Followers

Saturday, October 5, 2013

Menara TAMING SARI ROSAK 45 Minit



MELAKA - Seramai 15 penumpang yang menaiki Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini berdepan detik cemas apabila menara berputar setinggi 110 meter itu terhenti hampir 45 minit akibat berlaku kerosakan malam tadi.

Kejadian berlaku pada pukul 10.45 malam itu, ketika pengunjung termasuk empat kanak-kanak sedang menikmati pemandangan bandar raya Melaka sewaktu menara berputar itu mula turun.

Walau bagaimanapun, pada ketinggian 60 meter secara tiba-tiba menara berputar itu terhenti menyebabkan kesemua pengunjung terperangkap selama 45 minit.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nazary Ahmad berkata, kerosakan pada kabel optik yang menghantar isyarat kepada sistem komputer bagi mengawal perjalanan naik dan turun menara itu menjadi punca menara itu terhenti.




"Kakitangan bertugas mengubah sistem kawalan melalui komputer kepada sistem manual untuk menurunkan menara itu ke bawah tetapi mengambil masa yang agak lama," katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nazary berkata, menara itu berjaya diturunkan sepenuhnya kira-kira pukul 11.30 malam tadi dan kesemua penumpang dapat dikeluarkan dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.


Katanya, walaupun mengalami masalah teknikal namun bekalan elektrik ke menara berputar itu tidak terganggu, cuma alat pendingin hawa tidak boleh digunakan.


Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak bimbang ekoran kejadian yang berlaku kerana menara tersebut mempunyai sistem kecemasan yang membolehkan menara berputar dibawa turun secara manual jika berlaku kerosakan teknikal.


Kata beliau, pihaknya kini sedang berusaha mengatasi masalah tersebut dan Menara Taming Sari dijangka beroperasi semula dalam masa terdekat.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd. 


Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 10.45 malam dan tiga jentera bersama 15 anggota dihantarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, anggotanya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan seandainya sistem kedua menara ini gagal berfungsi.


"Bagaimanapun, sistem kedua ini berfungsi dengan baik dan menara dapat dibawa turun sepenuhnya pada pukul 11.30," katanya.




Pulakdah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.