Followers

Friday, September 20, 2013

Kenangan Mengusi Jiwa - Dimalam 20 September, 1998...

 

 
Masih ingatkah wahai sahabat2 reformis98 dan sahabat2 seperjuangan yang lain akan tragedi 15 tahun yang lalu? MEREKA datang, mereka meredah masuk secara kasar dan mereka membawanya pergi. Anwar Ibrahim ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) buat kali kedua dalam sejarah hidupnya selepas beliau mengetuai satu gerakan rakyat di Masjid Negara dan Dataran Merdeka menuntut reformasi untuk kebenaran, keadilan dan kebebasan.

Teringat lagi semasa selepas perarakan selesai di Dataran Merdeka, terdapat satu kumpulan perarakan yang meneruskan perjalanan mereka ke Menara Dato' Onn di PWTC. 
 
Dari sana mereka meneruskan perjalanan ke Sri Perdana. Sudah tentulah tindakan tersebut tidak menyenangkan hati pihak berkuasa dan keselamatan. 
 
Belum pernah dalam sejarah Malaysia, kediaman rasmi Perdana Menteri didatangi oleh sekumpulan manusia yang menuntut reformasi dilakukan. 
 
Setibanya di sana, Polis Simpanan Persekutuan (FRU) menghalang kumpulan pro reformasi yang jumlahnya telah mencecah beribu-ribu orang daripada terus duduk di situ. Mereka dipancut dengan bedilan air dan gas pemedih mata.

Jam menunjukkan pukul 8.50 malam. Trak polis telah mengepung rumah Anwar. Polis telah tiba untuk membawanya pergi. 
 
Maka bermulalah drama dan episod sedih lagi mengharukan. Pada waktu itu Anwar yang jelas kelihatan letih dan ditemani oleh Wan Azizah sedang berucap di hadapan para wartawan dan penyokong-penyokongnya di dalam rumah. 
 
Sewaktu beliau sedang memberikan sidang akhbarnya itu, para komando dari Unit Tindakan Khas Polis menyerbu masuk dengan menendang dan memecahkan pintu hadapan rumah. Anggota unit UTK ini masuk dengan memakai topeng muka dan bersenjatakan senapang separa automatik Heckler and Koch MP5. 
 
Pada masa yang sama sebahagian lagi ahli keluarga Anwar termasuk bapa dan abangnya Rani sedang menunaikan solat Isyak. "Mereka masuk secara kasar seperti hendak menangkap seorang pembunuh upahan dan memijak sejadah kami bagaikan manusia yang tidak beradab," kata Rani, abang Anwar.

Anwar dan isterinya pada waktu itu yang dikepung oleh pengawal peribadinya telah meminta semua orang bertenang dan memberi kerjasama kepada polis yang datang menahannya. 
 
Pada waktu itu seketumbukan lagi pasukan polis berpakaian seragam hijau masuk ke pekarangan rumahnya siap dengan belantan dan perisai serta membuat tembok manusia sehingga ke pintu utama rumahnya. Pada ketika ini pasukan komando UTK sudah pun mengepung Anwar dan sanak saudaranya. 
 
Kumpulan UTK menyerbu masuk untuk mendapatkan Anwar dan pada ketika ini ada gelas pintu kaca yang pecah. Dengan senjata ditangan, mereka telah berjaya mengepung Anwar dan isterinya yang berada di belakang benteng manusia pengawal-pengawal pribadinya.

Sewaktu dibawa pergi Anwar tidak berkata apa-apa melainkan mengukir senyuman manis ke arah para penyokongnya dan mengangkat tangan. Pada ketika itu kedengaran gema suara yang menjerit "Allahu Akhbar", "Reformasi" dan "Perjuangan Tetap Diteruskan". 
 
Pasukan FRU lalu membawa Anwar pergi dengan menaiki Perodua Rusa bersama isteri dan anak-anaknya. Dua buah helikopter polis berlegar-legar di atas bumbung kediaman Anwar dan menyuluh lampu ke arah orang-ramai. 
 
Bagaimanapun kereta yang membawa Anwar telah berhenti di pertengahan jalan dan polis membawa Anwar masuk ke sebuah lagi kenderaan lain

Hari Ahad 20 SEPTEMBER 1998, 15 tahun lalu. Bermula dari Masjid Negara Kuala Lumpur & Dataran Merdeka. Bermula ledakan Reformasi, episod baru perjuangan rakyat. Gambar kenangan DS Anwar Ibrahim dan isterinya DS Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ditangkap polis komando bertopeng pada malam 20 September 1998



#Reformasi!!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.