Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dikaji kedudukan
PAS di dalam Pakatan Rakyat, tetapi kaji hanya untuk penambahaikan,
bukan kaji untuk mengundur ke belakang.
"Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada
Umno yang sedang kelemasan," katanya.Beliau dipercayai mengulas resolusi
Multaqa Ulama Semalaysia yang dianjurkan Dewan Ulama PAS semalam.
Bagi Nik Aziz (gambar), kerjasama politik PAS dalam Pakatan Rakyat
bukannya diputuskan oleh beberapa individu malah ia merupakan keputusan
kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang
berlangsung selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.
Menurut beliau, PAS tidak merasa kesal apabila menyertai Pakatan Rakyat
dan keputusan parti tersebut untuk bergabung merupakan satu tindakan
tepat."Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia
lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia.
Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada
bukan Islam dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno kerana
parti itu bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan
menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka," katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS selama ini tidak
pernah ditentang malah pemimpin-pemimpin DAP khususnya sentiasa
berbincang tentang nilai-nilai Islam.
"Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang
kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua
dengan istilah sebegini," katanya lagi.
Ekoran itu beliau menggesa PAS untuk segera membuat perubahan terutama
dalam memahami selok belok suasana politik agar parti yang bertunjangkan
gerakan Islam akan terus kekal relevan di pentas politik negara.
"Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung
PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa
nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk
mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia,"
katanya.
Nik Aziz turut mengulas mengenai pandangan dibangkitkan Yang Berhormat
Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan ketika di Johannesburg, Afrika
Selatan apabila dinegara itu zakat diberikan oleh orang Islam kepada
bukan Islam.
"Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk
agama Islam menerima zakat sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang
bukan Islam yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga
seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan
zakat, permusuhannya itu kendur," Nik Aziz berkata.
Jelasnya ia sebagai satu lagi contoh bagaimana aspek pengamalan Islam
secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang
sebenar dan ia perlu diperbaiki oleh PAS.
Malah ia turut menandakan misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat
biarpun ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya namun turut
memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik.
"Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam
memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam,"
katanya.
Semalam Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti
Islam itu mengkaji balik tahaluf siasi (kerjasama politik) yang
dibuatnya dengan PKR.
"Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku
perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di
dalam tahaluf siasi," kata Harun.
Cadangan itu dikemukakan beliau melalui ucaptama kepada Multaqa Ulama
Semalaysia yang diadakan di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari
ini.Ekoran itu multaqa itu membuat resolusi agar Majlis Syura dan AJK
PAS Pusat mengkajinya.
Dalam pilihan raya lalu PAS menang 21 kerusi Parlimen dan hilang
kerajaan negeri Kedah berbanding PRU-12 menang 23 kerusi Parlimen dan
menang di Kedah.
Bagi melaksanakan kajian ini Harun dalam kertasnya itu mencadangkan agar
satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji dan menilai
kemerosotan sokongan pengundi Melayu ekoran tahaluf siasi dengan PKR.
"Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi PAS kepada PKR juga
antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang
perlu diberi perhatian," kata Harun. ~the malaysian insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.