Followers

Friday, September 13, 2013

Identiti Papagomo Disahkan, Berdepan Tindakan Hina Mahkamah

Friday, 13 September 2013

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris memang penulis blog pro-Umno, Papagomo, dan dia juga berdepan dengan prosiding menghina mahkamah berhubung tulisannya.

Selain diperintah membayar RM500,000 dalam satu kes fitnah, Wan Muhammad turut berdepan dengan prosiding menghina mahkamah berhubung tulisannya yang mengaitkan hakim yang mendengar kes dan dianggap memudaratkan badan kehakiman.


Wan Muhammad Azri (kanan) sebelum ini menafikan bahawa beliau adalah penulis blog kontroversi itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera berkata Wan Mohammad Azri berbohong kerana walaupun membuat penafian tersebut ketika memberi keterangan, tetapi penulis blog berusia 30 tahun itu, dalam pernyataan pembelaannya, mengaku dia adalah Papagomo dan membela diri atas alasan membuat komen yang adil.

Nuffnang Malaysia | The World's Leading Blog Advertising ...

Beliau memutuskan bahawa penulis blog itu tidak menyesal dengan tindakannya seperti yang dipaparkannya dalam perbicaraan kes fitnah itu.

Di samping itu, semasa perbicaraan, seorang penulis blog, yang memberi keterangan sebagai saksi, mengaku mengenali Wan Muhammad Azri sebagai Papagomo apabila mereka bertemu dalam satu sidang penulis blog pada tahun 2009.

Vazeer Alam memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar gantirugi am sebanyak RM200,000 dan gantirugi teladan RM300,000 kepada Abdul Razak, serta menetapkan kos guaman sebanyak RM50,000, selain membenarkan permohonan injunksi supaya Wan Muhammad Azri dihalang daripada terus menyiarkan kata-kata fitnah itu.

Dalam penghakimannya, Vazeer Alam berkata Abdul Razak selaku plaintif berjaya membuktikan Wan Muhammad Azri yang menerbitkan artikel itu, meskipun defendan dalam keterangannya menafikan beliau adalah pemilik blog yang dikenali sebagai 'Papa Gomo'.

Beliau berkata dalam kes ini, plaintif telah memanggil saksi pertamanya iaitu Mohd Fauzi Mohd Azmi yang mempunyai blog dikenali sebagai 'Perisik Rakyat' dan dalam keterangan saksi itu menyatakan beliau dapat mengecam defendan setelah defendan sendiri memperkenalkan dirinya sebagai 'Papa Gomo' ketika menghadiri satu persidangan bloggers di Lake View Garden, Subang Jaya pada 16 Mei 2009.

"Saksi itu, yang turut diperkenalkan kepada seorang blogger lain yang dikenali sebagai 'Parpukari' semasa persidangan itu berkata beliau telah mengambil gambar defendan dan 'Parpukari' dan gambar itu dikemukakan sebagai bahan bukti dalam kes ini," katanya.

Vazeer Alam berkata mahkamah percaya gambar yang diambil adalah gambar mereka walaupun muka mereka tidak dapat dilihat dengan jelas kerana mereka cuba melindung separuh daripada wajah mereka dengan tangan.

"Apabila mahkamah membandingkan ciri-ciri wajah muka dalam gambar itu dengan ciri-ciri defendan semasa hadir di mahkamah, saya dapati ianya sama dan jelas menunjukkan bahawa defendan yang dipaparkan dalam gambar itu," katanya.

Beliau berkata walaupun defendan menafikan beliau merupakan orang di dalam gambar itu, mahkamah mendapati penafian defendan adalah satu pembohongan kerana keterangan Mohd Fauzi bahawa beliau telah berjumpa dengan defendan dan 'Parpukari' di persidangan itu tidak dicabar oleh peguam yang mewakili defendan.

Vazeer Alam berkata keterangan Mohd Fauzi bahawa terdapat nama, gambar serta nombor telefon defendan yang dimuatkan dalam blog isterinya adalah sama dengan nombor telefon yang digunakan saksi itu untuk menghubungi blogger yang dikenalinya sebagai 'Papa Gomo' dan keterangan itu juga tidak dicabar oleh peguam.

Katanya, mahkamah juga mendapati kata-kata yang diterbitkan defendan dalam artikelnya bukan komen sebaliknya merupakan kata-kata fakta yang tidak berasas.

"Dalam kes ini plaintif adalah seorang ahli perniagaan yang dikenali ramai dan kata-kata defendan bahawa plaintif seorang penipu yang telah keuntungan berjuta-juta ringgit semasa Sukan Komanwel berkecenderungan merendahkan plaintif dalam pandangan mata umum," katanya.

Vazeer Alam berkata mahkamah mendapati perkara memuatkan artikel yang berunsur fitnah dalam sesawang internet telah berleluasa dan ada beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab seperti defendan y bersembunyi di belakang tirai nama samaran atau 'anonymity' untuk menulis apa sahaja yang mereka mahu tanpa mempedulikan kesan akibat penulisan mereka.

Katanya, mahkamah mengambil serius terhadap gejala negatif ini yang telah menular tanpa batasan sejak akhir-akhir ini dan sekiranya tidak dibendung dan dibanteras akan merosakkan 'social fabric' masyarakat yang berpotensi menggugat
ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Dengan ini, saya mahu penghakiman yang diberikan diambil sebagai satu teladan kepada defendan dan juga semua pengguna internet supaya mereka tidak menyalahgunakan kemudahan ini.

"Sekiranya disalahgunakan, mahkamah akan mengambil pandangan yang amat serius, seperti pepatah "sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga" dan sepandai-pandainya defendan menyembunyikan diri dengan nama samaran, akhirnya telah didedahkan melalui 'footprint' yang beliau tinggalkan di alam siber," tegasnya.

Sementara itu, Abdul Razak ketika ditemui pemberita berkata berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah.

"Ini bukan untuk kebaikan diri saya sahaja. Saya telah difitnah oleh blogger," katanya.

Pada 26 Jan, 2012, Abdul Razak, 59, memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri, 30, berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blog 'Papa Gomo' pada 11 Disember 2011.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Abdul Razak mendakwa Wan Muhammad Azri telah mengeluarkan kenyataan fitnah bahawa beliau merupakan seorang penipu yang telah mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit setelah mendapat kontrak semasa Sukan Komanwel yang berlangsung di negara ini yang menyebabkan reputasinya terjejas.

Abdul Razak diwakili peguam Reuben Netto dan Malik Imtiaz Sarwar manakala Wan Muhammad Azri diwakili

Prosiding hina mahkamah 21 Oktober

Sementara itu, Reuben ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan penghakiman mahkamah hari ini dan berkata hakim itu telah menolak pembelaan Wan Muhammad Azri atas alasan membuat komen yang adil .

"Perkara yang paling besar adalah mahkamah mengakui bahawa Wan Muhammad Azri adalah Papagomo," katanya.

Selain itu, Ruben berkata, mahkamah membenarkan permohonan mereka untuk prosiding menghina terhadap Wan Muhammad Azri berhubung tulisannya yang lain dalam blognya.

Katanya, prosiding menghina prosiding terhadap Wan Muhammad Azri akan berlangsung pada 21 Oktober.


Selain Abdul Razak, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli turut memfailkan saman fitnah terhadap penulis blog tersebut.

Turut memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri termasuk Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Penulis blog tersebut adalah seorang bekas anggota polis yang telah menjalani hukuman lapan bulan penjara selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah.

Menjelang pilihan raya umum ke-13, juga dilaporkan Wan Muhammad Azri sebagai pengundi hantu yang didaftarkan secara berasingan dengan IC polis dan IC awam.

-malaysiakini



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.