Bertempat di lobi sebuah hotel, Dyana Sofya Mohd Daud bersiap sedia
untuk diwawancara selepas seharian berkunjung ke rumah-rumah terbuka
Hari Raya Aidilfitri di sekitar Johor Bahru.
Mengenakan
baju kurung merah hati dihiasi kerongsang berwarna keemasan, Dyana
sebenarnya baru selesai memenuhi jemputan rumah terbuka mewakili
majikannya, Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
Berasal
dari Ipoh, beliau kini bertugas sepenuh masa di kawasan parlimen Gelang
Patah sebagai setiausaha politik pemimpin veteran DAP itu selepas
pilihan raya umum yang lalu.
Awal
tahun 2012, graduan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini
mencuri tumpuan ramai apabila kemasukannya ke dalam DAP diumumkan Kit
Siang sendiri pada satu sidang media khas.
Mengimbau
kembali pengalamannya di UiTM, Dyana kini berpendirian satu institusi
pengajian tinggi awam seperti UiTM perlu diwujudkan untuk orang bukan
Melayu.
Dyana
kesal melihat sebahagian rakan-rakan bukan Melayunya, baik yang mendapat
keputusan peperiksaan cemerlang atau pun tidak, dinafikan peluang
melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam.
"Golongan bukan Melayu perlu ada peluang sama seperti orang Melayu.
"Sebuah
institusi pengajian tinggi yang menerima kemasukan golongan bukan Melayu
dan pada masa yang sama mereka hanya perlu membayar yuran yang sama
seperti yang kita bayar di UiTM," katanya dalam wawancara dengan
Malaysiakini baru-baru ini.
'Emak saya masih Umno'
Beliau
percaya sudah sampai masanya sistem pendidikan di Malaysia bergerak
melangkaui garis perkauman dan diacu berasaskan keperluan.
Walaupun kini bergerak bersama DAP, Dyana sebenarnya datang daripada sebuah keluarga yang aktif di dalam Umno.
"Emak
saya masih lagi ahli Umno sehingga sekarang. Beliau adalah setiausaha
bahagian wanita yang pertama di Malaysia. Malah, bapa saudara-bapa
saudara saya juga terlibat dalam politik (Umno).
"Mereka
akan berbincang tentang politik sewaktu perjumpaan keluarga. Saya dengar
cerita-cerita mereka dan saya membesar dengan cerita-cerita itu,"
katanya.
Ditanya
tentang reaksi ibunya sewaktu beliau melahirkan hasrat menjadi ahli DAP,
Dyana berkata ibunya bersikap memahami dan merestui pilihan beliau.
"Kata
ibu kalau itu perkara yang kita percaya, lakukan sahaja kerana
kadang-kala elok juga untuk kita melawan arus bagi membuat satu
kenyataan," kata peguam muda itu yang mempunyai firma guaman di
Cyberjaya.
Stigma curiga DAP
Walaupun
percaya politik adalah satu wadah untuk berkhidmat kepada masyarakat,
tanggungjawab Dyana di kawasan Gelang Patah tidak sunyi daripada cabaran
menguruskan stigma sebahagian orang Melayu Johor yang masih curiga
dengan DAP.
Beliau
dan dua lagi staf pejabat anggota parlimen Gelang Patah pernah dihalau
dari sebuah kampung awal Jun lalu walaupun mereka ke situ untuk
mendapatkan butiran masalah penduduk setempat bagi pihak Kit Siang.
"Selepas
menang, kami ada menerima panggilan dari penduduk sebuah kampung yang
mahu mengadu masalah status tanah yang mereka duduki.
"Sampai
di sana ketua kampung datang bertemu kami dan menarik tangan saya dan
menyuruh saya balik. Dengan telunjuk betul-betul di depan muka saya dia
kata: Kami ada menteri besar kami dan tak perlukan kamu," katanya.
Insiden seperti itu kata Dyana, tidak sama sekali akan menggentarkan semangatnya.
"Walaupun
ada risikonya, saya tetap akan terus ke kampung-kampung Melayu ini
kerana mereka perlukan saya. Saya akan rasa bersalah jika saya tidak
pergi menemui mereka.
"Kesediaan
mereka untuk memanggil kami ke sana juga satu kemajuan yang bagus.
Sedikit demi sedikit mereka semua pastinya akan tampil ke hadapan untuk
berbincang dengan kami," kata Dyana.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.