Followers

Wednesday, September 4, 2013

NORHASHIAH MINTA POLIS & SPRM SIASAT MASHITAH IBRAHIM


Pelbagai cerita kita dengari mengenai Mashitah Ibrahim selama ini. Paling diingati ialah insiden pertelingkahan USTAZAH Mashitah dengan jiran beliau gara-gara kerja "pengubahsuaian" rumah sehingga sampai ke mahkamah kesnya.

Baru-baru ini Mashitah mengumumkan akan bertanding jawatan Exco Wanita Umno dan menyokong Shahrizat Jalil.

Beberapa hari lepas, Mashitah mengeluh gara-gara kemungkinan ada calon yang akan mencabar beliau sebagai Ketua Wanita Umno Baling dan dengan keras Mashitah melabelkan bakal penentang beliau sebagai "calon tajaan" dalam Bahagian sendiri.


http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/8/26/mstar_berita/20130826151711&sec=mstar_berita

Hari ini ada cerita lebih sensasi mengenai Mashitah apabila bekas Setiausaha Bahagian Umno Baling meminta SPRM dan Polis MENYIASAT Mashitah.

Berikut laporan tersebut dan jawapan Mashitah. Terserah kepada pembaca untuk membuat kesimpulannya.  

Norhashiah minta PDRM, SPRM segera siasat Mashitah

PUTRAJAYA 31 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menyelesaikan kes penyelewengan melibatkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berhubung pembukaan sebuah akaun bank yang mencurigakan pada 2010.

Bekas Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Baling, Norhashiah Ibrahim berkata, sehingga kini belum ada sebarang tindakan yang diambil terhadap bekas Ahli Parlimen itu biarpun sudah hampir tiga tahun berlalu.

Beliau mendakwa, namanya telah digunakan sebagai salah seorang daripada tiga penama untuk membuka akaun bank tersebut.

"Dalam hal ini, saya percaya nama saya digunakan tanpa pengetahuan dan tandatangan saya dipalsukan.

"Perkara ini hanya saya sedari setelah mendapat panggilan pihak bank berhubung urusan pengeluaran cek bernilai RM40,000 sekitar Oktober 2010," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Norhashiah berkata, beliau percaya akaun tersebut telah dibuka atas namanya dan digunakan tanpa sebarang pengetahuan.

Tambahnya, beliau tidak pernah memberi sebarang persetujuan kepada mana-mana pihak untuk berbuat demikian.

"Sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa berhubung isu tersebut.


"Biarpun pada 2011 saya sendiri dipanggil SPRM untuk disoal siasat berhubung kewujudan akaun tersebut," katanya.

Sementara itu, jelasnya, kenyataan yang dibuatnya itu adalah untuk mendesak tindakan segera diambil berhubung kes tersebut.

"Pada masa sama, tindakan ini dibuat untuk menjaga nama parti dan rakyat Baling khasnya.

"Ini kerana kita tidak mahu berlaku sebarang unsur penyelewengan dan penipuan yang akhirnya akan mendatangkan persepsi negatif daripada rakyat," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130901/dn_07/Norhashiah-minta-PDRM-SPRM-segera-siasat-Mashitah#ixzz2dbWcvb92
© Utusan Melayu (M) Bhd

JAWAPAN MASHITAH
 
 

Dakwaan ternyata tidak berasas

PUTRAJAYA 31 Ogos - Dakwaan penyelewengan berhubung pembukaan sebuah akaun mencurigakan merupakan suatu tindakan tidak berasas, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata, dakwaan itu ternyata tidak betul kerana perkara tersebut sebenarnya tidak berlaku.

"Perkara ini sebenarnya telah timbul dua tahun lalu dan siasatan telah pun dijalankan terhadap pertuduhan itu.

"Tetapi tuduhan ini tidak berasas dan tiada bukti. Kalau betul, sudah lama saya diambil tindakan oleh pihak berkuasa," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan isu pembukaan sebuah akaun bank mencurigakan dua tahun lepas oleh bekas Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Baling sesi 2008/2012, Norhashiah Ibrahim.

Norhashiah mendakwa namanya digunakan sebagai salah seorang daripada tiga penama untuk membuka akaun bank tersebut.

Pada masa sama, Mashitah berkata, dakwaan tidak berasas itu merupakan salah usaha taktik kotor daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku menjelang pemilihan parti Oktober ini kerana tindakan tersebut menunjukkan wujudnya persaingan tidak sihat.

"Kita kalau mahu bertanding, gunakanlah cara bersih, kenapa mahu memburukkan orang lain?," katanya.

Tambahnya, beliau tidak gentar dengan usaha tersebut kerana dalam hal seperti itu, seseorang ahli politik perlu bertindak sebagai pejuang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130901/dn_08/Dakwaan-ternyata-tidak-berasas#ixzz2dbWn3Fu6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.