Ummu
Habibah r.a (salah seorang isteri nabi s.a.w) pernah berdoa meminta
dikurniakan suatu nikmat dunia hasil dari perkahwinannya dengan
Rasulullah s.a.w. Namun nabi menasihatinya dengan kata baginda
قَدْ
سَأَلْت اللَّه عَزَّ وَجَلَّ لِآجَالٍ مَضْرُوبَة , وَأَيَّام مَعْدُودَة
, وَأَرْزَاق مَقْسُومَة , وَلَنْ يُعَجِّل شَيْئًا قَبْل حِلّه , أَوْ
يُؤَخِّر شَيْئًا عَنْ حِلّه , وَلَوْ كُنْت سَأَلْت اللَّه أَنْ يُعِيذك
مِنْ عَذَاب فِي النَّار , أَوْ عَذَاب فِي الْقَبْر كَانَ خَيْرًا
وَأَفْضَل
Ertinya:
Engkau telah meminta dari Allah tentang ajal maut yang telah
ditentukan, hari-hari kita yang telah dihitungkan, rezeki-rezeki yang
telah Allah bahagikan, dan pasti tiada diawalkan sesuatu dari masanya,
atau dilewatkan dari masanya.....(Sahih Muslim)
Justeru,
1. Perkahwinan adalah dalam rezeki dan ketentuan Allah yang pasti sampai bila tiba masanya.
2.
Rezeki isteri sedia ada dan yang baru menjadi isteri juga adalah
ketetapan Allah swt. Tiadalah patut poligami dianggap penyebab hak dan
rezeki isteri sedia ada dirampas. Menurut hadis sohih, masing-masing
tidak boleh merampas hak dan rezeki khususnya apabila ia dilaksanakan
mengikut neraca, prosedur dan tatacara hukum Shariah.
3.
Perkahwinan ini hanya berkait dengan tiga keluarga terdekat bagi mereka
(suami, isteri sedia ada dan yang baru). Justeru, jika kalian tidak
termasuk dalamnya, seeloknya doakan sahaja pasangan ini atau kamu
mengulas sesuatu yang di luar urusanmu yang menjadi sebab menjadi muslim
yang buruk akhlak (berdasarkan kepada hadis من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه)
4. Tiada
perlu membuat dosa umpatan, sangka buruk, spekulasi sebab atau bertanya
cara kenal, umur, latar belakang pasangan, sebab, jumlah mas kahwin
atau apa jua. Kerana ia bukanlah urusan yang mampu kalian ketahui dengan
perincian yang tepat lagi sohih. Rumahtangga orang lain yang terbina
jangan pula menjadi sebab susahnya fikiran kalian atau lebih bahaya,
penambah dosa.
5. Maka
apa jua sebab dan alasan, jika kalian membencinya, kalian turut membenci
ketetapan Allah ke atas seorang hamba Allah yang berkahwin secara halal
lagi menurut tatatertibnya.
6. Jika kalian ingin tahu, prosedur ringkas poligami yang SAYA turuti adalah:
a.
Istikharah dan doa istikharah di Mekah dan Madinah serta tanahair
beberapa bulan. Keputusan saya khususnya bukan hanya dari logik dan aqal
tetapi ilham dan kemudahan dari Ilahi.
b.
Sentiasa Istisharah (berbincang) dengan isteri sedia ada dan menyakinkan
beliau akan manfaat dunia akhirat dari perkahwinan kedua yang dirancang
buat kesemua kami yang terlibat.
c.
Meminang bakal isteri kedua dengan kehadiran isteri sedia ada yang
bersama-sama menjelas dan menerangkan hatta bebas mencadangkan tarikh
pernikahan.
d. Mendapat restu dan redha bakal mertua dan keluarganya.
e. Memaklumkan kepada mertua sekarang dengan jelas serta terang lalu mendapat restu dan redha mereka.
f.
Memaklumkan dan menjelaskan kepada anak-anak (2 dalam usia remaja dan 2
dalam usia kanak-kanak) akan tujuan berkahwin buat kali kedua sebagai
langkah awal untuk memahamkan mereka tentang poligami yang baik menurut
syarak.
g.
Memulakan proses undang-undang, iaitu perlu memohon izin dari Mahkamah
Syariah (di negeri masing-masing). Hakim akan meneliti semua sebab
musabbab serta kedudukan kewangan pemohon.
Permohonan saya telah
DILULUSKAN Mahkamah Tinggi Shariah Selangor. Nasihat saya, jadikan
bernikah di Thailand sebagai pilihan terakhir setelah semua proses
tanahair disekat secara salah atau tidak adil atau terlalu menyusahkan.
h.
Menetapkan perincian nafqah, giliran dan pembahagian harta sepencarian
bagi isteri sedia ada. Juga bagi anak-anak sedia ada. Ini penting agar
kedudukan dan jasa isteri sedia ada terjaga serta keadilan material dan
fizikal terjaga. Pembahagian ini TELAH diluluskan oleh mahkamah.
i.
Bersabar dan menangani cemburu yang fitrah bagi wanita secara hikmah,
sabar serta rasional. Ini perlu ilmu, tanpa ilmu kita tewas.
j. Bersikap kasih sayang, lembut serta konsisten dalam komunsikasi
k. Kemudian, bernikahlah secara terbuka dengan walimah serta jemputan.
l. Peka terhadap perasaan isteri-isteri serta meraikannya dan tambahkan kerohanianmu dan solatmu justeru bertambahlah sabarmu.
‘Say No’
kepada poligami rahsia dan dibuat secara sembrono. Bersabar hadapi
cacian mereka yang cemburu di luar sana, kerana mereka hanya menambah
pahalamu dan menempah tiket ke azab Allah. Bersabar juga dengan pujian
yang merupakan ‘pembunuh senyap’ keikhlasan niatmu.
Kalau
sebelum ini kita kagumi Rasulullah dan sifat sabarnya, bila berpoligami,
pastilah bertambah fahamnya kita akan MAHA AGUNGNYA SIFAT SABAR baginda
Nabi dan isteri-isterinya.
Baginda cemerlang di dalam rumah dan luar rumah. Fizikal dan spiritual.
Bantulah
kami dengan mendoakan kami, itu jutaan kali lebih baik dari
berspekulasi dan bersangka-sangka serta ‘terlebih mengambil berat’
dengan bertanya itu dan ini kepada isteri-isteriku yang dicintai.
Tiadalah bertambah mulia atau cela dengan poligami dan monogami. Pokoknya adalah bagaimana kamu menjalankannya.
Berhentilah
dari hasrat ingin menghubungi isteri-isteri saya bagi menyampaikan rasa
TIDAK PUAS HATI kalian atau cuba menyampaikan sangsi, 'racun amarah
masing-masing' dan keraguan kalian. Tiada faedahnya dan perhatikanlah
diri dan keluargamu, saya pula pasti bertanggungjawab atas keluarga
saya. Insha Allah.
Bagi
yang bujang, tidak perlu resah..tidak habis wanita solehah di luar
sana..rezekimu akan sampai pada waktunya asalkan kamu bersedia dan soleh
juga.
PADAMLAH
gambar-gambar yang DISEBARKAN dan disensasikan TANPA izin kami. Inilah
gambar yang kami rasakan sesuai dikongsi bersama masyarakat awam. Semoga
catatan ringkas ini mampu menarik keberkatan buat kami dan kalian.
Akhir
sekali, TIADA PERLU cemburu, dengki atau hasad dengan kami kerana
BAHAGIA kalian BUKAN terletak pada URUSAN kami ATAU kucar kacirnya kami
tetapi pada hati dan diri kalian sendiri. Janganlah mencari bahagia
dengan PERKARA DOSA.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
6 Syawwal 1434
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.