Followers

Monday, October 21, 2013

Kerajaan Selangor jadikan PJ dan Klang Bandar bertaraf dunia !! - By TVSelangor

 
MBI-01

KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang untuk menubuhkan sebuah dana kekayaan negara – ‘sovereign wealth fund’ (SWF ) di bawah Menteri Besar Incorporated ( MBI ) untuk membuka nilai aset di Petaling Jaya dan Klang bagi tujuan pembangunan semula dan pembangunan baru.

Dana ini buat sementara waktu dinamakan Selangor Urban Development Fund atau SUDF, dijangka mempunyai saiz dana permulaan sebanyak RM1 bilion yang akan diperoleh daripada sumbangan pihak-pihak berkepentingan sektor swasta dalam industri pembangunan hartanah dan infrastruktur termasuk pemaju dan syarikat-syarikat pembinaan.

Di samping itu, kerajaan negeri bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan akan memperuntukkan peratusan tertentu daripada rizab tunai atau lebihan belanjawan untuk dana tersebut.

Rancangan itu didedahkan semalam oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim ketika membentangkan kertas kerja dalam The Future Of Urban Living Conference di Iskandar, Johor.

“Menyedari terdapat beberapa kekangan kewangan terutama kekangan kewangan yang bersifat semulajadi, kerajaan negeri akan membuka nilai aset asas dalam bidang hartanah tertentu yang dimiliki oleh negeri, melalui kaedah konfigurasi atau memanfaatkan aset itu sendiri sebagai sumber pembiayaan utama.

“Dengan model ini, kerajaan negeri ( dan pihak berkuasa tempatan ) akan menjadi penggerak atau pemangkin kepada pembangunan bandar dengan satu pelan induk komprehensif dan menyeluruh, manakala pemain sektor swasta hanya akan menjadi pelaksana rancangan yang digariskan oleh kerajaan negeri,” kata Dato’ Menteri Besar yang juga merupakan Felo Eisenhower.

Beliau berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan tidak lama lagi untuk menyelesaikan semua butir-butir yang berkaitan termasuk perancangan & reka bentuk umum, peratusan rizab tunai untuk diasingkan oleh kerajaan negeri, jumlah sumbangan oleh pihak-pihak swasta, profil risiko-pulangan, prosedur standard untuk operasi ( SOP ), tahap pendedahan atau mana-mana spesifikasi lain.

SUDF bertujuan untuk menjadikan Petaling Jaya dan Klang sebagai bandar-bandar bertaraf dunia berdasarkan konsep “kondusif, mapan dan kehidupan bandar bestari” dengan mengintegrasikan semua aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar selaras dengan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.

Jika berjaya, SUDF akan menjadi SWF Malaysia kedua selepas Terengganu Investment Authority ( TIA ), yang kemudiannya ditukar menjadi 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB ).

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Eisenhower Fellowship, organisasi dari Malaysia dan Singapura. Pada hari Khamis sebelum itu, Dato’ Menteri Besar telah membentangkan kertas kerja bertajuk “How To Make World-Class City: The Shah Alam Experience”.


Selangorku

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Post a Comment