Pengerusi pertubuhan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman tidak pernah menyangka beliau akan menang dalam kes samannya terhadap polis dan kerajaan Malaysia berikutan tangkapan ke atasnya sebelum ini.
Seleas keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang mengarahkan kerajaan membayar beliau RM370,000 semalam, beliau berharap polis dan Felda memberikan rakyat ruang bergerak yang lebih baik.
“Saya pun tidak sangka diberi kemenangan itu, tetapi saya banyak serahkan urusan ini kepada Allah. Maka dengan keputusan ini harapan saya supaya polis dan Felda berilah rakyat ruang bergerak demi transformasi dan keadilan,” katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.
Mazlan berkata demikian dalam sidang media selepas mahkamah memberi
kemenangan kepadanya dalam pemohonan kes menyaman polis dan kerajaan
Malaysia.
Mazlan memfailkan saman itu pada 18 Ogos 2010 kerana berpendapat tangkapan polis terhadapnya di Felda Lembah Klau pada 9 Mac 2010 berniat jahat.
Mazlan berkata, semalam adalah detik gembira baginya serta rakan-rakan setelah terlibat memperjuangkan isu Felda sejak 1989.
“Keputusan ini sangat menggembirakan saya, sebab sebagai rakyat Malaysia saya rasa hak asasi saya disekat termasuk ketika Kembara Oren.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam dan sahabat yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan saya," katanya.
Katanya, beliau masih ada beberapa kes lagi di mahkamah termasuk saman terhadap Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap yang memfitnah beliau menyeleweng duit peneroka Kemahang.
“Saya juga berhadapan dengan saman Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman dalam kes Rapid dan saman Felda dalam isu penjualan minyak sawit ke Israel,” katanya. – 24 Oktober, 2013.
The Malaysia Insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.