Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar)
menggesa supaya Umno dibersihkan menjelang pemilihan parti nanti kerana
ramai yang memasuki parti tersebut semata-mata mahu menjadi kaya.
Bekas perdana menteri paling lama tersebut menggesa supaya pemimpin baru
dan muda supaya diberikan peluang kerana hanya dengan langkah tersebut
Umno akan dibersihkan.
"Bahkan pemimpin Umno di semua peringkat dianggap menyertai Umno bukan
kerana bangsa, agama dan negara tetapi ingin memperkayakan diri.
"Hanya dengan memberi kepimpinan Umno
kepada orang muda dan belum tercemar barulah pembersihan Umno boleh
menjadi kenyataan dan diterima oleh masyarakat," kata Dr Mahathir yang
dipetik dalam satu wawancara akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
Dalam wawancara itu lagi, Dr Mahathir turut membidas golongan muda zaman
ini yang dilihatnya terlalu mengagumi barat serta corak politik liberal
barat tetapi pada masa sama masih bergantung kepada bantuan kerajaan.
"Kita dapati ada di antara mereka, termasuk yang terpelajar, yang
berpendapat perjuangan Umno untuk bangsa, agama dan negara tidak lagi
relevan. Mereka berpendapat perjuangan untuk bangsa Melayu adalah lapuk
dan ketinggalan zaman.
"Yang anehnya ialah mereka sendiri berjaya kerana menikmati dasar kerajaan untuk menolong mereka," kata beliau lagi.
Walaupun golongan muda dilihat penting demi masa depan Umno, Dr Mahathir
berkata parti tersebut masih perlu berhati-hati dengan golongan
terpelajar yang berpandangan politik liberal kerana bimbang ia akan
memesongkan matlamat parti utama kaum Melayu tersebut.
"Kalau mereka ini menyertai Umno, besar kemungkinan Umno aan bertukar
menjadi parti yang tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan negara,
tetapi parti liberal ala barat.
"Mereka perlu diberi kursus politik Melayu dan perjuangan Umno mesti
diadakan. Walaubagaimanapun, kemasukan mereka adalah penting jika Umno
ingin membersihkan imej mereka," ujarnya lagi.
Dr Mahathir
mengulangi pendiriannya supaya semua jawatan dalam Umno
dipertandingkan, tetapi memberikan alasan jawatan Presiden dan Timbalan
Presiden tidak perlu dipertandingkan bagi menjaga keharmonian dalam
parti.
Pemilihan Umno
yang akan diadakan secara serentak pada 19 Oktober depan untuk memilih
pemimpin di peringkat bahagian dan pusat bukan saja penting untuk
kelangsungannya menghadapi pilihan raya akan datang, bahkan juga
merupakan ujian kepada ahli peringkat akar umbi yang pertama kali diberi
peluang memilih pemimpin serta mencorakkan parti itu.
Jika dulu hanya kira-kira 2,500 perwakilan terpilih yang akan menentukan
pemimpin di peringkat atasan tetapi kini peluang itu sudah diperluaskan
kepada kira-kira 150,000 perwakilan daripada lebih 20,000 cawangan Umno
di seluruh negara.
Perhimpunan Agung Khas Umno
pada Oktober 2009 meluluskan pindaan iaitu perwakilan bakal menentukan
kepemimpinan Umno dengan menghapus sistem kuota, persidangan mesyuarat
perwakilan secara serentak dan menambah bilangan ahli jawatankuasa
lantikan Wanita.
Makanya, peluang ini perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dan mereka
yang berjumlah lebih 150,000 ini seharusnya tidak lagi mengikut acuan
yang pernah digunakan oleh 2,500 perwakilan sebelum ini yang begitu
mudah diatur serta ditentukan telunjuknya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.