAS pula hanya bergantung kepada kaedah tradisi mereka iaitu ceramah
umum (38%), ceramah kelompok (34%) dan pengedaran risalah calon (39%).
Walaupun begitu, keadaan pengundi kelihatan menerima baik kedua-dua belah jentera namun perubahan sokongan tidak ketara.
PAS bertahan
Prediksi Ilham Centre berdasarkan respons pengundi terhadap undi yang
akan diberi kalah menang antara kedua-dua parti ini, PAS mendahului
dengan peratusan sebanyak 48% dan BN berada di aras 42% dan bakinya
adalah sebanyak 10% yang masih belum membuat keputusan.
Peratusan undi ini diukur kepada pengundi yang berada di dalam kawasan
pilihan raya tanpa melibatkan sekitar 7% pengundi yang berada di luar
kawasan.
Pengundi Cina ketika kajian ini dilakukan kelihatan berhati-hati dalam
membuat keputusan kali ini. Undi Cina disifatkan mendekati model pilihan
rasional (rational choice model) yang mengambil kira aspek untung rugi,
faedah serta impak kepada komuniti mereka.
Semua pertimbangan ini mengambil kira survival ekonomi masyarakat ini dalam membuat keputusan politik kali ini.
Kelebihan PAS ialah mempunyai undi asas penyokong tegar dan setia parti
di dalam kawasan yang tinggi ditambah dengan kelebihan peratus pengundi
yang berada di luar kawasan dilihat condong kepada PAS atau atas
kepentingan Pakatan Rakyat.
BN kelihatan optimis untuk menang dalam pilihan raya kecil ini
berasaskan beberapa elemen yang kelihatan memberi peluang untuk menang.
Antaranya ialah asas sokongan penyokong tegar dan setia parti kekal,
serangan jentera yang berjaya membuat penetrasi di kubu kuat PAS dan di
daerah mengundi marginal serta komposisi pengundi muda yang tinggi yang
dianggap condong menyokong mereka. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.