Ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau baru saja berlalu, perkara paling menarik yang dilakukan oleh BN dalam usaha memenangi kerusi itu ialah dengan mengadakan karnival jualan murah di mana gula hanya dijual RM1 sekilo manakala sekampit beras 5 kilo pula dijual dengan harga RM5 sahaja.
Harga pasaran gula setelah dimansuhkan subsidinya ialah RM2.84 sekilo manakala sekampit beras 5 kilo pula ialah RM13.
Menariknya jualan murah itu ialah kerana ketika pembentangan Bajet 2014, Najib mengumumkan pemansuhan subsidi gula ialah bertujuan mengurangkan pengidap penyakit kencing manis di kalangan rakyat yang dianggap tinggi ketika ini.
Malangnya kerana kepentingan kerusi dan kuasa, BN jadi tunggang-langgang dan sanggup mengadakan jualan murah seolah-olah menggalakkan rakyat memakan lebih banyak gula daripada biasa.
Walaupun karnival jualan murah itu kemudiannya dihalalkan oleh SPR dengan mengatakan ia sama sekali tidak berunsur rasuah kerana pembeli tidak dipaksa untuk mengundi calon tertentu, tetapi akal yang waras tidaklah sukar memahami apa yang tersirat di sebalik yang tersurat daripada jualan murah gula dan beras itu.
Lagi pula, karnival itu diadakan untuk menyokong calon BN dan sudah pasti terdapat poster dacing serta gambar calon BN di sekitarnya. Tanpa disebut atau disuruh memangkah calon BN pun, pembeli sudah pasti tahu bahawa siapa yang mereka rasa terhutang budi kerana mengadakan jualan murah beras dan gula itu.
Meskipun mungkin ada pembeli yang rasa tidak terikat untuk mengundi calon BN apabila membeli gula dan beras murah itu, bilangannya tentulah sangat kecil. Kebanyakannya akan membalas budi dengan undi, lebih-lebih lagi orang Melayu yang memang terkenal dengan sikap mengenang budi dan membalas budi.
Golongan yang tidak mahu terikat dengan budi, biasanya tidak akan singgah membeli gula dan beras murah itu. Mereka lebih rela membeli beras dan gula dengan harga biasa daripada menebalkan muka membeli barangan itu dan kemudian rasa terhutang budi pula sambil menambahkan pula kencing manis di kalangan ahli keluarga.
Apabila SPR mengeluarkan kenyataan yang jelas memperlihatkan kecondongannya kepada BN, ia sebenarnya hanya menambahkan lagi persepsi gelap rakyat terhadap badan yang sepatutnya bebas dalam mengendalikan pilihan raya. SPR seharusnya lebih bijaksana, sesuai dengan kebijaksanaan rakyat yang semakin meningkat sekarang ini.
Bukanlah kerana PRK
Hari ini pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, Jamil Khir Baharom mengatakan, jualan murah gula dan beras di Sungai Limau tempoh hari bukanlah kerana adanya pilihan raya dan ia hanya kebetulan saja diadakan ketika kempen pilihan raya.
Kata beliau lagi, "Jualan murah ini ada di mana-mana, di pasaraya juga selalu ada jualan murah. Jadi apa yang nak dihairankan. Hanya kebetulan saja jualan murah itu diadakan ketika kempen pilihan raya Sungai Limau".
Wah, wah...cantik sekali hujah politik orang agama dalam menegakkan benang basah! Kenapa perlu berbohong dan bukankah berbohong itu dilarang oleh agama? Sebagai pemimpin yang tahu agama, tahu halal haram, hukum berbohong itu bukankah lebih besar dosanya?
Kenapa susah sangat Jamil Khir mengaku bahawa jualan murah itu memang sebahagian daripada acara kempen pilihan raya BN? Mengaku sahajalah, kalau memang itu hakikatnya.
Memang benar jualan murah ada di mana-mana dan pasaraya juga kerap melakukannya tetapi belum pernah rasanya gula dan beras turut dijual murah. Biasanya jualan murah di kampung-kampung dan di mana saja hanya melibatkan pakaian, barangan plastik, pinggan mangkuk dan sebagainya. Sejak lebih 56 tahun merdeka,belum pernah ada jualan murah gula dan beras kecuali di Sungai Limau.
Murahnya pula bukan kepalang. Gula hanya dijual RM1 sedangkan harga biasanya RM2.84 manakala beras pula hanya RM5 sedangkan harga biasanya RM13. Sudah tentu kalau bukan kerana pilihan raya dan maksud membeli undi, tiada siapa sanggup menjual harga semurah itu.
Siapa pun akan mengatakan karnival jualan murah gula dan beras itu adalah kerana kempen pilihan raya. Tidak ada maksud lain daripada itu kerana tidak ada peniaga yang sanggup rugi. Kalau betul bukan kerana pilihan raya, buatlah karnival jualan murah yang serupa di tempat lain juga.
Kepada Jamil Khir, jadilah pemimpin agama yang baik janganlah berbohong. Lebih nampak hodohnya kalau pemimpin agama pun sudah pandai berbohong. Kerja-kerja bohong ini biarlah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin lain dalam Umno. – shahbudindotcom
Posted by Jeebond BLM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.