Laporan The Edge yang menyebut bahawa Malaysia mempunyai harga kereta
yang kedua tertinggi di dunia tidaklah mengejutkan. Struktur cukai
kereta yang melampau tingginya menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa
membayar harga lebih kurang satu kali ganda lebih mahal berbanding
rakyat negara lain.
Sebab itu rakyat tidak boleh berkompromi apabila Barisan Nasional
menaikkan harga minyak kerana ia tidak adil di kala cukai yang dikenakan
ke atas kereta adalah antara yang tertinggi di dunia.
Barisan Nasional sering mengungkit kononnya rakyat Malaysia tidak
membayar harga pasaran bagi seliter petrol atau diesel, lalu dijadikan
alasan untuk menaikkan harga minyak. Sebaliknya Barisan Nasional tidak
pula mahu menurunkan harga kereta supaya rakyat Malaysia juga membayar
harga pasaran bagi sebuah kereta, seperti mana rakyat negara lain.
Sebenarnya, sebuah isirumah purata rakyat Malaysia (keluarga
berpendapatan bawah RM5,000 sebulan yang dianggarkan membentuk 70% dari
keluarga Malaysia) membayar lebih banyak cukai dan tol berbanding jumlah subsidi minyak yang diperolehi.
Secara purata sebuah isirumah menggunakan 300 liter petrol sebulan.
Dengan subsidi sebanyak 63 sen setiap satu liter, ini bermakna sebuah
isirumah menerima subsidi minyak sebanyak RM189 sebulan.
Bagi sebuah kereta berharga RM60,000 yang dibayar secara ansuran
selama 7 tahun (seperti amalan biasa sebuah isirumah), duti eksais
kereta dan bayaran faedah ke atas duti eksais kereta dianggarkan sebanyak RM3,565 setahun, bersamaan sekitar RM300 sebulan.
Ini bermakna, Barisan Nasional mencukai rakyat Malaysia dalam bentuk
duti eksais kereta sebanyak RM300 sebulan sedangkan subsidi minyak yang
diterima hanyalah RM189 sahaja bagi setiap isirumah purata.
Ini adalah ketidakadilan yang nyata dan jelas menindas rakyat. Lebih
teruk apabila Barisan Nasional enggan pula mengakui hakikat bahawa ia
mencukai rakyat lebih banyak dari subsidi minyak yang diwar-warkan.
Saya akan terus bersuara menentang sebarang usaha menaikkan harga
minyak selagi harga kereta tidak diturunkan, kalau benar Barisan
Nasional mahu harga minyak mengikut pasaran dunia.
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi PKR
Ahli Parlimen Pandan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.