Followers

Thursday, November 28, 2013

Johor Negeri Deposit Tetap BN, Tapi Rakyat Johor Dipaksa Bayar Tarif Air Tinggi !


DAP menggesa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor menjelaskan kepada rakyat di negeri itu mengapa mereka dipaksa membayar tarif air tinggi walhal keuntungan berlipat ganda diperoleh menerusi penjualannya ke Melaka dan Singapura.

Ahli Parlimen DAP Kluang, Teo Nie Ching berkata, ia lebih menghairankan apabila rakyat Melaka menikmati harga jauh lebih rendah berbanding rakyat Johor sendiri.

Menurutnya, tarif air Johor iaitu RM1.05 untuk 35 meter isipadu pertama juga jauh melebihi purata kebangsaan sebanyak RM0.66 yang menyebabkan rakyat terpaksa membayar tambahan 159 peratus.

“Pada masa sekarang, Kerajaan Johor menjual air mentah ke Melaka dan Singapura dengan harga RM0.30/1,000 gelen, di mana mereka menerima bayaran bulanan sebanyak RM230,000 dari Melaka dan RM200,000 dari Singapura.

“Walaupun Kerajaan Johor mengaut keuntungan daripada jualan air tidak dirawat ini, rakyat di negeri itu terpaksa membayar tarif air lebih tinggi daripada Melaka.

“Jadi, Menteri perlu jelaskan mengapa ia jauh lebih tinggi dan apakah tindakan lanjut yang akan diambil untuk mengurangkan tarif air itu,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP turut mendedahkan tarif air perindustrian di Johor juga ditahap tertinggi di Malaysia.

Katanya, untuk penggunaan 80 meter isipadu pertama, Johor mengenakan bayaran RM2.80 bersamaan 210 peratus tambahan berbanding tarif purata negara RM1.33 semeter padu.

“Johor dikenali negeri ‘deposit tetap’ BN tetapi amat menyedihkan apabila sokongan kuat rakyat kepada mereka tidak langsung diberi perhatian, malah diabaikan dengan bebanan seperti ini,” kesalnya.

Kerajaan Johor baru-baru ini mencadangkan satu kajian semula caj air agar dapat meningkatkan keuntungan negeri.

Namun apabila Nie Ching mengutarakan soalan itu dalam perbahasan di Parlimen semalam, Dr Maximus menolaknya. 


-Roketkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.