Pemilihan Umno bakal diadakan pada 19 Oktober ini, iaitu kira-kira tiga
hari daripada sekarang. Kerusi paling panas diperkatakan ialah Naib
Presiden.
Semua calon bagi merebut jawatan itu ketika ini sedang sibuk berkempen ke seluruh negara menemui perwakilan, di samping turut sibuk muncul berkempen di televisyen melalui program bual bicara atau wawancara. Memandangkan kali ini jumlah perwakilan yang mengundi adalah seramai 146,500 orang dan tidak mungkin calon dapat bertemu dengan semua perwakilan itu, maka peluang muncul di televisyen tentunya kesempatan yang tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.
Semua calon bagi merebut jawatan itu ketika ini sedang sibuk berkempen ke seluruh negara menemui perwakilan, di samping turut sibuk muncul berkempen di televisyen melalui program bual bicara atau wawancara. Memandangkan kali ini jumlah perwakilan yang mengundi adalah seramai 146,500 orang dan tidak mungkin calon dapat bertemu dengan semua perwakilan itu, maka peluang muncul di televisyen tentunya kesempatan yang tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.
Selain itu, calon juga turut tidak melepaskan peluang menggunakan akhbar
sebagai medium kempen sama ada melalui wawancara, kenyataan akhbar,
ulasan isu semasa mahupun bercakap mengenai bidang tugas rasmi
masing-masing.
Bagi yang aktif di laman sosial pula, mereka juga turut menggunakan
kecanggihan dunia internet untuk berkempen dan mempromosi diri
masing-masing.
Bagi calon Naib Presiden, hanya Isa Samad yang didapati tidak aktif
dalam laman sosial dan didapati akaun Facebooknya sudah lama tidak
dikemaskini, selain tidak mempunyai akaun Twitter mahupun Instagram
manakala calon lain iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Apdal,
Mukhriz Mahathir dan Ali Rustam, mereka didapati aktif dalam laman
sosial dan sekurang-kurangnya mempunyai satu akaun sama ada Facebook,
Twitter ataupun Instagram.
Dengan Perdana Menteri, Najib Razak menggalakkan semua pemimpin Umno dan
kerajaan agar aktif dalam laman sosial bagi memudahkan berinteraksi
dengan rakyat, Isa Samad nampaknya tidak menyahut seruan itu dan menjadi
pemimpin yang tidak mahu bergerak seiring dengan perkembangan zaman.
Ini menjadikan Isa agak terkebelakang dan hanya mengharapkan bantuan
media tradisional atau komunikasi secara bersemuka dengan perwakilan
untuk kempennya.
Jika calon yang bertanding Naib Presiden kali ini dipecahkan kepada dua
kumpulan iaitu penyandang dan penentang, sehingga ini Isa Samad berada
di kedudukan paling bawah daripada segi keupayaan menggugat kedudukan
tiga penyandang sedia ada.
Daripada kumpulan penentang, calon yang didapati paling menggugat dan
berpeluang cerah untuk memenangi salah satu kerusi Naib Presiden kali
ini ialah Mukhriz Mahathir. Faktor kejayaan BN menawan Kedah, imejnya
sebagai pemimpin muda yang baik serta pengaruh bapanya, Mahathir Mohamad
adalah antara sandaran yang menjadi perkiraan perwakilan.
Calon kedua daripada kumpulan penentang yang dijangka mampu membuat
kejutan ialah Ali Rustam, bekas Ketua Menteri Melaka dan sekarang
bergelar Senator serta Pengerusi PUNB. Selain hubungan baik dan mudah
mesranya dengan ramai orang, jasanya dalam membangunkan Melaka serta
serangannya kepada pelbagai isu yang berkaitan orang Cina baru-baru ini
turut memberi kelebihan kepadanya.
Daripada kumpulan penyandang pula, calon yang paling popular dan boleh
dikatakan selamat ialah Zahid Hamidi. Pelbagai ketegasan yang
dipamerkannya sejak menjadi Menteri Dalam Negeri seperti Ops Cantas,
Akta Pencegahan Jenayah dan sebagainya menjadikan beliau pilihan paling
atas di hati perwakilan Umno, meskipun sikapnya itu mengundang
pertikaian bangsa lain.
Manakala dua calon penyandang yang lain iaitu Hishammuddin dan Shafie
Apdal, kedua-duanya masih lagi berada di zon bahaya. Berbanding Shafie,
kekalahannya mungkin tidak begitu memeranjatkan kerana undi daripada
Sabah sendiri didapati tidak solid kepadanya berikutan wujudnya masalah
antara beliau dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman tetapi kedudukan
Hishammuddin yang masih tidak menunjukkan banyak kemajuan sedangkan hari
pengundian semakin hampir, mungkin petanda tidak baik baginya.
Walaupun beliau sedang bekerja keras menemui perwakilan di seluruh
negara sambil cuba menangkis pelbagai persepsi negatif mengenai dirinya,
malah jentera kempennya juga turut giat ke sana dan ke mari, sehingga
ini penerimaan perwakilan Umno daripada pelbagai negeri masih lagi
membimbangkan.
Masih ramai perwakilan yang merasakan beliau tetap seorang pemimpin yang
lembik dan tidak tegas dan mereka kekal dengan kesangsian untuk
memberikan undi kepadanya.
Walaupun sebelum ini ada dakwaan mengatakan bahawa kemenangan Khairy
Jamaluddin dan Shahrizat sebagai Ketua Pemuda dan Ketua Wanita adalah
isyarat bahawa penyandang jawatan Naib Presiden, termasuk Hishammuddin
juga mempunyai kelebihan tetapi ramai perwakilan yang menolak teori
tersebut.
Bagi kebanyakan perwakilan, teori itu tidak semestinya benar kerana
untuk jawatan Naib Presiden perlu dipilih tiga pemenang manakala Ketua
Pemuda dan Ketua Wanita hanya seorang saja, selain pencabar untuk KJ dan
Shahrizat juga dianggap tidak cukup berwibawa untuk menggugat.
Ramai perwakilan yang melihat pemilihan Naib Presiden kali ini adalah
cerminan wajah parti untuk menghadapi cabaran akan datang, terutamanya
PRU 14 yang dijangka lebih getir berbanding PRU 13 lalu. Persepsi
negatif mengenai sepupu Najib itu terutama ketika beliau memegang
jawatan Menteri Dalam Negeri, masih lagi menghantui majoriti perwakilan.
Dengan Zahid dan Mukhriz dikira calon selamat, Hishammuddin kini bukan
saja terpaksa bersaing dengan Shafie Apdal untuk mengisi slot ketiga
tetapi juga dengan Ali Rustam yang kini graf politiknya sedang naik
dengan mendadak di hati perwakilan.
Jika sehingga 19 Oktober, tiada berlaku campur tangan atau arahan
mana-mana pihak dan pemilihan benar-benar bersih, Ali Rustam dilihat
mempunyai peluang lebih cerah mengisi slot ketiga berbanding
Hishammuddin ataupun Shafie Apdal. ~shahbudin

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.