![]() |
| Mukhriz Mahathir |
KUALA LUMPUR: Rancangan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, mahu
terus mengekalkan barisan naib presiden parti itu - Datuk Seri Zahid
Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein -
nampaknya terganggu sedikit.
Ini selepas adanya jangkaan hampir pasti bahawa Datuk Mukhriz Mahathir
mungkin mahu merebut jawatan tersebut daripada salah seorang penjawatnya
sekarang.
Sumber rapat kepada anak lelaki mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad,
yang kini Menteri Besar Kedah, itu memberitahu sebuah portal berita
setempat, The Malaysian Insider (TMI), bahawa Datuk Mukhriz mengadakan
pertemuan dengan ketua Umno di Kedah malam tadi, dan dijangka
mengumumkan hasratnya itu sejurus selepas pertemuan tersebut.
Sejak beberapa minggu lalu, para blogger pro-Mahathir kerap menulis
mengenai peluang Datuk Mukhriz memenangi salah satu daripada tiga
jawatan naib presiden Umno itu.
Namun, para pengamat politik berkata jika rancangan Datuk Mukhriz itu
menjadi kenyataan, ia juga bermakna salah seorang daripada naib presiden
Umno sekarang mungkin kehilangan antara jawatan tertinggi dalam parti
itu.
Dalam hal ini, sebahagian besar daripada mereka menuding ke arah Datuk
Seri Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan Malaysia dan sepupu
Datuk Seri Najib.
Datuk Mukhriz, 48 tahun, dilantik sebagai Menteri Besar Kedah selepas
memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum 5
Mei lalu.
Para blogger pro-Umno pula berpendapat beliau seharusnya merebut peluang
mendapatkan jawatan naib presiden parti itu untuk mengekalkan statusnya
sebagai seorang pemimpin kanan Umno.
Sebelum ini, beberapa pencabar lain yang turut menyuarakan hasrat mereka
mahu merebut jawatan itu termasuk Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad,
dan mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.
Para pengamat melihat langkah Dr Mahathir menulis dalam ruangan rencana
akhbar Utusan Malaysia mengenai keperluan Umno mengadakan pembaharuan
dengan menyertakan lebih ramai pemimpin muda dalam pucuk kepimpinan
parti itu sebagai "usulan" kepada para pemimpin veteran Umno agar
menyokong penyertaan Datuk Mukhriz.
Penamaan calon bagi pemilihan pemimpin Umno ditetapkan pada 28 September
ini, sementara pemilihan pemimpinnya akan diadakan pada 19 Oktober.
Perhimpunan agung Umno pula dijadualkan pada Disember ini.
Kerajaan Rakyat

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.