Followers

Wednesday, September 11, 2013

Nilai RM jatuh, apa tindakan kerajaan - Mahfuz - Muhammad Faizal

Nilai RM jatuh, apa tindakan kerajaan - Mahfuz

Muhammad Faizal
Selasa, 10 Sep 2013.


KUALA LUMPUR: PAS melihat isu kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) harus dipandang serius oleh kerajaan khususnya Bank Negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika tindakan tidak diambil ia akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara pada masa akan datang.

"Isu kejatuhan RM ini perlu dipandang serius oleh kerajaan terutamanya Bank Negara dan mereka perlu mengambil langkah segera bagi menstabilkan semula RM.

"Kalau ini tidak diambil ia akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara dan rakyat akan terus berada dalam keadaan tekanan," jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, kejatuhan RM akan menyebabkan berlakunya inflasi dan kesan yang paling teruk adalah kepada sektor import eksport.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, jika urusan tersebut dilakukan dalam mata wang asing menyebabkan kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan yang lebih.

"Tindakan ini akan menjadikan harga barang terus meningkat, kita tidak lagi dapat mengawal harga kerana faktor tersebut bergantung kepada mata wang asing.

"Langkah yang terbaik adalah kerajaan perlu mengikat mata wang Dollar dengan RM sepertimana yang dilakukan sebelum ini, setidak-tidaknya ia dapat menstabilkan RM untuk satu tempoh masa," sambung beliau.

Beliau yang melahirkan kekecewaan apabila sehingga sekarang kerajaan masih lagi berdiam diri dan belum mengambil pelan tindakan bagi menangani situasi tersebut.

"Kita tidak mahu apabila kerajaan mengalami masalah kewangan, sekali lagi hak rakyat dirompak duit diambil dari poket mereka.

"Sampai bila rakyat hendak diperlakukan sedemikian, subsidi adalah hak mereka dan sebagai sebuah kerajaan memotong subsidi bukan satu langkah yang bijak dalam menangani krisis ekonomi," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.