KUALA LUMPUR - Hanya beberapa minit selepas
Mahkamah Rayuan Malaysia memutuskan penghakiman kontroversi pada hari
Isnin yang bakal mengegarkan negara dan memecah belahkan lagi perpaduan
kaum, aktivis Melayu Islam yang ekstrim menggesa lagi agar keistimewaan
yang diberikan kepada orang Kristian di Sabah dan Sarawak ditamatkan,
dengan menegaskan bahawa larangan penggunaan kalimah Arab ‘Allah’
sepatutnya meliputi mereka juga."Keputusan itu sepatutnya merangkumi semua," Nasharuddin Mat Isa berkata kepada pemberita pada hari Isnin. Nasha adalah pemimpin kanan PAS tetapi telah menjelaskan pendiriannya bagi pihak NGO dan bukan bagi parti politiknya.
Nasha merujuk kepada keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan majalah Katolik, The Herald, menggunakan perkataan Allah dalam edisi bahasa Melayu.
Kesemua panel hakim mahkamah rayuan yang memberikan penghakiman itu merupakan orang Melayu yang beragama Islam.
Pada masa ini, orang Kristian di Sabah dan Sarawak dibenarkan untuk menggunakan kalimah Allah untuk menggambarkan Tuhan dalam Bible yang bahasa Melayu, dikenali sebagai Al-Kitab, dengan salah satu daripada syaratnya adalah kitab-kitab yang akan diedarkan hanyalah untuk ‘kegunaan orang-orang Kristian sahaja’.
Keputusan menjadi precedent: Sejauh manakah Najib redhakan perbuatan pelampau Melayu
Pada tahun 2009, Kementerian Dalam Negeri juga telah membenarkan The Herald untuk meletakkan kalimah Allah di kepala akhbarnya asalkan ia telah dinyatakan dengan jelas bahawa majalah adalah 'Untuk Kristian Sahaja'.
Walau bagaimanapun, ketika itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menarik balik kebenaran yang telah ditandatanganinya sendiri dalam tempoh beberapa hari sahaja setelah mengeluarkannya.
Semenjak itu, isu itu sering dipolitikkan dan digunakan sebagai alat oleh ahli politik untuk meraih sokongan popular daripada orang Melayu Islam yang membentuk sebahagian besar daripada pengundi di Semenanjung Malaysia, yang juga menguasai keahlian dalam parti Umno pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sejauh manakah Najib akan mempergunakan isu ini masih belum diketahui lagi. Walau bagaimanapun, sudah ada kebimbangan bahawa dia mungkin akan mempergunakan keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai satu 'precedent' yang ahkirnya akan memaksa kumpulan-kumpulan Kristian untuk menyerahkan lebih banyak lagi hak-hak mereka jika ia akan memberi faedah dari segi politik kepadanya.
Tempoh sukar bagi BN Kristian: Gelap masa hadapan Malaysia
Di Sarawak, orang-orang Kristian membentuk 43% daripada penduduk negeri ini, dan hanya beberapa hari yang lalu, pemimpin-pemimpin Gereja di sana telah mengeluarkan kenyataan mengutuk pengharaman kalimah Allah dan memberi amaran akan akibatnya jika keputusan yang diberi bertentangan dengan pendirian Gereja.
"Dua pertiga daripada Gereja di Malaysia terdiri daripada penganut seramai 1.6 juta rakyat Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang menggunakan Bahasa Malaysia untuk beribadat di samping bahasa ibunda mereka.
Dengan penuh hormat kepada pihak berkuasa yang mentadbir, sama ada bahagian perundangan mahupun eksekutif kehakiman kerajaan, kami meminta agar pihak yang taksub agama, perkauman dan ekstremisme tidak dibiarkan dan dibenarkan campur tangan dan meracuni keharmonian Malaysia, "Bolly Lapok, yang juga ketua biskop Anglican bagi rantau Asia Tenggara berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum keputusan terhadap rayuan itu dikeluarkan.
"Menghalang penggunaan kalimah 'Allah' akan menjadikan kaum Bumiputera ini memberontak di tanah tumpah darah mereka sendiri. Ini bukan sahaja perbuatan menghina tetapi tidak boleh diterima sama sekali."
Bolly yang juga dikenali kerana keakrabannya dengan Ketua Menteri Taib Mahmud sekarang terpaksa berhadapan dengan pelbagai persoalan yang mungkin akan dilemparkan terhadapnya akibat tuntutan terbaru kumpulan-kumpulan pelampau Islam itu.
Berpisah
Pengkritik mengatakan bahawa mereka yang bersekongkol dengan Umno -BN pimpinan Najib perlu bersuara atau terpaksa menampakkan diri mereka sebagai tali barut kerajaan persekutuan.
Para pengkritik juga berkata, rakyat sudah bosan dengan retorik dan lebih banyak alasan yang diberi hanya akan memaksa rakyat untuk menuntut parti-parti politik di Malaysia Timur untuk menarik diri daripada Umno yang diterajui oleh pemerintah BN .
" Pemimpin Kristian BN kini perlu meredhainya atau diam sahaja.
Mereka yang berjanji kepada pengundi bahawa isu kalimah Allah akan diselesaikan dengan baik perlu meletakkan jawatan atau menarik parti mereka keluar dari BN.
Pilihan raya umum akan berlangsung 5 tahun dari sekarang. Pemimpin Umno tidak akan melakukan apa-apa untuk orang-orang Kristian , mereka tidak lagi melihat Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum tetapi sebagai negara bangsa Melayu yang juga negara polis," kata penganalisis veteran Pembangkang Eddie Wong kepada Malaysia Chronicle.
"Inilah apa yang terjadi apabila kita mempunyai pemimpin yang lemah di bahagian atas, terutamanya Najib yang telah dipaksa untuk flip flop di atas semua agenda reformasinya. Dia tidak lagi berani untuk berbicara tentang 1Malaysia. Ahli-ahli Umno telah menjadi seperti samseng.
Dia tidak boleh mengawal mereka lagi. Merekalah yang mengawalnya dan ini adalah balasan yang paling besar akibat berpolitik tanpa keikhlasan selama ini. Politik perkauman dan agama telah menjadi bencana besar. Saya bukanlah pesimis tetapi saya hanya boleh melihat masa hadapan yang gelap bagi negara ini. "
Tidak lagi waras : Risiko keganasan, jihad berlaku
Orang-orang Kristian di Sabah dan Sarawak lebih ramai dan telah berikrar untuk tidak tunduk kepada apa yang mereka percaya adalah hak mereka yang tidak boleh dipersoalkan. Selain itu, umat Islam di Malaysia Timur setakat ini lebih toleransi akan isu kalimah Allah tidak seperti pelampau Islam di semenanjung.
"Ia agak sukar untuk diramalkan tetapi nampaknya orang-orang Kristian di Semenanjung menerima kesan yang paling teruk. Mereka tidak ramai manakala umat Islam di semenanjung pula yang lantang dalam isu ini. Saya tidak fikir Ibrahim Ali, atau Nasharuddin atau Zulkifli Noordin akan berani pergi ke Sabah dan Sarawak dan membuat tuntutan tidak masuk akal yang dilakukan mereka di sini melalui kerajaan Umno -BN , "kata Eddie Wong.
Eddie juga takut jika Malaysia tidak lagi diketuai oleh pemimpin "waras" tetapi dipandu oleh perusuh dengan sentimen yang disemarakkan bertahun lamanya oleh kepimpinan lemah dan perbuatan memanjakan pengundi Melayu secara berterusan untuk memancing undi mereka. Dia menyalahkan Umno kerana menjadikan perkauman sebagai sesuatu yang biasa dan diskriminasi terhadap agama minoriti berikutan perkembangan terbaru ini.
Pelampau diberi kebebasan
Menurutnya, Al-Kitab boleh terus diedarkan di Malaysia tetapi ia tidak boleh mengandungi 32 perkataan termasuk kalimah “Allah”, yang menurutnya sudahpun diharamkan ke atas orang bukan Islam melalui enakmen di beberapa buah negeri di semenanjung.
“Saya tidak nampak ada masalah jika mereka mencetak Kitab itu tanpa perkataan-perkataan tersebut, bukan sahaja “Allah” tetapi 32 perkataan di dalam Enakmen Jenayah Syariah,” kata Zulkifli kepada wartawan selepas mendengar keputusan mahkamah pada hari ini.
Zulkifli juga mahu gereja Sabah dan Sarawak untuk mendengar penghakiman Mahkamah Rayuan, yang menyatakan bahawa perkataan "Allah" bukan sebahagian daripada kepercayaan Kristian.
Dia menolak hujah bahawa orang Kristian di Sabah dan Sarawak telah pun menggunakan kalimah "Allah" sebelum menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 lagi.
"Mereka telah menggunakannya semasa penjajahan dunia Barat di negara Islam," katanya.
"Selama itu, orang berkulit putih di Amerika telah menyalahgunakan perkataan 'negro' dan ‘nigger’.
Apabila mereka mendapati ia telah digunakan dengan salah, mereka mengubahnya. Mengapa tidak mahu mencontohi itu? " Kata pemimpin kumpulan pelampau Melayu dan Islam itu.
Terkejut
"Kami ( Kristian di Sabah dan Sarawak) telah menggunakan kalimah Allah selama 100 tahun. Mengapa tiba-tiba kami diberitahu bahawa kami tidak boleh menggunakannya lagi? Adakah mereka (orang Kristian) telah bermimpi bahawa Allah melarang mereka daripada menggunakan kalimah Allah? " Kata James, ketika ditanya oleh media untuk mendapatkan komen darinya.
James juga berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu akan memberi kesan negatif ke atas bukan Islam di luar Sabah dan Sarawak.
Ahli politik Pembangkang, Baru Bian yang juga Ketua PKR Sarawak, melahirkan rasa terkejut kepada kerajaan.
"Saya terkejut dengan keputusan itu. Kami mempunyai bukti bahawa kami telah diberikan jaminan oleh nenek moyang kami di Sabah dan Sarawak yang telah membantu dalam pembentukan Malaysia.
Keputusan ini sangat bertentangan dengan hak-hak asasi yang telah dijanjikan kepada kami, "kata Baru dalam satu kenyataan , sambil menambah bahawa keputusan itu bertentangan dengan perjanjian Malaysia .
"Akhirnya, saya mahu menegaskan bahawa keputusan yang bertentangan dan menindas oleh Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan kebimbangan nenek moyang kami dahulu dan ia memberikan justifikasi kepada suara yang menentang menyertai pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang terdiri daripada 60 peratus suara majoriti.
[Terjemahan oleh Huzainah A Rani, Malaysia Chronicle]
Malaysia Chronicle
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.