Semasa bertemu dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
petang semalam yang mengungkapkan potensi anaknya sekadar 50% atau
kurang daripada itu bagi merebut jawatan naib presiden Umno, teringat
saya akan seorang pelajar Akademi Fantasia (AF), Nur Nabila Mohd Razali
atau lebih dikenali sebagai Nabila AF.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah kaitan di antara seorang
bintang AF dengan Datuk Mukhriz Mahathir.Saya pada mulanya tidaklah
berniat untuk menulis tetapi melihat iklan di televisyen dan membaca The
Malaysian Insider pagi ini, membuat saya tersenyum sendiri dan melihat
persamaan itu makin dekat.
Bagi peminat setia program AF, pastinya mereka tahu bagaimana cabaran
Nabila mengharungi minggu-minggu panjang dalam program itu yang tidak
sunyi daripada kritikan tenaga pengajar, pengkritik dan yang paling
penting peminat setia program itu yang tidak henti-henti mahukan Nabila
tersingkir.
Itu kisah Nabila dan saya sekadar pemerhati, tidaklah terlalu
arif untuk menghakimi persembahan Nabila, kerana masa untuk menonton
televisyen pun sudah berkurangan yang hanya mungkin sempat melihat
siaran ulangannya sahaja.
Berbalik kepada perkaitan Nabila dan Mukhriz, teringat saya beberapa
episod sebelum ini, apabila ibu Nabila sendiri yang tidak meletakkan
harapan tinggi untuk anaknya malah mengaku tidak mengundi untuk
Nabila.
Itulah juga yang sering dilontarkan pengkritiknya, Roslan Aziz
senada dengan ibu Nabila yang seakan tidak sabar atau tidak tahan
berkata: “Saya setuju. Kalau tak boleh, jangan paksa diri.
Ungkapan itu seakan sama situasinya dengan apa yang dilontarkan Dr
Mahathir semalam yang tidak meletakkan harapan tinggi kepada anaknya
itu.
Katanya, Mukhriz bukanlah calon yang mendapat restu Presiden Umno
Datuk Seri Najib Razak dan menurutnya, calon yang mendapat restu
presiden sahaja yang akan dipilih menjadi pemimpin dalam pasukannya.
“Berdasarkan sejarah Umno sendiri, perwakilan akan memilih calon
mengikut kehendak presiden dan semasa saya menjadi Perdana Menteri
dahulu, calon yang menentang saya akan kalah.
“Ini terbukti keputusan
pemilihan sayap Umno baru-baru ini apabila calon yang mendapat restu
presiden berjaya memenangi jawatan yang ditandinginya,” kata perdana
menteri yang cukup dikenali dengan dasar pandang ke timurnya itu.
Dalam suasana sebegini, saya tidak melihat sedikit tanda putus asa pun
sepanjang menemui Mukhriz dalam tempoh berkempen, malah tutur katanya
yang teratur membuatkan saya melihat tiada sebab mengapa Menteri Besar
Kedah ini tidak diangkat sebagai salah seorang naib presiden dalam parti
Melayu terbesar itu.
Apa nak buat. Restu presiden dan saya pun bukanlah perwakilan
Umno.Teringat saya pada pertemuan bersama Mukhriz di waktu majlis
memperkenalkan calon pemilihan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
baru-baru ini.Sorakan gemuruh yang diterimanya amat luar biasa dan
bingit jugalah telinga dibuatnya.
Selepas majlis itu, beliau sibuk bersalam-salaman dan ramai yang
mengambil peluang untuk bergambar dengan anak Dr Mahathir
ini.Tertanya-tanya saya di dalam hati, apakah yang menyebabkan
perwakilan tertarik dengan Mukhriz ini?
Adakah disebabkan hidungnya,
matanya, ayahnya atau kredibiliti pemimpin ini sendiri?
Dalam kesibukannya itu, dapat juga saya menemui Mukhriz secara dekat dan
bertanya tentang peluangnya dalam pemilihan parti kali ini.
Katanya,
kemenangannya penting sebelum berputih mata melihat Umno tewas dalam
pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Beliau menyifatkan Umno sudah tidak
mempunyai banyak masa dan keputusan beberapa pilihan raya sebelum ini
jelas menunjukkan prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Jika saya
lewat mengambil keputusan untuk bertanding, silap-silap PRU14 kita dah
kecundang.
Umno sudah tiada masa. Kita telah lihat senario PRU12 dan PRU13, apa
agaknya keputusan PRU14 nanti?"Kalau kita masih tidak berasa cemas dan
hendak tunggu 10 ke 15 tahun lagi, kita terimalah padahnya," katanya.
Pandangannya itu berani dan jauh ke depan meskipun beliau melihat tiga
penyandang jawatan naib presiden bukan calang-calang juga orangnya yang
masing-masing mempunyai profil tersendiri, seperti Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi dengan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dan Datuk Seri
Mohd Shafie Apdal dengan kekuatan sokongan di Sabah yang telah banyak
menyumbang dalam PRU13 lalu.
Itu dia serba sedikit yang suka untuk saya kaitkan di antara Mukhriz dan
Nabila AF.Dua individu yang tidak mengenal erti putus asa dan terus
berjuang biar pun halangan berliku menanti di hadapan jalan.
Walau apa
jua keputusannya nanti, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada
dua individu ini semoga berjaya dalam arena politik dan seni nyanyian
tanah air. ~tmi

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.