Lebih
ramai wanita berkhidmat dalam kategori profesional berbanding lelaki di
negara ini, demikian menurut Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh Malaysia
2012.
Laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini
menunjukkan sebanyak 686,600 orang atau 55% wanita bertugas dalam
kategori itu berbanding lelaki yang mencatatkan 559,800 orang atau 45%.
Wanita juga mendominasi kategori sokongan perkeranian dengan guna tenaga seramai 843,700 orang atau 72.1%.
Laporan itu turut menyatakan kadar pengangguran negara pada 2012 menurun kepada 3% berbanding 3.1% pada tahun sebelumnya.
Penurunan kadar pengangguran itu disebabkan peningkatan bilangan penduduk yang bekerja lebih besar.
Namun, lebih 60% jumlah penganggur di Malaysia adalah lelaki.
Mengikut laporan itu, kadar pengangguran belia berusia 20 hingga 24
masih mencatat peratusan tertinggi iaitu 40.6% yang bertambah 0.6% pada
tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.
Penganggur di bawah usia 20 tahun juga merekodkan peningkatan 0.4%
kepada 20.3% pada 2012 berbanding 19.9% pada tahun sebelumnya.
Penduduk berusia 30 tahun dan lebih yang menganggur merekodkan 22.2%
pada tahun lepas, yang menyusut 1% berbanding tahun sebelumnya, kata
laporan itu.
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) di negara ini pula meningkat
kepada 65.5%, yang bertambah 1.1%, tahun lepas berbanding 64.4% pada
tahun 2011.
Laporan itu menyebut, peningkatan itu disumbangkan oleh pertambahan
penduduk dalam pasaran buruh iaitu daripada 12.68 juta orang pada 2011
kepada 13.12 juta orang pada 2012.
Bagi kumpulan umur, KPTB tertinggi ialah kumpulan 25 hingga 34 tahun
berbanding kumpulan umur lain manakala KPTB terendah dicatatkan kumpulan
umur 15 hingga 24 tahun.
Dari segi bidang pekerjaan, majoriti penduduk yang bekerja adalah
pekerja perkhidmatan dan jualan dengan bilangan guna tenaga bagi
kategori itu sebanyak 2.63 juta (20.6%) pada tahun lepas.
Ini diikuti kategori pekerjaan asas iaitu 1.57 juta atau 12.4% manakala
dua kategori mencatatkan peratusan guna tenaga terendah iaitu Pengurus
sebanyak 0.69 juta orang (5.4%) dan pekerja sokongan perkeranian
sebanyak 1.17 juta orang atau 9.2%. – Bernama, 11 Oktober, 2013.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.