Tawaran rundingan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya
"buang masa", kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Afdal hari
ini.
Shafie bekrata, kerajaan tidak perlu menghiraukan sebarang tawaran yang
dibuat Anwar kerana pilihan raya sudah berakhir, sebaliknya kerajaan
perlu memfokuskan untuk memerintah negara selepas mendapat mandat baru
pada 5 Mei lalu.
"Pilihan raya sudah berakhir, tidak perlu kita beri platform kepadanya
lagi. Bagi kita, apa yang penting sekarang ialah kita teruskan
memerintah negara dan bangunkan negara, satukan rakyat.
"Pandangan saya ialah ia membazirkan masa sahaja dialog dengan Anwar,"
katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Karnival
Usahawan Luar Bandar 2013 di Seri Pentas pagi ini.
Beliau berkata, rundingan itu tidak mendatangkan sebarang faedah dan
tidak akan membantu kerajaan dalam meningkatkan khidmat kepada rakyat.
"Tidak ada manfaat untuk berdebat dan manfaat," katanya.
Selain Shafie, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut
menolak tawaran rundingan itu serta mengganggapnya sebagai satu tindakan
terdesak.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, Anwar mengambil tindakan itu
selepas Pakatan Rakyat (PR) kalah dalam hampir semua petisyen pilihan
raya di seluruh negara.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Muhkriz Mahathir turut
mempersoalkan motif Anwar untuk menggesa perbincangan di antara dua
gabungan politik yang bertelagah itu.
Minggu lalu, seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin
Hussein, berkata mesyuarat Majlis Tertinggi membincangkan tawaran
tersebut tetapi hanya Datuk Seri Najib Razak yang layak mengumumkannya.
Anwar dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan negara ke-56 baru-baru
ini menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan kerajaan bagi
menyelesaikan masalah negara.
Anwar turut menggesa pertemuan segera diadakan antara PR dan BN.
"Titik pertemuan BN dan PR perlu segera dicari bagi menyelamatkan negara
di samping menyeru melupakan kesalahan masing-masing sempena hari
kemerdekaan negara esok,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat
PKR di Petaling Jaya, minggu lalu.
Ketua Umum PKR itu berkata, meskipun PR mendapat undi majoriti rakyat,
namun mereka bersedia melupakan ketegangan dan penyelewengan yang
dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pilihan raya 5 Mei lalu.
Beliau berkata, antara topik yang boleh dibincangkan bersama ialah
membabitkan isu kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan akhir-akhir
ini; masalah ekonomi negara yang semakin merudum dan masalah jenayah
yang semakin membimbangkan rakyat di seluruh negara.
“Datuk Seri Najib Razak harus terbuka untuk berbincang kerana banyak
dasar dan program yang boleh disepakati bersama. Pendekatan PR untuk
mengajak BN berbincang bukan bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan
tetapi perbincangan terbuka yang biasa diamalkan kerajaan demokrasi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.