Followers

Wednesday, September 4, 2013

Kerajaan tidak peka kesempitan hidup rakyat

KUALA LUMPUR: Di kala rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup masa kini yang tinggi, kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini dibimbangi akan disusuli pula dengan kenaikan harga barangan keperluan yang lain menyebabkan rakyat semakin terbeban. 

Demikian dinyatakan oleh Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya, alasan menaikkan harga minyak bagi membolehkan kerajaan dapat menjimatkan sehingga RM1.1 billion pada tahun ini dan RM3.3 billion pada tahun 2014 tidak harus dilihat sebagai langkah yang terakhir lebih-lebih lagi apabila ia membebankan rakyat.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melahirkan rasa kecewa dengan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen seliter semalam yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun pihak kerajaan telah berjanji untuk tidak menaikkan harga minyak semasa  kempen PRU13 dulu!

Sebab utama kenaikan adalah untuk merasionalisasi subsidi yang diberikan kepada rakyat.

Di kala rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup masa kini yang tinggi, kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa 3 September 2013 dibimbangi akan disusuli pula dengan kenaikan harga barangan keperluan yang lain menyebabkan rakyat semakin terbeban.

Alasan menaikkan harga minyak bagi membolehkan kerajaan dapat menjimatkan sehingga RM1.1 billion pada tahun ini dan RM3.3 billion pada tahun 2014 tidak harus dilihat sebagai langkah yang terakhir lebih-lebih lagi apabila ia membebankan rakyat.

Kerajaan seharusnya memikirkan bagaimana membentuk ekonomi negara yang lestari dan stabil tanpa bergantung banyak kepada pemberian subsidi di samping mengupayakan rakyat untuk tidak bergantung kepada saguhati-saguhati kerajaan seperti BR1M dan sebagainya.  

Jaminan kerajaan untuk mempastikan bahawa harga barangan keperluan rakyat lain tidak terus meningkat dan ke mana hasil penjimatan itu akan dibelanjakan juga seharusnya dinyatakan dengan jelas kepada rakyat.

Kerajaan juga harus menilai kembali beberapa keputusan yang dibuat sebelum ini yang menjurus kepada amalan pembaziran.  

Pengisytiharan beberapa projek segera sepanjang pilihanraya kecil serta  pemberian-pemberian yang mewah yang berupa sogokan seperti diumumkan semasa Pilihanraya Kecil Dun Kuala Besut sebagai beberapa contoh yang dilihat seolah-olah kerajaan tidak pernah merancang dengan berhemah perbelanjaan negara dan akhirnya apabila ekonomi negara mengalami kesempitan, ianya dibebankan kembali kepada rakyat. 

Oleh yang demikian, IKRAM menyeru supaya:

Kerajaan di sepanjang masa menunjukkan keseriusan dalam berjimat cermat, mengelakkan pembaziran di samping bersungguh-sungguh menangani  amalan korupsi yang berleluasa.

Kerajaan menurunkan harga cukai kenderaan yang tinggi serta mengawal kenaikan berterusan harga rumah. 

Inilah masa yang terbaik bagi kerajaan berbuat demikian  sebagai alternatif mengurangkan beban kepada rakyat terutamanya terhadap generasi muda.  

Sesungguhnya  dua perkara ini begitu  menekan kehidupan rakyat sehinggakan sebahagian  besar rakyat terpaksa berhempas pulas mencari rezeki tambahan siang dan malam untuk menampung  keperluan sara hidup mereka  sehingga mengurangkan masa berkualiti mereka bersama  keluarga dan masyarakat.

Rakyat mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan yang bukan merupakan keperluan.  

Sifat berbelanja secara sederhana,  berhemat dan  berdasarkan  kepada kemampuan pendapatan keluarga dan peribadi masing-masing  di samping  mengelakkan berhutang hendaklah diamalkan.

Masyarakat  perlu menyedari bahawa  kos sara hidup dan harga barang keperluan akan sentiasa naik.  

Oleh itu, usaha-usaha mewujudkan masyarakat contoh yang hidup secara sederhana amatlah wajar digalakkan di samping peka dengan hak untuk menegur kerajaan dan pimpinan.


Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.