Followers

Saturday, September 14, 2013

Satu lagi kampung Melayu bakal hilang

 

BUKIT MERTAJAM: Sebuah lagi Kampung Melayu di Pulau Pinang bakal hilang sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil pihak berwajib termasuk kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Penduduk Kampung Permatang Tok Subuh yang terletak di belakang Taman IKS Bukit Minyak, dekat sini ketika ditemui berharap kerajaan negeri dapat membantu mereka memandangkan harapan yang disandarkan kepada Umno dan BN bagaikan menanti buah yang tidak gugur.

Rata-rata penduduk dengan 52 keluarga itu merupakan ahli dan penyokong tegar Umno sejak beberapa generasi.

Pengerusi Badan Bertindak Kampung Tok Subuh, Hamidah Che Embi (gambar) menjelaskan, ugutan  pihak pemaju menyebabkan 20 keluarga terpaksa berpindah dengan pampasan antara RM7,000 hingga RM40,000.

Imbuhan sebanyak itu tambahnya, tidak memadai untuk mendapatkan rumah ganti tempat berteduh.

"Mana boleh diberikan pampasan sekadar itu sedangkan penduduk rata-ratanya susah. Lagipun mereka adalah peneroka awal sejak 1980-an ketika kawasan ini adalah hutan dan lembah," tegasnya.

Beliau berharap kerajaan negeri mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda penduduk di sini.

Menurutnya, penduduk bukan menolak usaha pembangunan yang dirancang namun mengharapkan pampasan seperti rumah dan tanah di kawasan berdekatan.

Seorang peneroka awal, Shahrom Salimi, 60, terkejut mendapat surat arahan daripada peguam pemaju supaya merobohkan rumah yang telah didiami sejak 30 tahun lalu.

"Dulu waktu datang meneroka kawasan ini hutan rimba. Pokoknya besar antaranya pokok Saga dan Halban yang amat besar dan tinggi.  Tetapi atas usaha keras ramai peneroka yang datang dari serata tempat akhirnya menjadi sebuah kampung, " ujarnya.

Mohd Yusuf Dollah, 76, pula berkata, setelah pencen dari bekerja di Kilang Bijih di Butterworth sekitar tahun 1995 beliau terus meneroka dan tinggal di sebuah bangsal usang.

Beliau masih ingat sambungnya, bagaimana terpaksa berhadapan dengan kesukaran menebang pokok  besar termasuk terserempak dengan binatang buas.

"Waktu itu amat menakutkan jika tak kuat semangat atau keras hati dah lama lari sebab kena tebang pokok besar-besar serta berhadapan dengan binatang buas.  Ular sawa tu biasalah bagi kami," ceritanya.

Ekoran kejadian arahan keluar itu, ramai pihak tampil memberikan bantuan termasuk mengatur pertemuan dan perbincangan antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)  Machang Bubuk,  Lee Khai Loon, Timbalan Ketua Menteri, Dato' Abdul Rashid Hasnun, Pemangku Ketua Parti KeADILan Rakyat (PKR) Cabang Bukit Mertajam, Jab Samad dan badan bukan kerajaan (NGO) Rumah Ganti Rumah (RUGAS), Zolkifly Md Lazim.

harakahdaily.net.
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.