Mohd Sayuti Omar
Setelah berbahas dan kemuncaknya malam tadi, akhirnya Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 diluluskan dengan suara majoriti penyokong kerajaan jam 12:50 tengah malam tadi.Perbahasan rang undang-undang itu hangat dan memperlihatkan kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan saling mempertahankan pendirian masing-masing atas nawaitu untuk menjadikan rang undang-undang berkenaan murni dan benar-benar bermanfaat.
Kerajaan yakin dan percaya rang undang-undang berkenaan tidak bersifat penganiayaan dan adil serta sangat penting untuk membasmi penjenayah berat di negara ini. Manakala pembangkang mempersoalkan rang undang-undang berkenaan sebagai hendak mengembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan sebelum ini. Pembangkang juga meragui rang undang-undang berkenaan akan disalahgunakan.
Walaupun jaminan oleh menteri KDN bahawa ia tidak akan digunakan untuk tujuan politik tetapi pembangkang tetap meraguinya berdasarkan apa yang berlaku sebelum ini.
Semasa kewujudan akta ISA 1959 dahulu, ada jaminan oleh perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman yang akta berkenaan akan digunakan untuk menangkap subversif sahaja
Tetapi apa yang berlaku jelas ia turut terheret kepada penahanan tanpa bicara terhadap ratusan ahli politik pembangkang.
Selain itu, pembangkang berhujah rang undang-undang berkenaan juga bertentangan dengan Perlembagaan negara di bawah beberapa artikel dalam Perlembagaan. Pembangkang juga mempertikaikan kenapa ia tidak diminta nasihat Peguam Negara terlebih dahulu walhal Perlembagaan berkehendakkan demikian. Dakwaan pembangkang itu diakui sendiri oleh Abdul Ghani Patail yang beliau tidak diberikan deraf rang undang-undang berkenaan.
Bagaimana dakwaan pembangkang itu dinafikan oleh menteri, di mana katanya perkara itu tidak betul dan rang undang-undang itu telah dibawa kepada peguam negara dan pihak lain sebelum dibawa ke Parlimen.
Pada perhatian saya sesi perbahasan rang undang-undang ini di peringkat dasar atau jawatankuasa, hingga ke peringkat hendak meluluskan ia menggambarkan kesungguhan dan keprihatinan pembangkang bagi menjamin rang undang-undang berkenaan tidak bersifat kejam dan zalim. Hampir semua ahli parlimen kedua-dua pihak yang arif mengenai undang-undang mengambil bahagian dalam perbahasan.
Walaupun di sepanjang perbahasan itu ada wakil rakyat yang terbiasa dengan perangainya menyampuk dan mempersendakan, namun keseluruhan sesi perbahasan itu menarik dan mempunyai kualiti sebagai ahli parlimen sewajarnya.
Malang sedikit hampir semua cadangan dan teguran pembangkang termasuk dalam soal teknikal dan feudalmental tidak dipedulikan oleh menteri KDN.
Semoga dengan lulusnya rang undang-undang berkenaan tujuan dan matlamat kerajaan untuk membenteras penjenayah berat akan tercapai. Kejadian tembak menembak yang menghantui rakyat Malaysia beberapa bulan lalu hendaknya akan dapat diatasi. Sehubungan itu juga indeks jenayah di negara ini akan menurun ke peringkat yang munasabah.
Daripada aspek lain, perbahasan dan kelulusan rang undang-undang berkenaan juga memberi markah yang besar kepada menterinya Ahmad Zahid Hamidi yang ketika sedang berdepan dengan pemilihan kepimpinan dalam Umno. Rang undang-undang itu sedikit sebanyak membantu beliau untuk mendapat perhatian perwakilan Umno untuk mengekalkan kedudukan sebagai Naib Presiden Umno yang mendapat undi terbanyak.
Bagi saya rang undang-undang baru itu walaupun ia tidak sama dengan ISA, tetapi daripada segi semangat dan rohnya ia mewarisi akta dekronian berkenan kerana elemen ketidakadilan masih kelihatan. – msomelayu.blogspot.com, 3 Oktober, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.