KOTA KINABALU - Seorang bekas ahli politik Sabah dikenakan hukuman
penjara berjumlah 30 bulan dan denda RM2.75 juta oleh Mahkamah Khas Rasuah di
sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua tuduhan mengamalkan rasuah,
lima tahun lepas.
Hakim Dean Wayne Daly menjatuhkan hukuman ke atas bekas presiden Parti
Setia Sabah, Suaidin @ Suhaidin Langkab @ Langab, 63, selepas pembelaan gagal
menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama, Suaidin dikenakan hukuman penjara 18 bulan dan
denda RM2 juta atau setahun penjara kerana meminta suapan sebanyak RM400,000
daripada Chew Ai Wah sebagai dorongan kononnya sebagai bayaran kepada pegawai
di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
Bayaran tersebut didakwa adalah bagi mengurus proses pengeluaran geran
untuk Lot Tanah PT 80231840-PT80231842 and PT 80231849-PT80231852 dalam daerah
Pitas, Sabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Hotel Tang
Dynasty di sini pada pukul 9.30 malam, 28 Ogos, 2008.
Bagi pertuduhan kedua, dia dikenakan hukuman senjara 12 bulan dan denda
RM750,000 atau 10 bulan penjara kerana menerima suapan sebanyak RM150,000
daripada Chew untuk tujuan sama di Restoran Penyu, Hotel Nexus Karambunai
Resort, dekat sini, pada pukul 9 malam, 19 Sept, 2008.
Mahkamah memerintah hukuman penjara itu berjalan serentak iaitu hukuman
yang lebih berat, 18 bulan penjara.
Dalam penghakimannya, Daly berkata berdasarkan keterangan, alasan pihak
pembelaan bahawa wang itu adalah wang cengkeram tidak dapat diterima serta
kesalahan itu adalah serius dan boleh memberi imej buruk kepada JTU.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.